Home > Menu > Berita > CASH Campaign; Menyejukkan Pemandangan Kuliah Perubatan

CASH Campaign; Menyejukkan Pemandangan Kuliah Perubatan

Fakulti Perubatan, Zagazig ,24 Oktober – Satu kempen telah berjaya dianjurkan oleh pihak Medical Science Club (MSC) & CASH Project, Universiti Zagazig dengan kerjasama Unit Kebajikan PCZ 2011, iaitu Clean & Safe (CASH) Campaign. Kempen ini telah diadakan diadakan di kawasan sekitar Mustahfa Garahah dan Fakulti Perubatan. Kempen ini sebagai satu usaha untuk memupuk kesedaran menjaga kebersihan terutamanya kawasan hospital bagi memastikan kesihatan dapat dijaga.

Program bermula pada jam 10 pagi di hadapan Mustashfa Garahah, dengan taklimat perjalanan program dan pembahagian kumpulan oleh Dr

Dr Ahmad Bayoumi

Ahmad Bayoumi kepada  para sukarelawan tempatan dan sekitar 30 lebih pelajar Malaysia yang turut sama menjayakan kempen. Sebanyak 7 kumpulan telah dibentuk dan setiap kumpulan terdiri daripada 5 orang sukarelawan. Kemudian setiap peserta diberi sut plastik khas beserta sarung tangan getah dan beberapa kelengkapan pembersihan yang lain. Sejurus itu, setiap kumpulan bergerak ke lokasi masing-masing yang telah ditetapkan, iaitu sekitar Fakulti Perubatan dan Fakulti Farmasi. Program diserikan lagi kehadiran sukarelawan tahun 5 perubatan, saudara Mohd Faiz Bin Azmi dan Mohd Irfan Aqli yang baru selesai menduduki peperiksaan Internal Medicine pada hari tersebut. Setiap sukarelawan begitu bersemangat membersihkan kawasan masing-masing, dengan hasil yang ketara dapat dilihat dari segi kebersihan berbanding sebelumnya.

Semasa program sedang berlangsung, pihak mediaPERUBATAN sempat menemu-bual pihak penganjur, Dr Ahmad Bayoumi. Dalam ucapannya, beliau menyatakan tujuan utama program ini dilaksanakan adalah untuk memastikan kebersihan dan keselamatan kawasan hospital. Beliau juga menerangkan bahawa program ini dilaksanakan dalam 3 fasa; fasa pertama ialah kempen pembersihan, fasa kedua ialah untuk memberi sokongan kepada staf jururawat di hospital dan fasa ketiga ialah untuk melatih pekerja di hospital mengamalkan prosedur yang selamat dalam mengendalikan pesakit. Beliau turut menyatakan

Dr Salim

rasa bangga dan terima kasih kepada pelajar Malaysia yang turut sama menjayakan kempen pembersihan pada kali ini.

Setelah hampir 2 jam setengah program berlangsung, dan masing-masing telah berpuas hati dengan hasil usaha yang telah dicurahkan, semua peserta berkumpul kembali di hadapan Mustashfa Garahah untuk majlis penutup. Dr Salim, Mudir ‘Am Hospital Universiti Zagazig dalam ucapannya menyatakan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang telah menjayakan kempen ini. “Saya percaya dengan keupayaan maksima dan kapasiti manusia, jika kita dapat merubah perangai kita, perlakuan kita, tahap komitmen kita untuk menyelesaikan masalah, kita akan berjaya. Usaha kalian pada hari ini membuktikan bahawa kita tidak memerlukan kewangan yang banyak yang untuk melaksanakan sesuatu kebaikan, kita hanya perlu menggunakan kapasiti maksima masing-masing untuk menghasilkan satu perubahan yang besar pada masa hadapan,” ujar beliau.

[info]Galeri | CASH Campaign[/info]

Tinggalkan komen anda