Home > Menu > Kenyataan Rasmi > PERUBATAN Seru Ahli Cakna dan Bertindak Menghadapi Situasi Buruk Umat Islam Syria

PERUBATAN Seru Ahli Cakna dan Bertindak Menghadapi Situasi Buruk Umat Islam Syria

“Sesungguhnya orang-orang Mukmin itu bersaudara (Mafhum Surah Al-Hujurat: 10)

“Perumpamaan orang-orang mukmin dalam saling cinta-mencintai, sayang-menyayangi dan kasih-mengasihi seperti tubuh, jika salah satu anggota tubuh terasa sakit, maka seluruhnya akan tidak bisa tidur dan demam.” (Muttafaqun A’laih)

Pergolakan di bumi Islam Syria semakin meruncing pada hari ini. Ribuan nyawa yang tidak berdosa telah dikorbankan regim Bashar Al-Assad yang berkeras ingin mengekalkan kuasa pemerintahan. Tidak terusikkah kalbu serta tidak terbuakkah amarah kala melihat penderitaan kaum Muslimin di dunia yang ditindas dan dizalimi saban hari?

PERUBATAN dengan ini mengecam keras tindakan kezaliman yang ditimpa kepada umat Islam Syria dan sesekali tidak bersetuju dengan pembantaian tersebut yang menghina hak keamanan, kedamaian dan kebebasan yang dituntut oleh umat Islam Syria.

Menjadi peranan PERUBATAN selaku sebuah wadah kesatuan mahasiswa sains kesihatan di bumi Mesir ini untuk mengambil berat dan bertindak dalam menghadapi isu umat Islam ini.

PERUBATAN menyeru ahlinya agar:

  1. Mengadakan solat hajat dan mendoakan kesejahteraan umat Islam Syria.
  2. Sentiasa mengikuti perkembangan terkini umat Islam Syria melalui media arus perdana.

PERUBATAN mengambil inisiatif berdepan dengan isu ummah ini dengan bakal mengadakan program penerangan isu umat Islam Syria dengan kerjasama beberapa pihak luar yang bersetuju untuk bersama menjayakan misi ini.

Satu kutipan derma besar-besaran juga akan diadakan bagi membantu meringankan beban umat Islam di Syria melalui saluran yang dikenalpasti dapat menyalurkan bantuan kewangan tersebut dengan selamat kepada penduduk Islam Syria.

Bersama kita memohon supaya Allah meringankan bebanan dan kezaliman krisis politik yang dihadapi umat Islam Syria yang tidak dijangka bila pengakhiranya.

Sekian. Allah Selamatkan Umat Islam Syria.


Ilmuan Berbakti Teguh Sehati

At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah

syafiqhamdani

Syafiq Hamdani

Presiden PERUBATAN 2011/2012

Tinggalkan komen anda