Home > Biro PCZ > Biro Kebajikan > Unit Tabung Kasih Sayang ( TKS ) : Medium Membantu Kewangan Ahli

Unit Tabung Kasih Sayang ( TKS ) : Medium Membantu Kewangan Ahli

Unit Tabung Kasih Sayang ataupun lebih dikenali sebagai TKS merupakan satu unit di bawah Unit Kebajikan Perubatan Cawangan Zagazig ( PCZ ). Unit ini berperanan sebagai medan pinjaman dan sumbangan untuk memberi solusi kepada ahli yang mengalami kesempitan wang. Hadaf unit ini juga adalah untuk meringankan beban ahli yang ditimpa musibah serta melahirkan warga yang mengambil berat terhadap sahabat yang lain. Terdapat tiga pecahan bagi unit ini ; skim pinjaman, skim sumbangan dan skim sahabat TKS.

Minggu TKS telah dilancarkan pada 18 April 2011.Setelah itu,beberapa artikel dan video telah dimuatkan di laman web rasmi PCZ yang merupakan medium utama untuk memperkenalkan dan menerangkan dengan lebih lanjut tentang TKS kepada semua ahli. Antaranya,video dan artikel ‘Apa Itu TKS’ pada April 2011,artikel dan video ‘Etika Pinjaman TKS’ dan terbaru kartun TKS yang disiarkan pada Oktober 2011.

Unit ini mengguna pakai sistem zakat. Dalam sistem ini, ahli yang mendapat tajaan menghulurkan bantuan wang sebanyak LE50, manakala ahli yang belum mendapat tajaan, menyumbang sebanyak LE10. Sebaik sahaja minggu TKS dilancarkan, kutipan sumbangan dimulakan dari rumah ke rumah serta dalam kelas. Akhirnya, jumlah sumbangan yang berjaya dikumpulkan ialah LE 6280. Hal ini membuktikan sifat prihatin tertanam teguh dalam peribadi ahli. Jumlah tersebut kemudian dipusatkan, kemudian diagihkan kembali mengikut kadar keperluan ahli secara menyeluruh.

Seramai 33 orang yang merangkumi 28 orang ahli PERUBATAN dan 5 orang bukan ahli (Azharian) telah dipilih untuk menjadi Sahabat TKS berdasarkan kriteria-kriteria yang telah disepakati melalui analisis borang kaji selidik TKS, yang diedarkan pada Mac 2011. Dibawah skim ini, pengagihan sumbangan dijalankan mengikut fasa. Untuk sesi  2011, 3 fasa pemberian sumbangan kepada Sahabat TKS telah dirancang. Pada 4 Julai 2011, pemberian sumbangan kepada mereka bagi fasa pertama telah dijalankan yang melibatkan wang berjumlah LE 2380.

Selain itu, skim sumbangan juga turut diperuntukkan untuk ahli-ahli yang mendapat musibah seperti kemalangan, kematian ahli keluarga dan kecurian. Sehingga kini, seramai 6 orang telah mendapat sumbangan daripada unit TKS berjumlah LE 1350. Skim pinjaman pula adalah untuk ahli yang mempunyai kesulitan kewangan yang memerlukan dengan kadar segera. Peminjam perlu mengisi borang permohonan pinjaman dan mendapatkan jaminan daripada seorang penjamin. Seramai 8 orang telah membuat pinjaman yang berjumlah sebanyak LE 4100.

Akhirnya, diharap unit TKS ini dapat terus membantu ahli yang dalam kesulitan terutamanya masalah kewangan  tanpa mengira faktor secara telus sekaligus mengeratkan lagi ukhuwah yang sedia terjalin dalam kalangan ahli serta melahirkan lebih ramai lagi mahasiswa yang cakna dengan nasib sahabat-sahabat  yang lain.

Bendahari Unit TKS,

Unit Kebajikan,

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011.     

Tinggalkan komen anda