Home > Biro PCZ > Biro Akademik > Laporan Malam Pecutan Terakhir

Laporan Malam Pecutan Terakhir

15 April 2012, Masjid Salam, Zagazig : Exam Fever Campaign 2012 (EFC ’12) anjuran bersama Unit Akademik, Unit Pembangunan Insan dan Unit Sukan dan Aktiviti Luar dengan temanya ‘Propagate The Success’ telah mengendalikan program motivasi “MALAM PECUTAN TERAKHIR” yang telah berlangsung di Masjid Salam, Zagazig.

Program MALAM PECUTAN TERAKHIR ini dimulakan dengan kehadiran ahli dari jam 7.30 malam. Majlis bermula dengan solat Isyak berjemaah bersama-sama penduduk tempatan. Majlis diteruskan lagi dengan solat hajat dan bacaan Yasiin berjemaah yang dikendalikan oleh Saudara Mohd Bukhari Muslim Mohd Nadzim sebagai imam solat hajat dan Saudara Muhammad Farhan bin Ahmat Murtza yang mengetuai bacaan Yasiin.

Seusai bacaan Yasiin, program diteruskan dengan perasmian dan pelancaran EFC’ 12. Pengarah EFC ’12, Saudari Syafiah bt Mohamad memberi penerangan serba sedikit tentang Malam Pecutan Terakhir dan aktiviti-aktiviti sepanjang EFC ’12. Majlis dirasmikan oleh Pengerusi PCZ 2012, Saudara Abd. Hakim bin Mohd Suhimin sekaligus melancarkan Exam Fever Campaign 2012 (EFC ’12).

Majlis ini dihadiri lebih daripada 40 orang ikhwah dan lebih daripada 70 orang akhawat. Saudara Mohd Syafiq bin Matmoor (Penasihat PERUBATAN 2012) dan Saudari Aisyah Zahirah bt Sukeri (Timbalan Presiden II PERUBATAN 2012) sebagai panel  jemputan khas dari Kaherah untuk mengisi forum ‘PECUTAN TERAKHIR’. Kemesraan Saudari Duratul‘ain bt Mohamad Nazri sebagai moderator yang mengendalikan forum menghangatkan lagi suasana majlis. Panel-panel menyampaikan cara pembelajaran yang berkesan pada saat-saat akhir. Antaranya, merancang masa yang masih tinggal sebelum peperiksaan berdasarkan jumlah subjek yang ada, menghabiskan pembacaan buku sebanyak lima kali, menjaga hubungan antara manusia dan hubungan dengan Allah dan banyak lagi pesanan yang menaikkan lagi semangat hadirin.

Di akhir majlis, pengarah PERUBATAN Frontliners (PROF) menyampaikan sedikit penerangan PROF dan video pengenalan PROF kepada semua ahli. Setelah itu majlis ditutup dengan Tasbih Kafarah dan Surah Al-asr. Ahli-ahli menunjukkan wajah yang penuh bersemangat dan bermotivasi setelah mendengar tips-tips dan kata-kata semangat daripada para panel. Majlis berakhir pada pukul 11.00 malam dan ahli bersurai.

Semoga Malam Pecutan Terakhir ini dapat membantu mahasiswa-mahasiswi Zagazig untuk lebih bersemangat dalam membuat persediaan menghadapi peperiksaan akhir tahun yang akan bermula tidak sampai sebulan lagi. Ucapan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis yang bermanfaat ini.. Wallahua’alam.

Disediakan oleh:

INIRAH SYAZWIN MOHD RAZALLY,

AJK pelaksana,
Exam Fever Campaign 2012,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Galeri Malam Pecutan Terakhir

Tinggalkan komen anda