Home > Menu > Karya > Artikel > Bukti Saintifik Penyembelihan Menurut Islam

Bukti Saintifik Penyembelihan Menurut Islam

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu Yang dilakukan secara fasik, Iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah”. kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-An’am : 145)

Pengharaman darah

Sains telah membuktikan bahawa darah di dalam daging binatang terdapat pelbagai kuman yang berbahaya. Justeru itu, kita dapat memahami kebijaksanaan dan tujuan Syari’ah dalam kaedah penyembelihan haiwan korban mengikut perintah Allah SWT sebelum daging tersebut dapat dimakan, kerana kaedah ini akan mengeluarkan semua darah yang berbahaya dan tidak bersih (dari kuman).

                Antara sebab kenapa darah adalah diharamkan (untuk dimakan) kerana menurut kajian sains yang terbaru, membuktikan bahawa darah merupakan medium yang terbaik untuk pembiakan kuman, disamping tidak mempunyai sebarang kandungan nutrisi dan susah untuk dihadam. Oleh sebab itulah jika terdapat darah yang memasuki perut, seseorang akan muntah atau najis akan mengandungi darah yang tidak dihadam; berupa sebagai bahan berwarna hitam.

                Perkara ini juga menerangkan tentang pengharaman memakan daging haiwan yang mati secara tercekik, kerana haiwan tersebut mati disebabkan gas yang terkumpul di dalam badan yang mengakibatkan kematian.

                Walaubagaimanapun, kuantiti darah yang sedikit tertinggal di dalam salur darah yang tidak dapat dielakkan adalah tidak berbahaya

Bukti saintifik disebalik penyembelihan yang halal (korban)

Penyembelihan yang halal adalah mengeluarkan darah dari badan haiwan. Kaedah ini hanya dapat dilaksanakan dengan memotong saluh darah utama tanpa memotong kepala, untuk mengekalkan komunikasi antara otak dan jantung, dan degupan jantung akan mengepam seluruh darah keluar melalui salur darah utama yang dipotong supaya daging bersih dari darah yang tertinggal di dalam badan.

                Jika penyembelihan dilakukan dengan teknik yang lain (sama ada kepala terputus terus dari badan atau bukan salur darah utama yang dipotong), maka darah akan tetap berada dalan salur darah dan seluruh daging akan tercemar dengan darah tersebut; kerana kandungan asid urik dalam darah yang mencemari daging akan dimakan oleh manusia. Kemudian, manusia yang memakan daging yang tidak disembelih mengikut kaedah Islam tersebut akan menghadapi penyakit jangkitan dan sakit sendi, kerana kandungan asid urik yang terkumpul di bahagian sendi. Oleh itu, penjernihan daging hendaklah dilakukan dengan mengeluarkan semua darah.

                Saintis mengatakan bahawa binatang yang didalamnya masih terkandung darah di dalam salur darah selepas penyembelihan adalah berbahaya; kerana ia akan menghasilkan asid yang akan menyebabkan daging tersebut keras dan kering. Selepas tiga jam, kuman aerobik dan anaerobik akan mempunyai peluang untuk merosakkan daging yang telah dicemari dengan darah. Proses ini akan menghasilkan bau yang teruk serta menghasilkan kesan toksik dan daging akan bengkak disebabkan gas yang terhasil.

                Oleh itu, Rasulullah SAW mengajar kita untuk memotong urat leher, supaya darah akan dapat dikeluarkan dari badan dan daging akan bersih dan baik. Ini membuktikan kebijaksanaan Allah SWT yang telah melarang kita memakan daging haiwan yang mati tercekik, dipukul, jatuh dari tempat yang tinggi atau yang telah dimakan sebahagiannya oleh haiwan lain.

                Walaubagaimanapun, Rasullulah SWT mengecualikan ikan daripada penyembelihan yang telah disebutkan sebelum ini. Mungkin ramai yang tertanya-tanya kenapa ikan berbeza dengan haiwan lain. Saintis telah membuktikan bahawa apabila ikan diangkat keluar dari air dan ikan tersebut mati, semua darahnya akan terkumpul di bahagian injap nafas (epiglottis). Apabila injap nafas tersebut bertukar kepada warna merah, menunjukkan bahawa semua darah telah terkumpul di sana.    

Wahai ahli Kitab! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami (Muhammad, S.A.W) dengan menerangkan kepada kamu banyak dari (keterangan-keterangan dan hukum-hukum) yang telah kamu sembunyikan dari Kitab suci, dan ia memaafkan kamu (dengan tidak mendedahkan) banyak perkara (yang kamu sembunyikan). Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya kebenaran (Nabi Muhammad) dari Allah, dan sebuah Kitab (Al-Quran) yang jelas nyata keterangannya. (Surah Al-Maidah : 15)

Diterjemah dari : The Islamic Guideline on Medicine (Darussalam Publication)

Tinggalkan komen anda