Home > Biro PCZ > Biro Akademik > Laporan “Roadshow PAPISMA”

Laporan “Roadshow PAPISMA”

7 Februari 2012 – Zagazig: Roadshow PAPISMA bersama Dr. Harmy bin Mohamed Yusoff ,Pensyarah /Ketua Jabatan Perubatan Keluarga di Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Kubang Kerian, anjuran PERUBATAN Cawangan Zagazig telah berlangsung dengan jayanya dan mendapat sambutan yang memberangsangkan. Program ‘Sejenak Bersama Dr. Harmy’ ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada semua mahasiswa Sains Kesihatan ahli PERUBATAN Cawangan Zagazig untuk berinteraksi secara langsung dengan tokoh terkenal dalam bidang perubatan dari Malaysia dan seterusnya membuka minda warga Zagazig berkaitan isu-isu semasa yang berlaku dalam bidang sains kesihatan masa kini.

Majlis bermula pada jam 11.00 pagi dengan bacaan Al-Fatihah. Majlis didahulukan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zagazig, Saudara Abd Hakim Bin Mohd Suhimin. Saudara Muhammad Ridzuan Bin Mohd Nor , Ketua Biro Penerbitan dan Penerangan selaku wakil PERUBATAN  yang turut hadir bersama-sama dengan rombongan roadshow turut menyampaikan ucapan dan kemudiannya disusuli dengan slot bersama bersama Dr. Harmy.

Sepanjang mengisi program yang berkonsepkan sharing moments ini, Dr. Harmy banyak berkongsi pengalaman dan isu semasa yang berlaku seputar dunia perubatan dan realiti masyarakat masa kini. Ceramah yang tampak bersahaja disamping teknik penyampaian dua hala memukau banyak mata dan menarik minat peserta yang hadir pada program tersebut. Peserta berebut-rebut untuk bertanyakan persoalan-persoalan yang selama ini bermain di minda selaku mahasiswa Sains Kesihatan. Antara yang sempat ditanya adalah berkenaan hala tuju seseorang mahasiswa Perubatan selepas tamat pengajian hinggalah ke peringkat PHD. Turut dikongsikan kata-kata semangat dan motivasi berupa cabaran kepada semua mahasiswa Sains Kesihatan untuk menjadi yang terbaik dalam bidang masing-masing.

Beliau yang juga aktif bersama dengan NGO Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia ( PAPISMA) turut berkongsi buah fikiran dan perancangan yang telah dilakukan oleh pihak PAPISMA. Perkongsian ini telah memberi satu gambaran awal kepada semua mahasiswa akan realiti dunia perubatan pada masa akan datang. Di antara pesanan yang sempat beliau berikan kepada semua mahasiswa yang hadir, adalah supaya melibatkan diri dalam program  persatuan terutamanya PERUBATAN Cawangan Zagazig. Hal ini kerana kehidupan berpersatuan dapat mengasah banyak softskills , antaranya teknik berkomunikasi yang mana sangat penting kepada bakal doktor dan ahli farmasi. Ilmu-ilmu sebegini semestinya tiada di dalam mana-mana buku rujukan. Program ini berakhir sekitar jam 2.00 petang.

Disediakan oleh,

Ahmad Hanif Bin Abdullah

Setiausaha & Promosi Roadshow PAPISMA 2012

[finder]Galeri Roadshow PAPISMA[/finder]

Tinggalkan komen anda