Home > Biro PCZ > Biro Akademik > Laporan Program Zagazig Medical Team (ZMT) Kali Pertama

Laporan Program Zagazig Medical Team (ZMT) Kali Pertama

AHAD,15 April 2012 :  Zagazig Medical Team (ZMT) menerusi Unit Latihan dan Khidmat Masyarakat (LKM) mula mengorak langkah dengan menganjurkan program sulungnya, ‘The Pioneer; It begins here’ bertempat di Dewan Darul Wehdah, Zagazig pada 15 April 2015 baru-baru ini. Program yang menghimpunkan keseluruhan ahli LKM ini bertujuan untuk mendedahkan kepada ahli tentang perjalanan, perancangan serta peranan ahli dalam unit ini.

Program ini dimulakan seawal 9.30 pagi dengan majlis perasmian yang telah disempurnakan oleh Penasihat PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ), Saudara Mohd Bukhari Muslim bin Mohd Nadzim. Turut hadir dalam majlis ini termasuklah Pengerusi PCZ, Saudara Abd Hakim bin Suhimin, Ketua  dan Timbalan PERUBATAN Medical Team, Saudara Ibrahim bin Yahya serta Saudari Nur Madihah Binti Kamalul Sahar.

Seusai majlis perasmian, program diteruskan dengan slot ‘Penerangan Umum Zagazig Medical Team oleh Saudara Naim bin Sarfaraz Ahmad, Ketua ZMT dan diteruskan lagi selepas itu dengan slot ‘Penerangan Khusus Unit Latihan & Khidmat Masyarakat’ oleh Saudara Ahmad Syahirhakim Bin Zulkifli, Pengarah Unit LKM.

Program diteruskan dengan slot bersama Saudara Ahmad Ibrahim bin Yahya dengan tajuk Medical Team; Vision and Inspiration’. Dalam slot tersebut, Saudara Ahmad Ibrahim telah menerangkan tentang sejarah penubuhan PERUBATAN Medical Team di Kaherah yang telah tercetus daripada sebuah idea yang kemudiannya dikembangkan sehingga menjadi sebuah realiti. Beliau juga menerangkan serba sedikit tentang cabaran serta halangan yang dihadapi oleh PERUBATAN Medical Team di Kaherah agar menjadi panduan perjalanan ZMT kelak.

Seterusnya program beralih ke slot Ice Breaking’ yang dipimpin oleh Saudari Duratul’ain binti Mohamad Nazri, Timbalan Ketua ZMT. Slot ini dirangka bagi memupuk pemikiran kreatif dan meningkatkan semangat kerja secara berkumpulan dalam kalangan ahli.

Slot terakhir dalam program ini, ‘Medical Ethics’ yang telah disampaikan oleh Saudari Nur Madihah Binti Kamalul Sahar menerangkan kepada ahli berkenaan etika pengamal perubatan secara umumnya dan etika ahli Medical Team khususnya.

Program ini telah berakhir sekitar jam 12.30 tengah hari dengan sesi penggambaran dan jamuan ringan. Pihak ZMT mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh ahli yang telah menghadirkan diri dalam program ini.

Disediakan oleh,

Ahmad Syahirhakim Bin Zulkifli,
Pengarah Unit Latihan dan Khidmat Masyarakat,

Zagazig Medical Team,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Galeri Program Zagazig Medical Team (ZMT) Kali Pertama

Tinggalkan komen anda