Home > Menu > Karya > Artikel > Kesatuan Mahasiswa Islam Sains Kesihatan: Agenda PERUBATAN Kita

Kesatuan Mahasiswa Islam Sains Kesihatan: Agenda PERUBATAN Kita

Erti kesatuan kini semakin lama semakin terhakis dalam sensitiviti umat Islam, sama ada daripada kalangan umat beragama, intelektual bahkan kepada golongan yang jahil dalam beragama. Sampaikan tidak pernah terdetik di hati untuk sekali dalam tempoh hidup yang panjang ini dalam mempersoalkan: “Apa keperluan kita kepada Islam dan Kesatuan Islam?”


Seolah-olahnya, pada hari ini persoalan kesatuan ini menjadi perkara yang terakhir yang penting untuk difikirkan dan diambil cakna. Umat Islam mutakhir ini jelas masih tidak sedar daripada lena, dibuai mimpi kemewahan kehidupan, dan tidak sedar bahawasanya kerana akibat kesatuan Islam yang tidak wujud, nasib umat Islam sehingga hari ini jauh mundur ke belakang. Hakikatnya, ini semua berlaku hasil kelalaian kita untuk memahami Islam dengan betul dan bersatu dalam mengamalikan kehidupan Islam yang sebenar.

Perpecahan itu Lumrah?

Ada dalam kalangan umat Islam yang menerima kewujudan fenomena ini dengan mengambil penilaian yang berbeza beza terhadap sebab-sebab tumbuhnya penyakit perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Ada sesetengah di kalangan kita beranggapan bahawa kemerosotan kebaikan dan penguasaan kejahatan terhadap diri sebagai satu perkara tabi’e dan natijah yang pasti daripada perpecahan.

Ada juga yang berpendapat dengan seharusnya kita memulakan bibit perpecahan agar kelak akan timbul pula bibit kesatuan. Mereka membawa dalil-dalil dengan hadith Rasulullah SAW:

“Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang yang sabar dalam agamanya sebagai orang yang memegang bara api.”

 

“Sebaik-baik abad ialah abadku kemudian berikutnya dan kemudian yang berikutnya…”

Kumpulan ini berpendapat bahawa tidak ada harapan lagi untuk memperbaiki suasana dan ianya adalah salah. Mereka terkeluar daripada tasawwur Islam kerana kepercayaan mereka ini tidak syak lagi akan mendorong mereka mengundur dan lari daripada medan Islam dan redha perpecahan umat Islam dalam masyarakat. Berikutnya mereka akan ditimpa oleh rasa putus asa dan seterusnya melempar senjata dan menyerah kalah.

Islam menuntut agar pengikut-pengikutnya dan orang orang yang beriman supaya berkerja dan berkorban sepenuh tenaga dan masa. Adapun kemenangan dan kesatuan yang ingin kita wujudkan adalah urusan dan takdir Allah sebagaimana juga ianya tertulis dalam catatan dan ilmu Allah.

Kesatuan Yang Islam Kehendaki

Kesatuan ini adalah bersyarat. Kesatuan di atas jalan kekufuran dan kemaksiatan adalah ditolak, walaupun seerat mana sekalipun kesatuan itu dibentuk. Ukhwah Islamiah yang dituntut di dalam Islam adalah dibentuk di atas dasar iman dan taqwa.

alt
Sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
(Al-Hujurat: 10)

Kesatuan di dalam Islam adalah berdasarkan ikatan akidah Islamiah, dan ikatan inilah yang paling ampuh dan berharga. Percayalah, keberadaan kita di mana-mana wilayah umat Islam akan mempertemukan kita bersama saudara se-Islam kita di seluruh pelusuk dunia, biarpun tidak mengenali dan tiada ikatan darah kekeluargaan – kerana setiap umat Islam itu adalah bersaudara dan wajib menunaikan hak-hak dalam persaudaraan. Ingat, persaudaraan adalah saudara iman, manakala perpecahan adalah saudara kufur.

