Home > Menu > Berita > Aidiladha, menaut ukhuwah warga Zagazig

Aidiladha, menaut ukhuwah warga Zagazig

Masjid Fatah, 10 Zulhijjah – Bergema takbir raya di Masjid Fatah, masjid negeri Syarqiyyah, menggamit kehadiran warga Malaysia di seluruh ceruk Zagazig untuk menunaikan solat sunat hari raya di bawah satu bumbung masjid yang sama. Hari raya Aidiladha pada kali ini dikira antara yang bersejarah kerana ini merupakan kali pertama solat sunat dan khutbah dikendalikan sendiri oleh pelajar Malaysia, berbanding sebelum ini yang menyertai warga tempatan.

Sekitar jam 7 pagi, dianggarkan sekitar 80% warga Malaysia memenuhi Masjid Fatah, seusai warga tempatan selesai menunaikan solat dan khutbah disana. Takbir raya bergema dikumandang senada bersama-sama, menyahut seruan Ilahi di hari yang mulia, hari yang menggarap sejarah pengorbanan agung Nabi Ibrahim dan anak kesayangannya, Nabi Ismail, kisah yang menuntut penghayatan dan pengamalan dalam kalangan umat Islam pada zaman ini. Setiap ahli jemaah yang hadir, membentuk saf-saf yang lurus tersusun rapi, menggambarkan peri pentingnya kesatuan dan kebersamaan dalam komuniti yang kecil ini.

Sekitar jam 7.45 pagi, saudara Mohd Zainullah bin Mohd Pauzi mengimami solat sunat aidiladha dan kemudiannya khutbah disampaikan oleh saudara Mohd Faizuddin bin Ghazali. Khutbah yang berkisar secara khusus berkenaan dengan aspek pengorbanan turut menyentuh isu ukhuwah dalam kalangan umat Islam dalam menghadapi cabaran dari musuh-musuh Islam yang semakin licik perancangan mereka.

Kemeriahan Aidiladha diteruskan lagi dengan rumah-rumah terbuka yang dilakukan oleh mahasiswa/wi. Pengerusi PCZ, saudara Mohd Bukhari Muslim bin Mohd Nadzim turut tidak ketinggalan untuk mengadakan rumah terbuka di rumah beliau, yang juga merupakan pejabat PCZ. Majlis yang bermula selepas solat Zohor mendapat kunjungan tetamu yang tidak putus-putus sehingga ke waktu Asar, dengan dianggarkan sekitar 200 mahasiswa telah bertandang untuk menjamu selera. Walaupun keletihan, tetapi senyuman sentiasa terukir dibibir beliau, berbangga dengan ukhuwah yang ditunjukkan oleh warga Zagazig yang bertandang dan saling bertanya khabar di antara satu sama lain.

Tidak kurang meriahnya rumah terbuka yang diadakan oleh Timbalan Pengerusi II PCZ 2011, saudari Farhuda Zulaikha binti Dol yang diadakan di Imarah Sinki, sejurus selepas solat sunat Aidiladha. Kunjungan mahasiswi yang cukup ramai berpusu-pusu datang tidak putus-putus menyebabkan rancangan asal rumah terbuka dibuka hingga pukul 2 terpaksa dilanjutkan ke jam 3 petang. Makanan tambahan juga disediakan memadangkan menu asal iaitu roti jala, mee bandung, kek dan beberapa jenis kuih raya tidak dapat memenuhi kehadiran tetamu yang berjumlah sekita 270 orang, anggaran awal hanyalah sekitar 200 orang sahaja. Jelas tergambar kegembiraan di wajah tuan rumah dengan kehadiran mahasiswi yang cukup ramai dan meriah.

Aidiladha pada tahun ini cukup menunjukkan tautan ukhuwah yang mantap dalam kalangan mahasiswa/wi di bumi Zagazig. Semoga Aidiladha bukan hanya sekadar menekankan aspek pengorbanan, malah aspek ukhuwah turut dapat dikekalkan dan dimantapkan dari semasa ke semasa.

No comments

  1. Alhamdulillah.. rumah terbuka di imarah hijau turut mendapat ‘penangan’ dari rumah pengerusi dan timbalan. diserbu oleh tetamu2 yang hadir.. syukran kpd semua yang memeriahkan.. 🙂 salam aidiladha buat semua warga zagazig.. kita belum terkorban syahid, mari berkorban!  🙂

    ~we are family~

Tinggalkan komen anda