Home > Menu > Berita > Perbincangan isu keselamatan antara KBMK, PCZ dan DPMZ

Perbincangan isu keselamatan antara KBMK, PCZ dan DPMZ

Zagazig , 26 Nov – Satu pertemuan antara pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dengan pihak PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) dan Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig (DPMZ) sebagai persatuan pelajar di Zagazig telah diadakan di Dewan Dar Salam pada pagi tadi, bermula jam 11 pagi hingga 1 tengah hari. Pertemuan antara 3 pihak ini secara khusus membincangkan berkenaan isu keselamatan yang sedang melanda di negara Mesir pada ketika ini, yang memerlukan penerangan yang jelas dari pihak kedutaan kepada seluruh mahasiswa  melalui persatuan pelajar.

Wakil KBMK yang hadir adalah En. Hazam bin Hajanan, Setiausaha I Bahagian Akademik KBMK bersama En. Abdul Latiff bin Samad, Setiausaha Kedua KBMK. Pertemuan kira-kira 2 jam ini terbahagi kepada 2 slot; slot pertama adalah penerangan berkenaan Garis Panduan Keselamatan Bil. 2 tahun 2011 yang telah dikeluarkan oleh pihak KBMK baru-baru ini dan slot kedua adalah soal jawab.

Antara perkara yang ditekankan oleh En. Hazam ialah mahasiswa/wi tidak dibenarkan melibatkan diri dengan sebarang rapat umum yang dianjurkan oleh masyarakat tempatan serta tidak pergi ke tempat-tempat ‘panas’ seperti Dataran Tahrir. Beliau juga turut menekankan agar mahasiswa/wi mendapatkan perkembangan terkini dari sumber yang sahih, khususnya dari pihak KBMK sendiri bagi mengelakkan berlaku percanggahan maklumat yang boleh menyebabkan keresahan ibu bapa di Malaysia. En. Hazam turut memuji sistem mushrif yang telah dijalankan oleh pihak PERUBATAN bagi menjaga keselamatan mahasiswi pada waktu malam sebagaimana Perkara 3.1.5 dalam Garis Panduan tersebut.

En. Latiff, selaku Pegawai Kounselor KBMK sangat menitikberatkan kepentingan pasport sebagai pengenalan diri di luar negara. Beliau turut menyebut jika terdapat mahasiswa/wi yang mempunyai masalah berkenaan dengan kerosakan pasport atau kehabisan muka surat, perlu membuat permohonan ke pihak Kounselor KBMK untuk membuat pasport yang baru. Ujar beliau lagi, proses berlainan jika berlaku kes kehilangan pasport, mahasiswa/wi yang terlibat perlu membuat laporan polis terlebih dahulu berkenaan perkara tersebut. Beliau turut menyentuh akan kepentingan setiap mahasiswa/wi menyimpan nombor telefon pejabat kedutaan bagi memudahkan sebarang urusan. (Nombor telefon Pejabat KBMK : 02-37610013 / 02-37610019)

Sewaktu slot soal jawab, antara soalan yang diajukan adalah berkenaan persiapan yang dilaksanakan oleh pihak KBMK  bagi menghadapi isu mutakhir ini, En. Hazam menjawab “pihak kami bersedia dengan sebarang kemungkinan yang akan berlaku”. En. Hazam dan En. Latiff menyatakan dalam ucapan penutup bagi pertemuan ini menekankan agar setiap mahasiswa/wi fokus dalam pelajaran dan menjadikan kecemerlangan sebagai matlamat yang perlu dicapai. Saudara Pengerusi PCZ 2011, Mohd Bukhari Muslim bin Mohd Nadzim turut berbesar hati menyatakan harapan kepada pihak KBMK supaya pertemuan yang lebih kerap antara persatuan pelajar dengan pihak kedutaan dapat diadakan agar segala masalah dan makluman dapat disalurkan dengan bersama.     

Disediakan oleh,

Mohamad Azharuddin bin Mat Naziz,

Ketua Unit Penerbitan dan Penerangan,

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011.

Tinggalkan komen anda