Home > Menu > Berita > Pasukan Terengganu Menjuarai Futsal Sc Inc Ikhwah

Pasukan Terengganu Menjuarai Futsal Sc Inc Ikhwah

Istad Gamaah, Zagazig . 21 Oktober : Smart Circle (SC) ikhwah membuka tirai bagi sesi 2011/12 dengan program SC Gabungan, anjuran Unit Pembangunan Insan dengan kerjasama Unit Sukan dan Aktiviti Luar PCZ 2011. Program berbentuk pertandingan futsal ini telah dilaksanakan di Istad Gamaah, Zagazig, bermula seawal jam 7.00 pagi dengan kehadiran ahli yang lengkap berpakaian sukan.

Majlis perasmian telah diadakan pada jam 7.30 pagi, dimulai dengan ucapan pengarah program, saudara Syahmi Amir bin Md Razali, diikuti ucapan perasmian oleh Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011, saudara Mohd Bukhari Muslim bin Mohd Nadzim, yang menekankan tema program iaitu “First Step Towards Ukhuwah”. Majlis perasmian dimeriahkan lagi dengan gimik perasmian iaitu tendangan bola ke arah gawang gol yang diletakkan gambar penjaga gol.

Permainan futsal bermula pada jam 8 pagi, dengan gabungan 2 ‘smart circle’ membentuk 1 pasukan futsal. 10 pasukan telah dibentuk dan diberi nama mengikut nama-nama negeri di Malaysia (Negeri Sembilan, Perak, Melaka, Kelantan, Selangor, Kedah, Perlis, Sabah, Terengganu dan Pahang). Setiap pasukan menunjukkan persembahan yang terbaik dari pemain masing-masing. Walaubagaimanapun, seorang pemain, saudara Mohamed Zulfiqar bin Mohamed Akram telah mengalami sedikit kecederaan di bahagian kepala apabila tergelincir disebabkan lantai gelanggang yang agak licin.

Program semakin hangat apabila memasuki pusingan akhir. Perlawanan yang sengit menyaksikan pasukan Kelantan dan Terengganu menunjukkan kelincahan tersendiri, dan setelah 10 minit yang mendebarkan, pasukan Terengganu menjuarai pertandingan dengan menewaskan Kelantan dengan 5 gol berbalas 3.

Di akhir program telah diadakan majlis penyampaian hadiah kepada semua pasukan, bagi meraikan kerjasama berpasukan yang telah ditonjolkan oleh setiap pemain. Hadiah telah disampaikan oleh saudara Mohd Bukhari Muslim bin Mohd Nadzim kepada wakil setiap kumpulan. Program diakhiri dengan majlis penggambaran kenang-kenangan.

Pihak mediaPERUBATAN berharap agar program pemula bagi Smart Circle bagi sesi 2011/12 dapat memangkin ukhuwah yang mantap dalam kalangan mahasiwa di bumi Zagazig.

[info]Galeri Futsal SC Inc Ikhwah[/info]

Tinggalkan komen anda