Home > Menu > Berita > Kursus Multimedia, kebanggaan mediaPERUBATAN

Kursus Multimedia, kebanggaan mediaPERUBATAN

Zagazig, 3 November – Satu Kursus Multimedia telah dianjurkan oleh Unit Penerbitan dan Penerangan (UPP) PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011 selama 2 hari, Iaitu 2 dan 3 November 2011 yang lalu. Kursus ini telah diadakan di Dewan Darul Wehdah, bermula jam 4 petang hingga 10.30 malam merupakan kursus asas menggunakan perisian Adobe Photoshop dan Sony Vegas. Penyertaan seramai 6 ikhwah dan 25 akhawat menunjukkan komtimen yang cukup tinggi sepanjang 2 hari program berlangsung, dari mula hingga ke akhir program, agar tidak terlepas input-input penting yang diajar.

Kursus Adobe Photoshop telah diadakan pada hari pertama (2 November) dan tenaga pengisi adalah saudara Mohamad Faiz bin Abdul Jalil, pelajar tahun 3 Kuliah Usuluddin Syu’bah Hadis Universiti Al-Azhar Zagazig. Kertas kerja yang disediakan memudahkan para peserta untuk memahami sedikit sebanyak asas-asas penting menggunakan Adobe Photoshop.

Kursus Sony Vegas pula telah diadakan pada hari kedua (3 November) dan tenaga pengisi merupakan Ketua Unit Penerbitan dan Penerangan (UPP) PCZ sendiri, iaitu saudara Mohamad Azharuddin bin Mat Naziz. Beliau sendiri telah menyiapkan kertas kerja ringkas asas menggunakan Sony Vegas, sebagai rujukan tambahan kepada peserta.

Di majlis penutup program, Pengarah Kursus Multimedia, saudara Najhan bin Sumeri mengingatkan kepada peserta supaya menggunakan sebaik-baiknya kemahiran yang telah dipelajari sepanjang kursus 2 hari ini. Saudara Muhammad Farhan bin Ahmat Murtza, Setiausaha PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011 yang juga merupakan peserta kursus merasmikan majlis penutup dan menekankan aspek ulangkaji kepada peserta supaya kemahiran Adobe Photoshop dan Sony Vegas semakin mantap dan tidak dilupakan. Para peserta juga diberikan sijil penyertaan bagi menghargai penyertaan mereka dan sebagai pemangkin kepada mereka untuk menyumbang sedikit sebanyak kepada gerak kerja mediaPERUBATAN Unit Penerbitan dan Penerangan (UPP).     

Pihak mediaPERUBATAN berharap agar setiap peserta dapat menggunakan kemahiran yang telah dipelajari dan memberikan sumbangan bakti kepada mediaPERUBATAN secara langsung atau tidak langsung dari segi grafik dan pembikinan video. 

Tinggalkan komen anda