Home > Biro PCZ > Biro Sukan & Aktiviti Luar > Laporan Program Sinai Explorer (SINEX ’12) Akhawat

Laporan Program Sinai Explorer (SINEX ’12) Akhawat

Pada 31 Januari hingga 3 Februari 2012, Unit Sukan dan Aktiviti Luar, PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012 dengan kerjasama Kembara Barakah telah mengadakan satu program iaitu Sinai Explorer Akhawat (SINEX ’12). Seramai 40 orang peserta dan 7 orang AJK perlaksana telah mengambil bahagian dalam program ini. Bersempena tema “Explore the nature, meet The Creator”, objektif utama program kali ini adalah mengeratkan ikatan ukhuwwah Islamiah dalam kalangan mahasiswi, di samping memupuk semangat kesatuan dan kerjasama dalam kalangan ahli dan kepimpinan PERUBATAN.  Selain itu, ahli berpeluang menyaksikan bukti-bukti kebesaran Ilahi melalui peninggalan sejarah para Anbiya’, program rehlah ini juga diharap dapat membantu meningkatkan thaqafah ahli yang dapat dijadikan iktibar dan panduan dalam kehidupan sebagai seorang khalifah.

Program dimulakan pada malam 31 Januari 2012, para peserta berkumpul di Imarah Baba Yasser pada jam 2.00 pagi. Taklimat sebelum perjalanan telah disampaikan oleh Pengarah Program SINEX ’12, saudari Duratul’ain Mohamad Nazri. Perjalanan dimulakan seusai taklimat pada jam 3.00 pagi, 1 Februari 2012,  dengan bacaan doa yang diketuai oleh Ustaz Amar Jamaluddin, wakil dari Kembara Barakah juga merangkap Ketua Mushrif pada kali ini. Pada jam 5.30 pagi, rombongan telah sampai di Terusan Suez, lokasi pertama yang akan dilawati. Selesai solat, pada jam 6.00 pagi, rombongan bertolak ke lokasi pertama iaitu persisiran Terusan Suez, sambil diberi sarapan pagi. Dalam perjalanan ke destinasi yang seterusnya, sedikit ucapan telah disampaikan oleh Pengarah Program, saudari Duratul’ain Mohamad Nazri dan program SINEX ’12 ini juga telah dirasmikan oleh AJKT PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012, saudari Nurul Fatin ‘Ajlaa Bt Shaari. Setelah itu, perjalanan diserikan oleh sedikit kuiz berkenaan tempat-tempat yang telah diceritakan oleh Ustaz Amar.

Setelah melalui perjalanan selama 4 jam melalui Terowong Ahmad Hamdi dan Laut Merah, rombongan sampai ke lokasi kedua iaitu Uyun Musa. Peserta diberi masa selama 1 jam menikmati panorama di kawasan tersebut, di samping mendengar penerangan yang diberi oleh Ustaz Amar. Seusai Uyun Musa, peserta rombongan dibawa ke Panorama Bar Liev yang tidak jauh dari Uyun Musa, iaitu kem peninggalan Tentera Israel semasa Perang Israel – Mesir pada tahun 1973. Kemudian, para peserta meneruskan perjalanan ke Taba, sempadan Mesir – Israel, melewati Kubu Salahuddin Al-Ayubi, sebelum tiba di Dahab. Peserta tiba di Dahab pada jam 6.30 malam dan menginap di Hotel Seven Heaven. Pada malam itu, para peserta diberi peluang untuk bersiar-siar sambil membeli-belah di sekitar kawasan yang telah ditetapkan.

Hari kedua, 2 Februari 2012, para peserta berkumpul pada jam 8.30 pagi dan berangkat ke persisiran pantai Dahab, untuk menaiki ‘Glass Boat’. Setelah itu, peserta dibenarkan menggunakan kemudahan yang ada di sekitar pantai Dahab, antaranya, berbasikal, menunggang kuda, berkayak, banana boat dan sebagainya. Selesai aktiviti pada jam 11 pagi, peserta bersiap-siap untuk mendaftar keluar dan menuju ke destinasi seterusnya iaitu, St. Catherine. Di St. Catherine, para peserta melawat Makam Nabi Saleh, Makam Nabi Harun dan Lembu Samiri. Sebelum mendaftar masuk ke tempat penginapan seterusnya, iaitu Hotel Moonland, para peserta telah diberi taklimat tentang perjalanan program pada malam tersebut dan pada esok hari oleh Pengarah Program, saudari Duratul’ain Mohamad Nazri. Selepas solat Isyak, para peserta melawat Wadi Muqaddas dan Mata Air Nabi Musa.

 

Hari ketiga, 3 Februari 2012, selepas solat Subuh, para peserta bergerak ke kaki gunung Sinai Sedikit taklimat dan pembahagian kumpulan oleh Pengarah Program dan AJK Perlaksana, serta sedikit senaman ringan kepada para peserta telah dilakukan. Tepat jam 7.00 pagi, para peserta bergerak mengikut kumpulan dan musyrif yang telah ditetapkan. Selama 4 jam mendaki, kira-kira jam 11 pagi akhirnya kesemua peserta berjaya sampai ke puncak gunung Sinai. Peserta diberi sedikit taklimat oleh Ustaz Amar berkenaan gunung Sinai, serta diberi peluang selama sejam untuk menikmati panorama dan keindahan alam ciptaan Ilahi. Pada jam 12.30 tengah hari, para peserta mula bergerak menuruni gunung Sinai, yang mengambil masa selama 3 jam. Sesampainya di hotel, peserta diminta bersiap-siap untuk mendaftar keluar, dan pada jam 4.30 petang, para peserta berangkat pulang melalui Sharm El-Sheikh. Sepanjang perjalanan, sedikit kuiz, cabutan bertuah dan majlis penutup yang telah dipengerusikan oleh saudari Siti Hanisah Bt Tuan Stia. Peserta terbaik pada program SINEX’12 kali ini telah disandang oleh saudari Nuramalina Izzati  Bt Nazaruddin. Pemilihan dilakukan berdasarkan komitmen, semangat kesatuan dan disiplin yang telah dinilai sepanjang program. Tidak lupa juga, sedikit kata-kata penutup oleh Ustaz Amar dan sedikit cenderahati  kepada beliau yang disampaikan oleh Pengarah Program, saudari Duratul’ain Mohamad Nazri. Seusai majlis penutup, peserta dibenarkan melakukan aktiviti masing-masing, dan rombongan selamat tiba di Zagazig pada jam 3.30 pagi, 4 Februari 2012.

Program Sinai Explorer Akhawat (SINEX ’12) mungkin banyak cacat celanya, tetapi Alhamdulillah keseluruhan program telah berjaya dijalankan tanpa banyak masalah yang dihadapi. Diharap para peserta telah berjaya mencapai objektif program SINEX ‘12 pada kali ini, dan meresap ke dalam jiwa para peserta. Terima kasih diucapkan kepada para peserta, AJK Pelaksana, dan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam program ini, kerana telah berjaya melaksanakan program yang bermakna pada tahun ini. Terima kasih juga kepada pihak Kembara Barakah kerana sudi bekerjasama menjayakan program bersama-sama PERUBATAN Cawangan Zagazig. Semoga ukhuwwah yang terbina sepanjang rehlah ini dikekalkan hingga ke akhir hayat.

“TAKWA, SYIFA’, RAHMAH” 

 

“ILMUAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI”

Disediakan oleh,

NUR IZZATI BT AHMAD

Setiausaha,

Sinai Explorer Akhawat 2012 (SINEX ’12),

Unit Sukan Dan Aktiviti Luar,

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012

Tinggalkan komen anda