Home > Biro PCZ > Biro Sukan & Aktiviti Luar > PERUBATAN’s Sports Day 2011

PERUBATAN’s Sports Day 2011

Alhamdulillah, segala puji dan syukur bagi Allah, Tuhan semesta alam yang telah memberikan kepada kita dengan nikmat iman dan Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Rasulullahi Salallahu ‘alaihi wasallam, keluarga dan para sahabat akramahullahu ajmain yang telah memberikan teladan keteladanan yang baik kepada umat manusia, menunjukkan jalan dakwah yang panjang buat para daie. Tidak lupa juga nikmat kesihatan yang kita kecapi saban hari yang membolehkan kita meneruskan tugas dan tanggungjawab sebagai penuntut ilmu Allah.

Bersukan merupakan salah satu daripada sunnah Rasulullah yang paling di cintai oleh Baginda. Dalam sirah Rasulullah telah menceritakan Baginda sering mengajak isteri-isteri, para sahabat Baginda untuk bersukan. Pernah diriwayatkan Baginda Rasulullah saw sering berlumba lari dengan Saidatina Aishah. Rasulullah juga bersukan dengan sukan yang terkenal pada zamannya seperti bergusti, memanah, berenang dah berlumba unta. Dengan bersukan mampu memberikan kekuatan kepada jasmani kita dalam melakukan ibadah kepada Allah termasuklah dalam menuntut ilmu.

Bersukan merupakan satu agenda yang tidak asing lagi bagi pelajar-pelajar di Mesir. Ia juga merupakan salah satu alat atau medium untuk memupuk semangat ukhuwah dikalangan pelajar PERUBATAN khususnya. Di samping kita memberikan tumpuan sepenuhnya di dalam pembelajaran yang merupakan tugas utama kita di sini, seharusnya kita tidak lupa untuk bersukan. Oleh yang demikian PERUBATAN sentiasa mengambil cakna tentang perkara ini dan sedaya upaya menyediakan ruang seluasnya kepada ahli PERUBATAN untuk bersukan samada luaran (outdoor) mahupun dalaman (indoor).

PERUBATAN’s Sports Day 2011 bakal kembali menemui seluruh ahli PERUBATAN yang pastinya menyaksikan jaguh-jaguh dari setiap muhafazah berentap memburu kejuaraan. Kejuaraan  kali ini bertempat di dua tempat yang berbeza, iaitu Zagazig bagi pelajar-pelajar akhawat pada 18 November 2011 dan Iskandariah bagi pelajar-pelajar ikhwah pada 25 November 2011 . Seperti mana yang telah berlaku pada kejuaraan yang lepas di Mansurah, PERUBATAN’s Sports Day (PSD) dengan berobjektifkan untuk mengumpulkan ahli-ahli PERUBATAN dari seluruh muhafazah bagi meningkatkan ukhuwah dikalangan ahli dan menjadi tempat untuk ahli saling bertukar pandangan dan fikiran.

Antara sukan yang bakal menjadi tumpuan ramai ialah futsal, bola keranjang dan rugby. Acara-acara lain yang bakal dipertandingkan akan diumumkan kemudian. Pastinya kejuaraan ini menjadi perbualan harian ahli-ahli PERUBATAN dan diharapkan semua dapat bersabar untuk menunggu iklan atau pengumuman daripada Unit Sukan dan Aktiviti Luar cawangan masing-masing.

Akhir kata, PERUBATAN selaku persatuan induk yang menaungi seluruh mahasiswa mahasiswi sains kesihatan di bumi ardul kinanah, menyeru dan menjemput semua ahli PERUBATAN bagi sama-sama menjayakan PERUBATAN’s Sports Day 2011 pada kali ini dengan harapan mampu mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama pelajar-pelajar perubatan di Mesir dan menyatukan hati-hati kita semua di bawah kesatuan PERUBATAN.

“Together We’ll Glorify This Moment”

Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati
At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah

Yang menjalankan tugas,

Mohamed Khalid Bin Isa
Ketua Biro Sukan dan Aktiviti Luar
Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia-Mesir
2011/2012

khaliqisa

Tinggalkan komen anda