Home > Menu > Karya > Artikel > PCZ, 2 Tahun Mengemudi Bahtera

PCZ, 2 Tahun Mengemudi Bahtera

26 Mac 2012 telah menyaksikan genap 2 tahun penubuhan PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ). Dalam tempoh masa yang singkat ini, pelbagai suka duka, pahit manis telah dilalui bagi memastikan kelangsungan segenap sudut pembawakan Islam.

AJKT PCZ sesi 2010/11

“Siapa yang melupakan sejarah, pasti akan mengulanginya” –George Santayana

PERUBATAN sendiri yang bermula dengan penubuhan jawatankuasa sambutan pelajar baru perubatan sesi 2002 oleh Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK), telah  membawa kepada penubuhan Badan Kebajikan Pelajar-Pelajar Perubatan (PERUBATAN) yang didaftarkan secara rasmi pada 30 Mac 2005.

Pertambahan pelajar secara drastik di seluruh muhafazah pada tahun 2006 di mana bumi Zagazig sendiri tidak ketinggalan menerima 47 orang pelajar jurusan Perubatan, telah melahirkan idea penubuhan organisasi dan cawangan PERUBATAN.

Organisasi PERUBATAN Zagazig (OPZ) telah mula bergerak pada tahun 2007 bagi memastikan kebajikan khususnya berkaitan akademik pelajar-pelajar Perubatan terjaga. Sesi kepimpinan bertukar pada tahun berikutnya dan dilanjutkan sehingga 2010.

Berikutan pertambahan ahli yang ramai, pihak pimpinan PERUBATAN induk dan OPZ bersepakat menubuhkan PERUBATAN Cawangan Zagazig yang dirasmikan pada 26 Mac 2010 oleh saudara Muhamad Husaini Bin Salleh, Presiden PERUBATAN 2010/11. Sehingga kini, PCZ menaungi lebih 500 orang mahasiswa Sains Kesihatan di Zagazig.

Senarai Pengerusi OPZ :

  1. Mohd Shafiq Bin Paridin (2007/08)
  2. Syamsul Bakri Bin Osman (2008/09/10)

Senarai Pengerusi PCZ :

  1. Abdul Hadi Bin Mohd Zuki (2010/11)
  2. Mohd Bukhari Muslim Bin Mohd Nadzim (2011)
  3. Abd Hakim Bin Mohd Suhimin (2012 )
AJKT PCZ sesi 2011

Usia bukan penentu segalanya

Walaupun baru melangkah ke tahun yang ketiga, PCZ tetap unggul dalam memenuhi keperluan ahli dan cakna terhadap masyarakat dunia secara umumnya. Di antara sumbangan yang telah dilakukan adalah :

  • Menghantar seorang wakil iaitu saudari Nurul Najuwa Bt Sazali menyertai pasukan PERUBATAN dalam misi menyelamat ke Darfur pada tahun 2009 yang dianjur oleh  Dewan Pemuda Masjid Malaysia (DPMM) dan TV3.
  • Menubuhkan Jawatankuasa Khas Darurat (JKD) bersama Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig (DPMZ) pada Januari 2011 dalam usaha menyalurkan maklumat dan menjaga keselamatan pelajar-pelajar Malaysia di Zagazig.
  • Terlibat secara langsung dalam mengendalikan OPS DARURAT bersama PERUBATAN induk di ARMA, di mana segala urusan maklumat diri dan penyusunan jadual penerbangan rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah dilakukan.
  • Menyerahkan sejumlah LE 20537. 03 kepada Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia untuk disalurkan ke Palestin pada Disember 2011. Idea Kempen Prihatin Palestin yang diasaskan sejak zaman OPZ, kini berkembang ke seluruh cawangan dengan tertubuhnya AQSA PERUBATAN di bawah Biro Kebajikan induk.
  • Menjadi tuan rumah kepada PERUBATAN Sports Day (Akhawat) 23 Mac yang lalu, di mana hampir keseluruhan tenaga ahli akhawat dikerah bagi menjayakan baik sebagai ajk pelaksana mahupun kontijen. Hubungan baik dengan pihak universiti juga memudahkan perjalanan program dan mendapat pujian daripada pihak kedutaan.

 

AJKT PCZ sesi 2012

Tak Kenal Maka Tak Cinta

Saban tahun, PERUBATAN berusaha menjayakan 3 pembawakan utama iaitu akademik, kebajikan dan kesatuan. Pada sesi ini, agenda profesionalisme dan pemacuan ekonomi turut diselitkan.

Jika dilihat secara teliti, semua agenda tersebut diperjuangkan sebagai usaha melahirkan graduan Sains Kesihatan keluaran Mesir yang mempunyai satu identiti terbaik di samping memenuhi keperluan semasa di sini. Ia hanya akan berjaya sekiranya pihak persatuan dan ahli sama-sama berusaha ke arah itu.

Memetik ucapan dasar Presiden PERUBATAN 2012/13, “Sesungguhnya, PERUBATAN hanyalah wasilah (medium) sedangkan Allah adalah ghayah (matlamat)”. Semoga PCZ terus kukuh dan teguh serta maju jaya di atas landasan Islam. Wallahu a’lam.

Disediakan oleh,

Unit Penerbitan & Penerangan,
PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012.

Tinggalkan komen anda