Home > Menu > Karya > Artikel > Rumah Selesa, Ibadat Terjaga, Islam Terpelihara

Rumah Selesa, Ibadat Terjaga, Islam Terpelihara

Dalam menjalani hidup sebagai seorang muslim, aspek kebersihan khususnya pada penjagaan rumah haruslah dititikberatkan. Tegarkah kita untuk hidup dalam keadaan rumah yang kotor, berserabut dan juga tidak terurus? Sudah pasti jawapannya TIDAK!

Selain dari rasa tidak selesa yang mengundang keresahan jiwa kerana rumah yang didiami tidak menepati ciri-ciri kebersihan yang dituntut islam, aspek lain yang harus diberi penekanan adalah dalam konteks kita beribadat kepada yang Maha Esa.

 

Bagaimana mungkin kita mampu meraih kekhusyukan dalam beribadat andai sekeliling kita, masyaAllah, langsung tidak mencerminkan peribadi dan persekitaran yang indah.

Haruslah diingat, suasana persekitaran rumah yang kita cipta adalah refleksi kepada diri kita sendiri. Ingatlah, betapa agama islam itu sendiri menuntut kita untuk menjadikan kebersihan itu sebagai salah satu cabang utama yang akan memandu kita ke jalan yang diredhaiNya.

Sebagai pelajar yang menuntut di negara yang mempunyai empat musim, namun mempunyai dua musim yang dominan iaitu musim sejuk dan musim panas. Kita akui, di Mesir,cabaran di musim panas itu lebih hebat dan turut menguji keupayaan kita, yang mana mampukah kita untuk terus mengekalkan rumah kita dalam keadaan yang bersih sama seperti musim sejuk sebelumnya kerana pada musim panas, cabaran utama kita adalah lalat!

Apa yang terlintas di fikiran kita apabila mendengar nama serangga itu?

Jijik, kotor, menggelikan dan sebagainya? Namun sedarkah kita bahawa ironinya, kita sedang membuka pekung sendiri. Jelas dan nyata, setiap ciptaan ALLAH S.W.T itu sudah pasti ada manfaatnya. Jadi, pada serangga itu, sebenarnya terdapat pelbagai pengajaran yang dapat kita ambil. Sebenarnya, kita sendiri yang dapat mengawal dari membiaknya lalat di rumah kita.

lalat1

Dari mana datangnya lalat?

Sudah pasti dari sampah yang menghuni bakul sampah di ruang rumah kita yang mungkin sudah 2 atau 3 hari tidak dibuang. Oleh kerana itulah, jika kita menghina lalat, seolah-olah kita membuka pekung diri sendiri.

Sudah terang lagi bersuluh, sikap kita sendiri yang membawa kepada masalah lalat ini. Dalam musim panas,sampah sarap semakin cepat membusuk dan menjadi tanggungjawab kita meningkatkan lagi daya kerajinan kita untuk kerap membuang sampah.

Dalam hal ini, lalat tidak boleh ditakrifkan sebagai pesalah kerana memang fitrah yang ALLAH ciptakan padanya, suka akan kotoran. Namun malangnya, kerap kali serangga ini mendapat hukuman mati mandatori, jasa raket eletrik yang menghuni rumah-rumah pelajar Malaysia tanpa kita cuba belajar sesuatu daripadanya.

Terdapat juga pelajar-pelajar kita yang berkata, mereka tidak mampu khusyuk dalam solat. Serabut katanya. Lalat sibuk menghurung muka.

Diceritakan pada suatu ketika dahulu, ada seorang hamba yang bertaqwa sedang khusyuk solat, berdiri tegak tanpa terkesan sedikitpun dengan lalat yang menghurung. Selesai solat, beliau ditanyakan oleh ahli keluarganya, ”Tidakkah kamu terkesan sedikitpun dengan lalat yang menghurungmu sewaktu solat?” Jawab hama ALLAH yang bertaqwa itu, “Adakah lalat itu lebih besar daripada ibadah solatku ini?”

Cerita di atas sekadar picisan mengenai lalat. Memang benar, kita bukanlah seperti orang yang diceritakan di atas tadi.

Oleh itu, ayuhlah kita sama-sama berusaha, menjaga kebersihan rumah, kerapkan diri membuang sampah dan jangan biarkan sampah menghuni bakul rumah kita berhari-hari lamanya kerana jika terlampau lama, bukan sahaja sampah, namun lipas dan tikus juga mungkin bertandang sama.

Jika ini berlaku, semakin banyak kesan buruk yang akan kita terima. Semakin heboh diperkatakan mengenai kes kematian kebanyakan orang pada hari ini adakah kerana infeksi air kencing tikus yang mempunyai virus. Namun sebelum melihat perkara ini dari aspek negatif, pandanglah dari sudut positif. ALLAH mengingatkan kita untuk menjaga kebersihan sebenarnya.

Apabila rumah sudah bersih, bebas lalat, semoga makin bertambahlah kekhusyukan kita untuk beribadat.

Malu apabila dibandingkan untuk bertemu raja atau ketua, kita sanggup menjaga kebersihan. Segala aspek dititikberatkan. Suasana tempat kita bertemu orang-orang kenamaan itu pula wangi dan bersih. Namun, kita cincai dalam aspek bertemu ALLAH SWT. Padahal,Allah adalah raja segala raja.

Oleh itu, mulai hari ini,marilah sama-sama kita menjaga kebersihan rumah. Apabila rumah selesa, ibadah pasti terjaga dan Islam terpelihara. Lalat itu adalah agen daripada ALLAH SWT yang hadir dalam hidup kita, mengingatkan diri supaya sentiasa menjaga kebersihan. Sesungguhnya setiap ciptaan Allah ada manfaatnya.

Akhir kalam, pena meninggalkan kita semua dengan fakta menarik mengenai lalat,

“Lalat juga sebenarnya menjaga kebersihan. Lalat-lalat dikatakan akan menggosok kaki berkali-kali bagi membuang segala kotoran yang melekat.”

Subhanallah!

Kalau lalat yang dikatakan kotor itu menjaga kebersihanan dirinya. Apatah lagi kita seorang muslim. Bukankah kebersihan itu sebahagian daripada iman?

 

Info Penulis

Nurul Farahain binti Anafi, mahasiswi kuliah perubatan Universiti Zaqaziq. Beliau merupakan AJKT Unit Perumahan PERUBATAN cawangan Zagazig sesi 2011/2012.

Tinggalkan komen anda