Home > Menu > Kenyataan Rasmi > Perutusan Aidiladha 1432H Pengerusi PCZ 2011

Perutusan Aidiladha 1432H Pengerusi PCZ 2011

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Walillahilhamd.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W  yang telah berjaya menyebarkan sinar hidayah hingga ke seluruh pelosok dunia dengan penuh hikmah dan pengajaran. Firman Allah SWT yang bermaksud:

Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapati aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang sabar.” [as-Saffat: 102]

Bersempena dengan kedatangan 10 Zulhijjah yang mulia ini, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan rahmatNya kita diizinkan lagi untuk menyambut Hari Raya Aidiladha pada tahun ini. Aidiladha merupakan hari yang istimewa kepada umat Islam bagi memperingati kisah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. serta anaknya Nabi Ismail A.S. dalam mentaati perintah Allah SWT.

Peristiwa ini berkisarkan tentang Nabi Ibrahim A.S. yang sanggup mengorbankan anaknya sendiri semata-mata ianya perintah dari Allah. Namun begitu, tanpa sedikit pun pertikaian, Nabi Ismail A.S. dengan rela hati menyerahkan dirinya untuk dikorbankan oleh Nabi Ibrahim A.S. sehinggalah didatangkan malaikat dengan seekor binatang sebagai gantinya.

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah sekalian,

Dapat dilihat di sini betapa tegarnya ketaatan yang ditunjukkan oleh kedua-dua nabi kita dalam melaksanakan perintah Allah biarpun ianya melibatkan terputusnya hubungan dunia di antara mereka  biarpun mereka serapat seorang anak dan seorang bapa. MasyaAllah!  Begitu hebat ujian yang diterima para Anbia’ berbanding dengan kita.

Kisah ini yang bertepatan dengan Aidiladha yang kita sambut merupakan satu mesej yang amat penting kepada kita untuk menilai sejauh mana kita selaku seorang Muslim dalam soal kepatuhan, ketaatan serta kesabaran kita dalam melaksanakan perintah Allah SWT.

Setiap pengajaran dan iktibar yang disampaikan wajar dijadikan titik tolak kepada kita untuk melatih diri mengamalkan sikap suka berkorban, tanpa mengira soal buah fikiran, tenaga, masa, wang ringgit dan segala yang kita miliki ini untuk kepentingan Islam itu sendiri. Ingatlah sahabat-sahabat bahawa dunia dan segala isinya yang kita miliki ini adalah anugerah dan amanah dari Allah dan alangkah baiknya jika kita menggunakannya untuk menyambung rantai-rantai perjuangan yang ditinggalkan oleh nabi-nabi kita yang terdahulu.

Bertepatan dengan kehadiran 10 Zulhijjah 1432 H ini, saya mewakili seluruh barisan kepimpinan Perubatan Cawangan Zagazig (PCZ) 2011 dengan rasa rendah hatinya memohon jutaan kemaafan kepada seluruh warga Sains Kesihatan Zagazig atas segala salah dan silap di pihak kami.

Semoga dengan kehadiran hari dan saat yang mulia ini dapat mengajar kita erti sebenar PENGORBANAN, KERJASAMA dan KESATUAN yang begitu penting sebagai ‘ibrah atau pengajaran yang Allah tunjukkan dalam peristiwa bersejarah ini.

Taqabbalallahu minna wa minkum. Siru ‘ala barakatillah. 


“AT-TAQWA, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH”


“ILMUAN BERBAKTI, TEGUH SEHATI”


MOHD BUKHARI MUSLIM BIN MOHD NADZIM 

Pengerusi, 
PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) 2011.

Tinggalkan komen anda