Home > Menu > Karya > Artikel > Idola : Sekadar gelaran atau contoh

Idola : Sekadar gelaran atau contoh

Lumrah manusia apabila mahu melakukan sesuatu perkara, pasti ada perkara yang akan disandarkan olehnya ataupun diikutinya. Sudah pasti seseorang insan akan mencari idola yang terbaik untuk diikutinya dan dijadikan contoh.

Mencari seseorang idola sebagai contoh dalam hidup sangat sukar, kerana tidak ada seseorang idola pun yang dapat menandingi kehebatan contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ramai orang terlampau sibuk meniru idolanya dalam pelbagai perkara, tanpa disedarinya, idola yang dipujanya itu lebih teruk berbanding dirinya sendiri. Salah mencari idola boleh menyebabkan kekecewaan dan keruntuhan akhlak apabila idola yang diikuti tidak menepati keperibadian seseorang. Nabi Muhammad merupakan contoh terbaik dalam setiap perkara.

Mana lebih baik di antara cuba mencari seseorang idola yang boleh dijadikan contoh (selain Nabi Muhammad) atau cuba menjadikan diri kita seboleh-bolehnya sebagai seorang idola? Jawapannya berada di tangan anda sendiri. Jika “title” idola itu dijadikan seolah-olah seperti satu jawatan ataupun gelaran yang wajib diwujudkan, kemungkinan besar idola hanya akan menjadi sekadar gelaran semata-mata. Tetapi jika “idola” itu hanya merupakan satu gerak hati sendiri untuk menjadikan seseorang sebagai contoh, maka itu akan menunjukkan anda jalan yang sepatutnya. Kerana itulah saya katakan, tidak ada idola yang dapat menandingi kehebatan contoh yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.

SALAH MEMILIH IDOLA

Apabila menyentuh mengenai perkara ini, ternyata pada zaman sekarang ramai orang salah memilih idola mereka masing-masing. Kebanyakan idola yang dipilih hanya untuk tujuan memenuhi kehendak duniawi semata-mata. Sedangkan idola yang sepatutnya dicari ialah idola yang mampu membawa kita kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Jika seseorang idola itu hanya tertumpu kepada sesuatu bidang sahaja, itu bukanlah dinamakan idola, tetapi hanya sebagai contoh terhad kepada bidang itu sahaja. Antara ciri-ciri manusia yang layak dijadikan idola yang baik ialah :

1) Menyedari kelemahan dirinya dan tidak sombong

2) Mengajak orang ramai melakukan perkara-perkara yang baik

3) Tidak menjadikan kesempatan itu sebagai satu platform untuk mendapatkan sesuatu

4) Tidak menjadikan dirinya sebagai bahan bandingan dengan orang yang lebih lemah

5) Mengingatkan pengikutnya tentang idola yang terbaik iaitu Nabi Muhammad s.a.w

Mungkin sukar untuk kita mencari idola yand dapat memenuhi tuntutan dan kehendak hati kita.Kesimpulannya,jangan jadikan idola itu sekadar gelaran tetapi jadikanlah idola itu sebagai contoh yang boleh membawa kepada kebaikan. Tiada idola yang dapat menandingi kehebatan Nabi Muhammad s.a.w.

Sekian.

Unit Tazkirah,
Information, Campaign and Multimedia Unit,
Unit Pembangunan Insan,
PCZ 2012.

Tinggalkan komen anda