Home > Biro PCZ > Biro Sukan & Aktiviti Luar > Laporan Jaulah Sinai 2012 (Sinex ’12) Ikhwah

Laporan Jaulah Sinai 2012 (Sinex ’12) Ikhwah

2 Februari 2012-  Alhamdulilah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana jaulah ke Sinai atau dikenali sebagai Sinai Explorer (SINEX) dapat dilaksanakan pada tahun ini setelah tertunda pada tahun lepas kerana berlakunya revolusi Mesir. Bertemakan “Explore The Nature, Meet The Creator”, program anjuran Unit Sukan dan Aktiviti Luar, PERUBATAN Cawangan Zagazig 2012 bertujuan untuk menghayati dan menerokai sirah silam para nabi disamping merapatkan ukhuwah diantara peserta yang menyertai program ini.

           Rombongan bertolak pada pukul 1:00 pagi setelah peserta selesai melaksanakan solat sunat musafir di rumah Dr Naim bin Sarfaraz Ahmad. Pengarah program, Dr Ayyub Ansari bin Rosli terlebih dahulu memberi ucapan pembukaan dan kemudiannya sedikit tazkirah ringkas dari Ustaz Muhammad Nasuha bin Zakaria sebelum dikendalikan oleh Dr Muhammad Safwan bin Md Saad, Unit Tugas-Tugas Khas program bagi menerangkan etika keselamatan dan etika sepanjang perjalanan. Setelah itu, majlis diserahkan kepada musyrif program, Ustaz Muhammad Fakhrul Arif bin Muhammad Mazlan yang lebih dikenali dengan panggilan Ustaz Ateh dari Baraka Travel Agency bagi menerangkan tentang destinasi yang bakal dikunjungi.

          Pada hari pertama, setelah usai solat Subuh, perjalanan diteruskan menuju ke Uyun Nabi Musa dengan melalui terowong Ahmad Hamdi yang terletak dibawah terusan Suez yang menghubungkan antara benua Asia dan Afrika. Setelah itu perjalanan diteruskan menuju ke Kem Tentera Israel dan seterusnya menuju ke Taba iaitu sempadan antara  Mesir dan Israel. Perjalanan diteruskan menuju ke Dahab, tetapi sebelum itu rombongan berhenti ditebing yang berdekatan dengan Kubu Solahuddin al-Ayyubi bertujuan untuk mengambil gambar disamping mendengar penerangan dari Ustaz Ateh. Setibanya di Dahab pada pukul 4:00 petang, peserta rombongan menginap di Hotel Seven Heaven. Aktiviti pada sebelah malamnya adalah tazkirah yang di sampaikan oleh Muhammad Hamdi, seorang peserta dari Kaherah selepas solat jamak Isyak dan Maghrib dan kemudiannya adalah aktiviti bebas untuk para peserta.

         Pada hari kedua pula, aktiviti pertama “Glass Boat” di Teluk Aqabah dilaksanakan pada pukul 7:30 pagi  bertujuan untuk menghayati panorama di dasar Teluk Aqabah. Aktivti seterusnya adalah aktiviti bebas di pantai berhampiran dengan Teluk Aqabah sebelum para peserta pulang semula ke tempat penginapan dan bersiap untuk check-out pada pukul 11:00 pagi. Perjalanan diteruskan dengan menuju ke kawasan selatan Sinai. Kawasan pertama yang dilawati ialah Banjaran Tikh yang dikatakan tempat  kaum Bani Israel disesatkan selama 40 tahun. Setelah itu , perjalanan diteruskan menuju kawasan ukiran patung lembu emas dan Makan Nabi Harun. Seterusnya menuju ke tempat penginapan yang berhampiran dengan Wadi Arbain. Aktiviti seterusnya yang dilaksanakan pada pukul 4:00 petang ialah melawat Wadi Arbain, sebuah lembah pertemuan 40 orang nabi, kemudiannya perjalanan diteruskan menuju ke 12 air mata air Nabi Musa yang terletak beberapa kilometer dari Wadi Arbain. Peserta pulang ke kawasan penginapan pada pukul 5:30 petang. Aktiviti pada sebelah malam adalah bebas  bertujuan untuk membenarkan peserta berehat sebelum memulakan pendakian ke Jabal Musa pada keesokkan harinya.

       Pada hari ketiga, aktiviti pendakian gunung Nabi Musa (Jabal Musa) dimulakan seawal 2:00 pagi, dimulakan dengan taklimat ringkas dari unit pengisian, Mohd Zulfadzli bin Yamin dan unit tugas-tugas khas, Muhammad Safwan bin Md  Saad. Seterusnya  adalah aktivti memanaskan badan dan pendakian terus dimulakan. Kebanyakan peserta tiba di puncak adalah pada pukul 5:30- 6:00 pagi.Setelah selesai menunaikan solat Subuh, peserta bersiap sedia untuk turun menuju ke perkampungan Nabi Ilyas dan Saint Catherine ‘s Monastery. Semua peserta pulang ke tempat penginapan pada pukul  9:00 pagi. Setelah itu, semua perserta dibenarkan berehat dan bersiap sedia untuk pulang ke Zagazig pada pukul 11:00 pagi. Semua peserta rombongan berpisah dengan Ustaz Ateh dan pelajar-pelajar Jordan /Kaherah ketika melalui  satu kawasan berhampiran dengan terowong Ahmad Hamdi dalam perjalanan pulang. Semua peserta selamat tiba di bumi Zagazig pada pukul 11: 30 malam pada tarikh 2 Februari 2012.

       Semoga aktiviti yang bermanfaat seperti program ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang. Untuk para peserta yang menyertai program ini, diharap segala sirah dan pengalaman yang di perolehi dapat dijadikan pedoman bagi menghadapi hari yang mendatang. Sekian wasalam.

Disediakan oleh:

MOHD NAJHAN BIN SUMERI,                                                                                                                  

Setiausaha,

Program SINEX ‘12

Tinggalkan komen anda