Home > Biro PCZ > Biro Akademik > Laporan Forum Farmadik : Disebalik Kaunter Pendispensan

Laporan Forum Farmadik : Disebalik Kaunter Pendispensan

Sabtu -21 April 2012, Dewan Darul Wehdah, Zagazig : Satu sinergi tercetus dalam kalangan ahli PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012 yang terdiri daripada pelajar jurusan Perubatan dan jurusan Farmasi apabila satu forum perkongsian pengalaman daripada pelajar-pelajar Farmasi telah berjaya dilangsungkan. Sasaran forum ini adalah semua pelajar Farmasi dan pelajar-pelajar Perubatan tahun klinikal Universiti Zagazig. Program ini merupakan salah satu usaha PCZ 2012 meraikan cadangan dan pandangan daripada pelajar-pelajar Farmasi yang sebelum ini mencadangkan untuk mengadakan satu program santai perkongsian pengalaman daripada pelajar-pelajar lepasan Diploma Farmasi. Forum tersebut ternyata berjaya membuka dimensi pemikiran yang baru dalam kalangan ahli PCZ.

                Majlis yang julung kali diadakan ini merupakan anjuran Unit Akademik, PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) dibawah kelolaan Exam Fever Campaign 2012 berkesinambungan daripada musim imtihan yang bakal berlangsung. Dengan kata lain, sebagai momentum dan suntikan semangat buat para mahasiswa melihat gambaran masa depan pekerjaan secara realiti. Majlis tersebut bermula pada jam 8.00 malam dengan ucapan alu-aluan daripada Saudara Abd. Hakim Mohd Suhimin, Pengerusi PCZ 2012, turut menghadirkan diri Saudara Naim Sarfaraz Ahmad, Timbalan Pengerusi I dan Saudari Fatmatul Zahrah Mat Zin, Timbalan Pengerusi II, PCZ 2012. Intipati forum tersebut banyak menekankan kerjasama dan realiti praktikal dalam bidang Farmasi dan sebagai seorang pengamal perubatan di hospital. Antara perkara menarik yang dikongsikan adalah kerjasama antara dua entiti tersebut yang perlu ditekankan ketika mengendalikan pesakit dan ubat-ubatan, perbezaan antara seorang pegawai farmasi dan sebagai pembantu farmasi dan turut diselitkan sedikit pengalaman praktikal di hospital Malaysia.

                Barisan ahli panel telah dibarisi Saudari Che Asma’ bt Bahanuddin, Ismanurul Hamizah Ishak dan saudara Nik Muhammad Fitri Bin Nik Afinde dan seorang moderator iaitu Saudari Nur Amalina bt Aris. masing-masing merupakan pelajar lepasan Diploma Farmasi yang pernah menjalani praktikal di Malaysia seperti di Hospital Putrajaya dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Ahli-ahli panel turut menghangatkan lagi suasana majlis dengan perkongsian pengalaman pahit dan manis semasa menjalani alam realiti profesion sebagai pembantu Farmasi, kaedah umum penghasilan ubatan dan gambaran sekilas disebalik kesibukan kaunter pendispensan di hospital kerajaan. Bertepatan dengan tajuk forum, Bicara Farmadik ; Disebalik Kaunter Pendispensan rata-rata pelajar perubatan turut mendapat output yang berguna tentang gambaran tugasan ahli-ahli yang terlibat dalam bidang sains kesihatan, sekaligus masing-masing mampu membina gamabaran awal tentang pekerjaan mereka pada masa hadapan apabila berurusan antara satu sama lain. Untuk mencintai sesuatu, wajarlah mengenalinya terlebih dahulu, dan diharap perkenalan antara bidang tugas Perubatan dan bidang tugas Farmasi yang dianjurkan oleh Unit Akademik sesi ini menjadi gambaran awal lahirnya mahasiswa Islam sains kesihatan keluaran Mesir yang holistik dan berketerampilan serta mampu memberi pendedahan umum kaedah menjalani praktikal kepada para pelajar farmasi yang masih baru. Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga Allah memberkati usaha ini, Insya Allah.

“PROPAGATE THE SUCCESS”

Disediakan oleh :

NOOR AMIRAH MOHD MUHAYIDIN,

Setiausaha,
Forum Bicara Farmadik ; Disebalik Kaunter Pendispensan,
Exam Fever Campaign 2012.
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

[finder]Galeri[/finder]

Tinggalkan komen anda