Home > Majlis Tertinggi > Laporan Mesyuarat Tahunan Cawangan Kali Ke-2 PCZ 2011

Laporan Mesyuarat Tahunan Cawangan Kali Ke-2 PCZ 2011

31 Disember 2011, Zagazig – Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) Zagazig kali yang ke-2 telah diadakan bertempat di Dewan Hospital Surgeri, Universiti Zagazig. MTC ini dianjurkan di bawah Jabatan Setiausaha PCZ 2011 dengan bertemakan “Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati”. Ianya bertujuan untuk memberi peluang kepada semua ahli PCZ untuk bersuara dan memberikan pendapat, cadangan serta pandangan dalam meningkatkan kualiti PCZ supaya bertambah baik pada masa akan datang.

Para perwakilan dan pemerhati mula membanjiri dewan seawall jam 8.30 pagi. Pada pukul 9.15 pagi majlis bermula dengan ucapan aluan pengerusi umum oleh saudara Miftahudin dan penerangan mengenai etika disiplin semasa bermesyuarat. Majlis kemudian diteruskan dengan bacaan Al-Quran oleh saudara Abdul Hadi bin Zulkepli dan bacaan doa pembukaan oleh saudara Mohamad Nasa’i bin Abd Azais. Setelah ucapan Pengarah MTC, Syakir Husein bin Sohaimi, majlis diserikan lagi dengan ucapan Koordinator Pelajar Malaysia Universiti Zagazig, Dr. Osama Kmhawy yang turut sama hadir memberikan sokongan terhadap setiap aktiviti yang dijalankan oleh pelajar-pelajar Malaysia. Dalam ucapan beliau, Dr. Osama menekankan tentang kehadiran ke kuliah dan juga turut menggalakkan semua pelajar agar belajar bersungguh-sungguh dan berjaya seperti senior tahun 6. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi PCZ 2011, saudara Mohd Bukhari Muslim bin Mohd Nadzim dan diikuti dengan ucapan perasmian oleh wakil AJKT PERUBATAN Pusat, saudara Muhammad Ridzuan bin Mohd Nor. Ucapan perasmian yang bersemangat oleh wakil PERUBATAN sedikit sebanyak membuka mata ahli untuk melontarkan idea dan muhasabah selepas ini.

Mesyuarat Tahunan Cawangan (MTC) bermula dengan perlantikan setiausaha sidang yang dikendalikan oleh saudara Wan Za’imu Nazmeer bin Wan Abu Bakar sebagai Pengerusi Sidang untuk MTC pada kali ini. Sesi pertama dimulai dengan pengesahan minit mesyuarat MTC kali pertama dan diteruskan dengan ucapan dasar Pengerusi PCZ 2011, Mohd Bukhari Muslim bin Mohd Nadzim. Setelah itu perbahasan bagi ucapan dasar dibuka dan pelbagai pandangan dan cadangan daripada ahli-ahli sidang dilontarkan satu demi satu.

Sesi kedua dimulakan dengan pembentangan Laporan Aktiviti Tahunan dan Laporan Kewangan sesi 2011 oleh kesemua AJKT PCZ 2011. Kemudian, diikuti oleh perbahasan, persoalan serta cadangan oleh ahli sidang bagi setiap laporan yang dibentangkan. Setiap ahli sidang diingatkan agar sentiasa mematuhi etika perwakilan dan menghormati masa yang telah ditetapkan. Majlis berehat sebentar untuk solat Zohor dan makan tengahari.

Mesyuarat dihangatkan lagi pada sesi ketiga dengan pembentangan 6 usul yang telah dibawa oleh para pencadang usul. Pelbagai hujah yang diutarakan oleh ahli sidang bagi menyokong atau menolak usul-usul yang dibentangkan. Ahli sidang diminta mengundi bagi menentukan usul tersebut diterima atau tidak untuk dibawakan ke sesi hadapan. Dan keputusannya adalah 5 usul yang diterima manakala satu lagi ditolak dan dijadikan cadangan.

Majlis kemudian diserahkan kembali kepada pengerusi umum untuk diteruskan dengan ucapan penangguhan Pengerusi PCZ 2011 dan disusuli perletakkan jawatan AJKT sesi 2011. Majlis disempurnakan lagi dengan penyampaian cenderahati dan sijil kepada Penasihat dan AJKT PCZ 2011 sebagai tanda penghargaan atas jasa bakti mereka.

Majlis kini sampai pada kemuncaknya apabila keputusan pilihanraya bagi kenaikkan AJKT PCZ sesi 2012 diumumkan oleh Pengarah JPCZ, saudara Mohd Zulfadzli bin Yamin. Setelah itu, perlantikan 4 orang juruaudit sesi 2012 diadakan dengan cadangan nama dan sokongan oleh ahli sidang yang hadir. Seterusnya, ucaptama Pengerusi PCZ 2012, saudara Abd. Hakim bin Mohd Suhimin yang disampaikan dengan penuh semangat mengakhiri pengisian Mesyuarat Tahunan Cawangan Zagazig pada kali kedua ini.

Majlis akhirnya ditangguhkan dengan bacaan Tasbih Kaffaratul Majlis dan surah Al-Asr pada pukul 5.20 petang. Semoga kenaikkan AJKT baru ini dapat membawa PCZ kearah yang lebih baik pada masa hadapan.  Sirru ‘ala barakatillah.

 Disediakan Oleh:

(Mohd Zakhiruddeen A. Bakar)

(Noor Farihah Bt. Mokhtar)

Setiausaha MTC-II 2011.

Tinggalkan komen anda