Home > Biro PCZ > Biro Sukan & Aktiviti Luar > Laporan Ibrah Auliya’ Akhawat

Laporan Ibrah Auliya’ Akhawat

KAHERAH, 25 APRIL- Bersempena imtihan yang semakin hampir, Unit Sukan Dan Aktiviti Luar PERUBATAN Cawangan Zagazig sesi 2012 telah menganjurkan ziarah ke  maqam Aulia di sekitar Kaherah untuk mencari keberkatan dan semangat para wali Allah dan bertawasul. Ziarah yang bertemakan “Rest Our Minds, Feel Their Spirit“ ini juga merupakan sebahagian daripada program di dalam Exam Fever Campaign. Antara objektif ziarah ini diadakan adalah bertujuan untuk mengeratkan lagi ukhuwah antara mahasisi Sains Kesihatan selain merehatkan minda dan fikiran serta menghayati pengorbanan dan jasa auliya’  terdahulu.

Seramai 51 orang akhawat, 2 orang mushrif dan 2 pasangan mutazawijin  telah terlibat dalam ziarah tersebut. Sebelum bertolak ke maqam, semua yang terlibat telah berkumpul di kawasan Salam dan bertolak dengan menaiki sebuah coaster, sebuah bas dan sebuah tremco pada jam 6.30 pagi. Al-fadhil Ustaz Muhammad Abdul Malik bin Abdul Karim telah dijemput untuk menerangkan  sejarah ringkas dan pengenalan para aulia sepanjang ziarah maqam tersebut.

Ziarah yang mengambil masa 7 jam itu sempat menziarahi hampir 12 maqam para aulia yang berada disekitar Kaherah. Di antara maqam yang telah diziarahi adalah maqam Al-Imam As-Syafie yang merupakan pengasas Mazhab Syafie dan maqam bersebelahannya ialah Saiyyidi Zakaria Al-Ansari  yang merupakan ulamak Al Azhar yang banyak menulis kitab antaranya Fathul Wahhab. Seterusnya kami menziarahi maqam Auliya di Jabal Muqattam antaranya  Sayyidi Al Imam Ibnu Atoillah As-Sakandari, Sayyidi Al-Allamah Kamaluddin bin Al Humam, Imam Hassan Al-Banna dan Syeikh Ashraf Ar-Rifai’e Al Husaini. Beliau digelar Ar- Rifae kerana beliau tarikat Rifa’iyyah dan juga dikenali sebagai Wali Soghir kerana beliau menghafaz Al-Quran pada usia 3 tahun dan meninggal pada usia 4 tahun.

Kami berhenti berehat di Masjid Sultan Hasan atau dikenali sebagai Masjid Empat Mazhab untuk menunaikan solat jama’ Zuhur dan Asar. Kemudiannya kami menziarahi maqam di sekitar masjid tersebut dan Masjid Rafaie. Setelah itu kami menuju ke Hadiqah Al-Azhar untuk menikmati makanan tengah hari setelah penat seharian berjalan. Perjalanan diteruskan lagi pada sebelah petang dengan menziarahi Masjid Amru bin al-Asr yang merupakan masjid pertama yang dibina di benua Afrika. Destinasi ziarah kami yang terakhir ialah maqam Sayyidah Zainab binti Imam Ali r.a, Sayyidi Al-Itris dan Sayyidi al-‘Idrus. Semoga segala ilmu yang diperolehi daripada jaulah ini dapat dimanfaatkan dan kekal dalam ingatan dan semoga berakhirnya jaulah maqam ini mendapat rahmat dan naungan dari Allah S.W.T.

Disediakan oleh,

Setiausaha dan Promosi,
Jaulah IBRAH AULIYA’ 2012.

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Galeri Ibrah Auliya’ Akhawat

Tinggalkan komen anda