Home > Menu > Karya > Artikel > Ramadhan Cabaran Buat Perempuan Beriman

Ramadhan Cabaran Buat Perempuan Beriman

Sama ada sedar ataupun tidak, kita bakal menjauhi fasa pertama Ramadhan yang dikatakan sebagai ‘rahmat’. Sudahkah kita berjaya memperoleh rahmat Allah yang diidamkan? Atau masihkah kita di takuk lama, menghabiskan masa-masa emas di dalam bulan ini dengan perkara yang sia-sia. Harapnya pencarian malam al-Qadr kita tidak berhenti di tengah jalan. Teruskan bermujahadah di dalam bulan ini dan bersabarlah.

Apabila disebut anak perempuan, gadis, wanita ataupun ibu di dalam bulan Ramadhan, pastinya kita berasa kasihan akan golongan ini. Rasa itu muncul apabila mengenangkan nasib mereka yang terpaksa berkorban solat Terawih kurang separuh daripada bulan itu sendiri. Pastinya timbul kekesalan di hati kerana tidak dapat mengkhatam al-Quran dan menambah bilangan rakaat solat sunat. Benarlah, perempuan itu kurang dari segi agamanya.

Artikel ini bukanlah ditujukan kepada perempuan beriman seratus peratus. Hakikatnya, artikel ini ditujukan buat wanita-wanita yang sedang bercuti syarie daripada tuntutan puasa wajib. Kenapa? Jika ia ditujukan kepada para wanita Islam secara keseluruhan, tidak perlulah diletakkan subjek ‘perempuan’ kerana tiada bezanya tuntutan ke atas lelaki dan perempuan yang boleh berpuasa.

Apakah cabaran yang sebenarnya bagi para wanita yang haid, nifas, dan lain-lain uzur syarie di dalam bulan Ramadhan ini? Jom kaji.

1.  Cabaran untuk tidak makan atau minum di rumah masing-masing terutamanya jika anda mempunyai anak yang sudah mumaiyyiz.

2. Cabaran untuk tidak makan atau minum di khalayak ramai ketika berada di luar rumah. Misalnya, anda bermusafir kerana hendak membeli-belah. Ketika anda penat, adakah anda akan minum secara bersahaja tanpa menghiraukan golongan yang berpuasa di sekeliling ataupun secara bersembunyi di tempat-tempat tertentu? Ingat, anda membawa imej muslimah Islam!

3. Cabaran untuk menahan nafsu amarah. Ketika hormon anda tidak seimbang, wajah seperti orang yang sedang berpuasa adalah sangat penting untuk menghormati ‘bulan menahan nafsu’ ini.

4. Cabaran untuk menghabiskan al-Quran dua kali ganda lebih laju daripada kaum lelaki.

5. Cabaran untuk menghabiskan  terjemahan al-Quran dalam masa kurang 15 hari

6. Cabaran untuk bersabar kerana tidak dapat bertadarus al-Quran bersama rakan-rakan.

7. Cabaran untuk menggantikan amalan bertadarus dengan aktiviti lain seperti berzikir, bertasbih, bertahmid, dan berselawat ke atas Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.

8. Cabaran untuk bersabar kerana tidak dapat beriktikaf di masjid.

9. Cabaran untuk berebut waktu yang mustajab berdoa bersama-sama orang yang berpuasa seperti waktu berbuka dan bersahur.

10. Cabaran untuk mengganti puasa yang yang ditinggalkan. Jika tidak diganti, wajib membayar fidyah!

11. Cabaran untuk menghadiri majlis-majlis ilmu bersama sahabat-sahabat yang berpuasa.

12. Cabaran untuk menyediakan juadah hidangan bagi orang yang berpuasa.

13. Cabaran untuk tidak mengumpat. Hanya kerana para wanita tidak berpuasa, jangan rosakkan Ramadhan dengan perbuatan mengumpat, mencaci manusia, dan lain-lain. Bulan Ramadhan sepatutnya menjadi tarbiyah buat perut, mulut, dan seluruh anggota badan agar sel-sel yang keluar dari bulan Ramadhan adalah sel-sel yang bagus, sihat dan selamat untuk masyarakat!

14. Cabaran untuk tidak menghabiskan masa lapang dengan perkara yang sia-sia seperti menonton cerita di televisyen ataupun mendengar lagu-lagu yang melalaikan.

15. Cabaran untuk menggantikan bajet makanan tengah hari dengan bersedekah lebih banyak daripada golongan yang berpuasa.

16. Cabaran untuk menolong orang yang berpuasa melakukan kerja-kerja yang berat seperti mengangkat barang yang berat.

Bagaimana? Tercabarkah anda dengan cabaran-cabaran ini? Pernahkah anda terfikir akan penyelesaian bagi cabaran-cabaran ini?
Jadi, berbekalkan waktu yang masih berbaki di dalam bulan Ramdhan ini, marilah kita sama-sama berlumba merebut ganjaran-ganjaran hebat yang disediakan oleh Allah Ta’ala khusus bagi orang yang berpuasa. Namun, yang paling penting adalah rahmat Allah serta redha-Nya yang menjadi pemberat timbangan kita di akhirat nanti.

 

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “kami beriman”, sedang mereka tidak diuji? 

 

(Surah Al-Ankabuut ; ayat 2)


 

Wallahu a’alam

Disediakan oleh:
Nurul Syifak bt. Mohamad Sakir

Tinggalkan komen anda