Home > Biro PCZ > Biro Pembangunan Insan > Laporan Saranghae (Pelancaran Smart Circle Akhawat)

Laporan Saranghae (Pelancaran Smart Circle Akhawat)

Zagazig, 21 Oktober 2011 – Unit Pembangunan Insan PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011 (PCZ 2011) dengan kerjasama Unit Sukan dan Aktiviti Luar PCZ 2011 telah Berjaya menganjurkan Program Pelancaran Smart Circle di peringkat akhawat yang diberi nama SARANGHAE. Program yang diberi nama dengan bahasa Korea ini telah dilangsungkan dengan jayanya di Stadium Syarqiyyah dengan penyertaan hampir 100 orang mahasiswi Sains Kesihatan Universiti Zagazig yang terdiri daripada semua peringkat, daripada tahun 1 sehingga tahun 5. Bersesuaian dengan maksud nama program iaitu “Saya Sayang Awak” dan tema program “ Spread The Love ”, hadaf program ini dianjurkan adalah untuk mengeratkan lagi ukhuwwah sesama mahasiswi-mahasiswi Zagazig sama ada yang baru atau lama di samping hadaf utamanya adalah untuk melancarkan Smart Circle di peringkat akhawat Zagazig dan memberi penerangan dan pencerahan tentang kepentingan Smart Circle.

Penganjur memilih pembawakan santai outdoor tetapi berisi untuk menunjukkan kepada semua ahli bahawa Smart Circle bukan sahaja boleh dilaksanakan dalam bentuk perbincangan dalam kumpulan tetapi ia adalah fleksibel mengikut kreativiti fasilitator. Program ini bermula seawal jam 8.00 pagi dengan agenda pertamanya iaitu penyampaian tazkirah pagi oleh saudari Nurul Saidatul Husna binti Mohd Ab. Karim yang menekankan kepentingan ukhuwwah sesama Muslim. Program yang diberi tema ‘Spread the Love’ ini diteruskan lagi dengan majlis perasmian dan pelancaran Smart Circle sesi 2011/2012 yang telah dilancarkan  oleh Timbalan Pengerusi 2 PERUBATAN Cawangan Zagazig, saudari Farhuda Zulaikha binti Abdul Wahid. Turut sama menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian tersebut adalah Saudari Nur Syafiyah bt Mukhidi, Pengarah SARANGHAE dan Saudari Syafiah bt Mohamad selaku Timbalan Ketua Unit Pembangunan Insan PCZ 2011. Ketiga-tiga mereka memberi pesanan dan peringatan tentang kepentingan menjalinkan ukhuwah Islamiyah dan menjadikan Smart Circle sebagai salah satu medium untuk mempersiapkan diri untuk berhadapan dengan masyarakat di hari yang mendatang.

Seterusnya,agenda program bergerak  kepada sesi memanaskan badan oleh semua peserta. Perjalanan program telah dihangatkan lagi dengan aktiviti-aktiviti berbentuk permainan seperti ice breaking, gua tangan, ’ambush’, dan belon berangkai. Para peserta kelihatan bersemangat dalam setiap upacara yang dijalankan dan memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang aktiviti berlangsung.

Seusai aktiviti sukaneka dan modul ukhuwwah, program dimeriahkan lagi dengan slot terakhir iaitu slot ‘Pot Luck’. Dalam slot ini, semua peserta berkongsi makanan yang telah dibawa sebagai santapan bersama. Para peserta bersurai pada jam 11.30 pagi. Jutaan terima kasih diucapakan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Diharapkan program ini mampu menjana ukhuwwah dan menyemai rasa kasih dan sayang sesama ahli seterusnya dapat mencapai objektif program yang digariskan pihak penganjur. Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan dan RahmatNYA.

Disediakan oleh,

Izzah Fasihah binti Ja’ffar.

Setiausaha,

SARANGHAE,

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011.

[info]Galeri Saranghae[/info]

Tinggalkan komen anda