Home > Biro PCZ > Biro Sukan & Aktiviti Luar > Laporan Dumyat Explorer ( DUMEX ’12) Akhawat

Laporan Dumyat Explorer ( DUMEX ’12) Akhawat

Dumyat, 30 Januari 2012 – Jaulah ke Dumyat yang dinamakan Dumyat Explorer, atau singkatannya DUMEX’12 telah berjaya dijalankan. Jaulah yang bertemakan “Menyingkap Kebesaran Sang Pecipta, Tautan Ukhwah Tercipta” telah disertai oleh 75 orang peserta yang terdiri daripada pelajar Perubatan tahun 1, 2, 3, 4 dan 6 serta pelajar jurusan Farmasi.

Peserta berkumpul bermula jam 6.30 pagi dan kemudiannya dibahagikan mengikut bas yang bakal dinaiki. Walaupun begitu, berlaku sedikit kelewatan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, akhirnya rombongan bertolak pada jam 8.15 pagi.

Sepanjang perjalanan, pelbagai aktiviti serta pengisian di dalam bas telah dijalankan. Aktiviti pengisian  telah dipengerusikan oleh saudari Syallain Bt Mustamum dan diantara pengisiannya ialah ucapan perasmian oleh saudari Fatmatul Zahrah Bt Mat Zin, tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Zuhaili Bin Zanal Ali serta aktiviti teka-teki.

Rombongan telah tiba di pantai Dumyat pada jam 11.20 pagi  kerana berlaku kesesakan lalu lintas serta hujan renyai. Aktiviti pantai dimulakan dengan senam aerobik yang diketuai oleh Arina Qurrota A’yun Fauziyanti, Nuratiqah Bt Norizan, Syaza Athirah bt Zet Hanafiah dan Nurul Syahin Bt Zailani. Seterusnya, peserta telah memulakan aktiviti yang dinanti-nantikan iaitu Shell Hunter.

Jam 2.30 petang, peserta telah dihidangkan nasi beserta ayam BBQ sebagai makanan tengah hari dan seterusnya peserta bersiap sedia untuk bertolak ke Ra’sul Bar pada jam 3.30 petang. Sebelum tiba di Ra’sul Bar, rombongan telah singgah di masjid terdekat untuk menunaikan solat jamak ta’khir Asar dan Zuhur.

Seperti yang diketahui, Ra’sul Bar merupakan tempat pertemuan dua arus antara Sungai Nil dan Laut Mediterranian. Air keduanya tidak bercampur seperti yang dinyatakan dalam Surah al-Furqan : 53, mafhumnya “ Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan) yang ini tawar dan segar dan yang lain asin lagi pahit. Dan Dia jadikan antara keduanya dinding dan batas yang tidak tembus.”

Selain itu, Ra’sul Bar juga merupakan tempat pertemuan diantara Nabi Musa A.S dan Nabi Khidir A.S. Sepanjang berada di sana, Ustaz Muhammad Zuhaili Bin Zanal Ali turut menerangkan mengenai kisah penemuan antara Nabi Musa A.S dan Nabi Khidir A.S seperti yang tercatat dalam surah al-Kahfi : 71-82. Selain itu, peserta turut berpeluang menikmati pemandangan matahari terbenam.

Sebelum bertolak pulang, peserta telah menunaikan solat Jamak Taqdim Maghrib dan Isyak. Selain itu, peserta juga berkesempatan singgah ke kedai manisan semasa perjalanan balik ke Zagazig. Aktiviti pengisian di dalam bas turut diadakan antaranya ialah soal jawab mengenai pengisian-pengisian yang telah disampaikan oleh Ustaz Muhammad Zuhaili Bin Zanal Ali sepanjang jaulah berlangsung. Selain itu, dua orang peserta turut diberi peluang untuk mengutarakan pandangan serta pendapat mengenai jaulah kali ini.

Alhamdulillah, rombongan selamat tiba di Zagazig pada jam 10.45 malam. Semoga jaulah kali ini mampu memberi sesuatu yang bermanfaat kepada peserta serta mencapai hadaf utama program.

Disediakan oleh,

Ili Amnani binti Ilyasnur,

Setiausaha DUMEX ’12.

[finder]Galeri DUMEX ’12 Akhawat[/finder]

Tinggalkan komen anda