Kerana perpaduan itu seharusnya bermula daripada rasa kasih dan sayang dan sebaik-baik kasih sayang adalah ithar iaitu mengutamakan orang lain daripada semua perkara, dan serendah-rendah sayang adalah berlapang dada dalam hidup seharian.

Ingatlah kita kepada pepatah, serigala akan hanya menerkam kambing yang bersendirian, dek kerana tiada kesatuan. Dan juga harus kita renung perumpamaan orang mukmin dalam bersaudara adalah seperti sebuah bangunan kukuh yang cukup kuat, dan mustahil untuk dirobohkan.

Di sini timbul persoalan, kenapa kesatuan umat Islam dipermainkan? Sehinggakan anjuran suasana perpecahan ini subur berlaku biarpun di atas jenama Islam yang kita bawa?

PERUBATAN Seru Ahli Bersatu dalam Perkara Haq dan Sama Sekali Menolak Unsur Perpecahan

Intipati gerak kerja PERUBATAN pada hari ini jelas ingin mendekatkan mahasiswa dalam menyatukan ahli di pelbagai peringkat. Pelbagai program disusun di seluruh peringkat ahli bagi memastikan usaha meribatkan kesatuan mahasiswa Islam dapat dicapai. Usaha bertungkus lumus dan istiqamah ini mengharapkan natijah yang baik di akhir zaman alam pengajian kita di Mesir, agar dilaungkan slogan kepada rakyat Malaysia bahawa “Aku ini adalah produk mahasiswa Islam, yang memahami Islam, yang akan mempersiapkan diri dengan kefahaman ilmu sains kesihatan dan ilmu Islam, memahami kewajipan berdakwah atas nama Islam, dan menjadi kewajipan aku untuk bersatu dalam atas nama Islam dan sama sekali menolak apa-apa unsur perpecahan dalam masyarkat umat Islam di Malaysia kelak.”

Saudara Ahmad Muhaimin bin Mustapha, seorang super senior menyebut kepada kami di dalam satu usrah PERUBATAN, iaitu:

Antara agenda utama gagasan PERUBATAN ditubuhkan, adalah bagi menghubungkan mahasiswa sains kesihatan dalam hubungan cinta dan kasih sayang kerana Allah, sebagaimana generasi terdahulu dalam komuniti PERUBATAN dapat pupuk dan bina di dalam hati ahli maisng-masing.

Harapan Kesatuan, Harapan Besar PERUBATAN

Kesatuan ahli harapan kita. Kesatuan ini menatijahkan impak besar dan imej baik kepada rakyat Malaysia, bahawa akan ada segerombolan mahasiswa sains kesihatan Mesir yang bersiap sedia untuk mengubah suasana sistem sains kesihatan di Malaysia dan membawa masyarakat ke arah kebaikan.

Mereka itulah masyarakat PERUBATAN yang ingin kita lahirkan.

Untuk akhirnya, PERUBATAN menyeru kepada ahli untuk bersatu di bawah naungan PERUBATAN, bergerak aktif melibatkan diri dalam organisasi dan gerak kerja bersama PERUBATAN, tingkatkan keperibadian, jati diri dan syaksiah melalui PERUBATAN, supaya wasilah kita iaitu PERUBATAN ini mampu menjadi kilang terbaik mahasiswa berintegiriti bertaraf bangsa, semua ini keuntungan yang akan kita kembalikan untuk Islam dan seluruh umat Islam di Malaysia kelak.

Syafiq bin Hamdani
Presiden
PERUBATAN 2011/2012

Info Penulis

Syafiq Hamdani merupakan mahasiswa Universiti Kaherah. Beliau telah memegang jawatan Ketua Biro Penerbitan dan Penerangan sejak sesi 2008/2009/2010 kemudian diteruskan dalam sesi 2010/2011. Sekarang beliau adalah Presiden PERUBATAN sesi 2011/2012.

Tinggalkan komen anda