Home > Menu > Kenyataan Rasmi > Penubuhan Organisasi PERUBATAN Mengikut Universiti Di Kaherah

Penubuhan Organisasi PERUBATAN Mengikut Universiti Di Kaherah

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Bersempena dengan kehadiran Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN kali ke-8 pada awal Mac ini, pelbagai perubahan besar akan diimplementasikan bersempena dengan peralihan sesi kepimpinan PERUBATAN yang terbaru bagi tahun 2012/2013.

Maka, berdasarkan hasil keputusan yang diperolehi di dalam Mesyuarat Tahunan Kaherah pada Disember 2010, barisan kepimpinan PERUBATAN 2011/2012 telah melakukan beberapa siri kajian lapangan serta perbincangan dan akhirnya berjaya membuat perangkaan akhir bagi melaksanakan hasrat seluruh ahli PERUBATAN di Kaherah untuk memisahkan organisasi PERUBATAN di Kaherah kepada 3 universiti iaitu Universiti Kaherah, Universiti Ain Syams dan Universiti Al-Azhar berkuatkuasa menjelang Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-8 pada kali ini.

Organisasi PERUBATAN yang melibatkan seramai 21 orang Ahli Jawatankuasa Tertinggi sebagai pimpinan tertinggi di ketiga-tiga universiti tersebut telah mendapat maklum balas yang baik untuk dilaksanakan di setiap universiti di Kaherah berdasarkan siri-siri perjumpaan bersama semua wakil Ketua Batch  daripada setiap universiti sebelum ini.

Justeru, sebuah jawatankuasa yang akan melaksanakan gerak kerja penubuhan organisasi PERUBATAN mengikut universiti ini telah ditubuhkan di bawah pantauan Presiden PERUBATAN 2011/2012, saudara Syafiq bin Hamdani dan melibatkan 8 orang AJKT PERUBATAN untuk melaksanakan pemilihan, sesi penerangan kepada ahli dan pengesahan pelaksanaan organisasi ini dalam tempoh sebelum Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-8 menjelang.

Sesi penerangan lanjut berkenaan perkara ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa melalui laman mediaPERUBATAN kepada seluruh ahli PERUBATAN di Kaherah.

Pihak pimpinan PERUBATAN mengharapkan agar ahli PERUBATAN dapat:

  1. Memahami dan menghayati keperluan pelaksanaan organisasi PERUBATAN mengikut universiti yang seiring dengan keperluan semasa ahli PERUBATAN di Kaherah.
  2. Mengikuti perkembangan semasa penubuhan organisasi PERUBATAN dari awal sehingga ke saat akhir pelaksanaan.
  3. Memberikan kerjasama dan menjayakan penubuhan organisasi PERUBATAN mengikut universiti menjelang Mesyuarat Agung Tahunan PERUBATAN kali ke-8.

Kerjasama yang baik dan jitu dari kalangan ahli PERUBATAN untuk memastikan kekemasan, kekuatan, keefisienan dan pemfokusan gerak kerja PERUBATAN di Kaherah dapat dicapai dengan baik dengan pelaksanaan organisasi ini. Semoga pelaksanaan penubuhan organisasi PERUBATAN di Kaherah ini dipermudahkan, mendapat keredaan dan diterima sebagai amal baik di sisi Allah Subhanahu Wa Taala.

Sekian dimaklumkan.

At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah

Ilmuan Berbakti Teguh Sehati

 syafiqhamdani

Syafiq bin Hamdani

Presiden PERUBATAN 2011/2012

Tinggalkan komen anda