Home > Menu > Berita > Kemeriahan Night of Ladies Enlightenment, Membuka Tirai FIESTA PCZ 2011

Kemeriahan Night of Ladies Enlightenment, Membuka Tirai FIESTA PCZ 2011

ZAGAZIG, 8 Dis- FIESTA PCZ 2011 kini menggegarkan seluruh warga Zagazig dengan pelbagai aktiviti dan program menarik yang disediakan. Program pembukaan bagi FIESTA kali ini dimulakan dengan program khas buat para mahasiswi
iaitu program Night of Ladies Enlightenment (NILE). Bertempat di Mustasyfa Garahah, program bermula dengan kedatangan mahasisiwi seawal pukul 4.30 petang. Ucapan alu-aluan terlebih dahulu disampaikan oleh saudari Siti Muslihah Bt. Mohd.Nor, Timbalan Pengarah II, Fiesta PCZ 2011 diikuti dengan perasmian FIESTA 2011 oleh saudari Azlizan bt Supian, Penasihat PCZ 2011. 

Majlis diceriakan lagi dengan gimik perasmian dimana sebiji balang kaca berisi kelopak bunga mawar telah dibawa ke pentas bersama butang PERUBATAN. Kesukaran untuk mencari butang yang kemudian di letakkan ditempatnya menjadi analogi betapa mahalnya harga seorang wanita yang bergelar Muslimah dan betapa perlunya Muslimah ini diletakkan pada tempatnya. 

Program yang membawakan tema ‘EXPENSIVE, EXQUISITE, EXCELLENT’ ini buat julung kalinya diadakan pada waktu malam yang melibatkan penyertaan hampir sepenuhnya dari mahasiswi Zagazig. Antara aktiviti yang ditunggu-tunggu oleh sekalian mahasiswi pada malam ini ialah pertandingan nasyid terbuka akhawat (Ladies on Stage) dimana sebanyak tujuh kumpulan nasyid telah dipertandingkan. Setiap kumpulan membawa sebuah lagu tema “Puteriku Sayang” dan juga sebuah lagu pilihan.

Kemeriahan suasana majlis begitu gamat terasa dengan suara penyokong bagi memberi semangat kepada kumpulan nasyid pilihan masing-masing. Antara kumpulan yang bertanding termasuk Soutul Rabiah Al-Adawiyah, Triple S, At-tin, Lu’ lu’, Soutul Soidala, Firasyatul Malikah dan the Veil’s. Semua peserta kelihatan begitu bersemangat memberikan persembahan yang terbaik, penuh kreatif dan inovatif, ditambah lagi dengan mengenakan busana Muslimah yang syar’ie dan menutup aurat semasa menyampaikan lagu.

Bukan sekadar bernasyid, intelektualiti dan kefahaman para peserta juga turut diuji dengan soalan-soalan membina berkisar isu kewanitaan, aurat dan muslimah dari para hakim yang menjadi juri sepanjang pertandingan nasyid berlangsung. 

Program NILE yang meriah dan dihadiri sekitar 200 orang mahasiswi ini berakhir pada jam 8 malam. Keputusan pertandingan akan diumumkan pada program FIESTA yang bakal menyusul esok iaitu progra

m ‘Sonata de Amour’ bertempat di Dewan Darul Wehdah yang mana akan turut melibatkan keseluruhan mahasiswi Zagazig. Program malam ini pastinya meninggalkan kenangan indah dan merapatkan lagi ukhwah di antara mahasiswi di samping dapat mempamerkan bakat sesama kaum hawa. 

PERUBATAN Cawangan Zagazig dan seluruh tenaga kerja pelaksana merakamkan setinggi-tinggi perhargaan dan kemaafan kepada semua yang hadir dan memeriahkan NILE pada malam ini sekiranya terdapat kekurangan pada program istimewa hari ini. Semoga dengan idea-idea dan bakat baru yang dicungkil akan lebih meningkatkan produktiviti para mahasiswi Zagazig untuk menjadi Muslimah yang lebih hebat dan berketrampilan pada hari mendatang.

Disediakan oleh,

Azean Diyana Bt. Ag. Damit,

Timbalan Setiausaha,

Fiesta PCZ 2011.

Tinggalkan komen anda