Home > Biro PCZ > Biro Kebajikan > TKS: Mengapa Perlu Saya Memberi?

TKS: Mengapa Perlu Saya Memberi?

Pernah dengar atau tidak tentang TKS? Sebelum berbicara lebih lanjut, jom kita mengenalinya terlebih dahulu. Secara ringkasnya, Unit TKS ( Tabung Kasih Sayang ) ini merupakan satu unit  dibawah Unit Kebajikan Perubatan Cawangan Zagazig yang  berperanan sebagai medan pinjaman dan sumbangan kepada ahli yang memerlukan.Unit ini menggunakan sistem zakat. Dalam sistem ini, ahli yang mendapat tajaan menghulurkan bantuan wang sebanyak LE50, manakala ahli yang belum mendapat tajaan, menyumbang sebanyak LE10. Walaupun begitu,jika ada ahli yang ingin menyumbang lebih daripada itu, amatlah dialu-alukan.

Namun, mungkin ada di antara kita yang tidak jelas tentang kepentingan menyumbang ini. Mungkin juga ada yang merasa ralat untuk menyumbang dalam kondisi tidak begitu memahami motif sumbangan ini diadakan.

“Kami dapat pinjaman sahaja, bukannya biasiswa, nanti kena bayar balik juga.”

“Kami, pegawai yang tolong bayarkan, duit belanja untuk sara hidup pun kami tak dapat.”

Mungkin ada di antara kita yang berkata begitu. Tetapi sedar atau tidak bahawa ada sahabat kita mungkin tidak makan kerana hendak berjimat bagi menampung yuran pembelajaran. Antara mengeluarkan duit LE50 dengan yang mencari USD 8000, mana lebih berat? Sememangnya nilai itu tidaklah mampu membantu secara total tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban sahabat yang lain. Tambahan pula, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Bayangkan sahabat-sahabat kita yang lain bersusah payah, berhempas-pulas setiap detik memikirkan solusi masalah serta berdoa sungguh-sungguh agar dipermudahkan jalan penyelasaiannya. Alhamdulillah, Allah telah memilih kita sebagai wasilah untuk memudahkan urusan sahabat-sahabat yang lain. Bukannya Allah tidak boleh memberi secara terus kepada mereka tetapi Allah memberi peluang kepada kita untuk menambah pahala bagi saham akhirat nanti selain dapat mengeratkan ukhwah sesama kita . Rupa-rupanya ada hak orang lain dalam bahagian kita yang Allah mahu kita kongsi bersama dengan sahabat yang lain. Betapa indahnya perancangan Allah. Adakah kita mahu membiarkan peluang itu terlepas begitu sahaja?

Hidup ini ibarat roda, kadang kita di atas, kadang kita dibawah. Cuba kita bayangkan kita berada di tempat sahabat-sahabat yang diuji. TKS ini bukan untuk pelajar yang tidak mendapat tajaan semata-mata, bahkan ia juga dapat membantu dalam kes-kes kecemasan dan apabila ditimpa sesuatu musibah. Setiap warga Zagazig berhak menggunakan khidmat Unit TKS ini.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah SAW bersabda, ‘Barang siapa yang melapangkan kesempitan dunia seorang mu’min, maka Allah akan melapangkan baginya kesempitan pada hari kiamat. Dan barang siapa yang mempermudah kesulitan seseorang, maka Allah akan mempermudahnya dalam kehidupan dunia dan akhirat. Barang siapa yang menutupi cela seorang muslim, maka Allah akan menutupi celanya di dunia dan di akhirat. Dan Allah akan senantiasa menolong hamba-Nya, selagi hamba-Nya tersebut menolong saudaranya. (HR. Muslim)

Bukankah sahabat yang baik itu adalah sahabat yang sanggup berkongsi suka dan duka bersama yang lain. Indahnya ukhuwah manisnya bersahabat apabila yang sedikit itu kita mampu untuk berkongsi bersama. Oleh itu, ayuh kita bersama-sama menyumbang untuk TKS, walau sekecil manapun nilai yang disumbang amatlah besar maknanya. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Hulurkan tangan, ringankan beban. Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada menerima.

“Orang-orang yang saling mencintai demi keagungan-Ku akan diberikan padanya mimbar dari cahaya yang dicemburui oleh para Nabi dan syuhada.” (HR Ahmad)

“Kebajikan Diutama, Keselesaan  Ahli Yang Pertama”

Disediakan oleh,

Bendahari Unit Tabung Kasih Sayang ( TKS ),

Unit Kebajikan,

PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ ) 2011.

Tinggalkan komen anda