Home > Menu > Karya > Artikel > Perkhidmatan Farmasi yang ditawarkan di Malaysia

Perkhidmatan Farmasi yang ditawarkan di Malaysia

Malaysia baru-baru ini (Mac 2010) telah mengeluarkan kenyataan untuk meningkatkan tahap perkhidmatan farmasi di Malaysia. Oleh itu bebrapa program baru dan penambahbaikan beberapa program telah dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bahagian perkhidmatan farmasi dengan tema “Ke Arah Perkhidmatan Farmasi Yang Cemerlang”.

Disini terdapat beberapa program yang telah dipertingkatan dan beberapa program baru diperkenalkan bagi meningkatan tahap mutu perkhidmatan farmasi di Malaysia.

1. Patient-Centered

Perkhidmatan farmasi telah beralih tumpuan tradisi terhadap produk kepada pendekatan fokus kepada pesakit (patient-centred). Penjagaan farmaseutikal yang komprehensif dan tertumpu kepada pesakit (patient care) adalah penting bagi memastikan pesakit mendapat rawatan ubat-ubatan yang selamat, berkualiti, rasional dan berkesan.

2. Meningkatkan kualiti rawatan, mengurangkan kesan sampingan

Melalui perkhidmatan yang khusus seperti Farmakokinetik Klinikal (CPS), Perkhidmatan Sokongan Nutrisi, Perkhidmatan Farmasi Onkologi dan Perkhidmatan Farmasi Nuklear, ubat-ubatan yang dipreskrib untuk pesakit boleh diberi mengikut keperluan individu berkenaan. Dengan ini, kualiti rawatan dapat dipertingkatkan serta kejadian kesan sampingan boleh dikurangkan.

3. Medication Therapy Adherence Clinic (MTAC)

Bekerja sebagai satu pasukan, Pegawai Farmasi kini berganding bahu dengan profesional perubatan lain yang terlibat secara aktif dalam rondaan wad bersama pakar perubatan dari pelbagai disiplin di hospital. ‘Medication Therapy Adherence Clinic’ (MTAC) telah pun dijalankan di 74 hospital utama, 62 hospital pakar, 14 hospital daerah dan 37 klinik kesihatan. Menerusi MTAC, pematuhan pesakit dalam pengambilan ubat-ubatan mereka serta pemantauan berterusan untuk memastikan rawatan yang optima dan mengelakkan komplikasi dapat dilakukan.

4. Methadone Maintenance Therapy (MMT)

Satu lagi aspek penting ialah Program Rawatan Terapi Gantian Methadone atau Methadone Maintenance Therapy (MMT), di mana Pegawai Farmasi memainkan peranan aktif dalam kaunselling dan pemantauan pesakit yang diberi ubat methadone. Setakat ini terdapat sejumlah 110 pusat MMT di KKM dan Pegawai Farmasi KKM juga terlibat dalam pendispensan methadone bagi Program MMT di 14 Pusat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), 12 Penjara di Semenanjung Malaysia serta projek pendispensan methadone di masjid.

5. Kepuasan pelanggan

Untuk memastikan kepuasan pelanggan sentiasa diberi perhatian, masa menunggu tidak melebihi 30 minit untuk pesakit menerima ubat dari farmasi telah dijadikan sebagai salah satu KPI. Pada tahun 2009, sebanyak 93% hospital dan klinik kerajaan berjaya mencapai KPI ini dan sebanyak 95.4% daripada 39.4 juta preskripsi untuk pesakit luar telah dapat didispens dalam tempoh tersebut. Namun, pihak Kementerian akan terus berusaha gigih untuk memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi bagi mencapai 100% KPI yang telah ditetapkan.

6. Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB)

Bagi pesakit yang menerima rawatan di hospital yang jauh daripada tempat tinggal, semua hospital kerajaan juga mempelawa pesakit memanfaatkan program Sistem Pendispensan Ubat Bersepadu (SPUB). Dengan ini, pesakit akan menjimat masa dan perbelanjaan perjalanan oleh kerana mereka boleh mengambil ubat daripada mana-mana hospital atau pun klinik kesihatan mengikut pilihan mereka sendiri. Sepanjang tahun 2009, sebanyak 115,086 preskripsi telah diuruskan melalui SPUB berbanding 62,100 preskripsi dalam tahun 2008 iaitu peningkatan mendadak sebanyak 85%.

7. Sistem Farmasi Pandu Lalu

Sistem Farmasi Pandu Lalu yang telah diperkenalkan di dua buah hospital iaitu Hospital Pulau Pinang dan Hospital Tuanku Fauziah, Kangar merupakan satu lagi kebanggaan. Pesakit boleh memandu lalu terus ke kaunter khas untuk mendapatkan ubat mereka tanpa perlu menunggu. Memandangkan, sistem ini memberi impak yang positif kepada pesakit, perancangan dan pembangunan fasiliti kesihatan yang baru boleh mengambil-kira kemudahan seperti ini.

8. Ubat Melalui Pos 1Malaysia (UMP 1Malaysia)

Usaha yang terbaru ialah ”Pharmacy Home Delivery” yang telah pun dijalankan sebagai projek perintis di Hospital Putrajaya, di mana ubat ulangan dikirimkan kepada pesakit melalui Pos laju dengan caj minima. Dengan kerjasama Pos Malaysia, pihak Kementerian bercadang untuk memperluaskan perkhidmatan ini ke fasiliti-fasiliti kesihatan diseluruh Negara bagi memudahkan pesakit. Disamping itu juga, pendekatan ini boleh mengurangkan kesesakan pesakit di hospital dan klinik kesihatan.

9. Program “Kenali Ubat Anda”

Sebagai langkah meningkatkan kefahaman dan memberi pendidikan kepada rakyat berkenaan penggunaan ubat-ubatan dan menyedarkan hak mereka sebagai pengguna ubat-ubatan, program “Kenali Ubat Anda” telah dilancarkan. Pelbagai aktiviti telah dijalankan dan bahan pendidikan dihasilkan bagi mencapai objektif program tersebut termasuk membangunkan laman web www.knowyourmedicine.com. Disamping itu, sebuah Pusat Panggilan Farmasi Nasional yang beroperasi 24 jam termasuk hari cuti dan kelepasan am telah ditubuhkan di Hospital Kuala Lumpur melalui talian 03-26155136 bagi membantu orang ramai mendapatkan khidmat maklumat ubat pada bila-bila masa.

Sumber: http://www.rahsiafarmasi.com/panduan-prp-provisionally-registered-pharmacist-pegawai-farmasi-u41-bidang-farmasi-kerja-farmasi-kerajaan/perkhidmatan-farmasi-kenyataan-akhbar/

Tinggalkan komen anda