Home > Menu > Berita > Stargate [Ahlan ’11]

Stargate [Ahlan ’11]

ZAGAZIG, 3 OKTOBER: Satu program bertajuk Study Guide and Technique (STARGATE 1) telah diadakan di Dewan Darul Wehdah selama dua hari. Program yang berorientasikan akademik ini telah dimulakan dari pukul 8.10 pagi kelmarin dan tamat sebelum waktu zohor pada hari ini. Program ini telah berjaya mengumpulkan seramai mungkin pelajar perubatan pada sesi pagi dan pelajar farmasi pada sesi malam.

Majlis bermula dengan ucapan alu-aluan oleh pengarah program, Naim bin Sarfaraz Ahmad, merangkap Ketua Unit Akademik Perubatan Cawangan Zagazig (PCZ) bagi sesi 2011. Menurut beliau, program ini bertujuan untuk membantu memberi persediaan awal kepada mahasiswa dan mahasiswi baru tentang gambaran awal akan subjek-subjek yang bakal dipelajari oleh mahasiswa-mahasiswi daripada jurusan perubatan dan farmasi agar mereka dapat menumpukan cara-cara untuk belajar dengan lebih baik agar mereka dapat membawa diri masing-masing sepanjang Tahun 1 kelak.

Slot yang pertama pada 2 Oktober 2011 bagi mahasiswa perubatan dan farmasi telah diisi dengan slot bersama pelajar-pelajar mumtaz. Slot bagi mahasiswa perubatan di sebelah pagi telah disampaikan oleh pelajar Mumtaz  bagi tiga tahun berturut-turut iaitu saudari Nur Zahidah Binti Hosman merangkap Timbalan Ketua Unit Akademik dan digandingkan bersama  Wan Fikri Hizry bin Wan Jusoh. Dalam ucapan saudari Zahidah, beliau ada menekankan antara tips yang beliau amalkan ialah menjaga hubungan dengan Tuhan, kehadiran penuh ke kuliah, yakin dengan pertolongan Allah walau apa keadaan sekalipun dan belajar secara berkumpulan pada setiap hari. Manakala saudara Fikri pula menyatakan bahawa amalan-amalan yang mendekatkan diri kepada Allah secara istiqamah menjadi penguat bagi dirinya seperti membaca surah Yasin dan Al-Waqiah pada setiap pagi dan mathurat pada waktu pagi dan petang. Bagi beliau, semua orang adalah sama, tiada siapa yang tidak pandai dan bodoh, tetapi semua orang boleh mencipta kejayaan masing-masing.

Di sebelah malam pula, slot bersama pelajar Mumtaz diadakan dalam bentuk forum yang telah disampaikan oleh saudari Khadijah binti Abdul Razak dan Norashikin binti Nordin. Dalam ucapan saudari Khadijah, beliau memberitahu bahawa niat yang ikhlas kerana Allah adalah sangat penting untuk menjadi seorang ahli farmasi yang baik, yang dapat membuat preskripsi dengan baik dan sebagai tempat rujukan pesakit-pesakit. Beliau percaya dan berpegang pada ayat Quran yang pertama daripada surah Al-Mukminuun iaitu “Berjayalah orang-orang yang beriman”. Bagi saudari Norashikin pula, beliau menekankan moto “RBC” iaitu Redha, Bangkit dan Cuba yang terbaik. Beliau berkata bahawa pengurusan waktu yang baik, cara pembelajaran secara berkumpulan dan menyertai program-program anjuran PCZ seperti Exam Fever Campaign telah banyak membantu beliau dalam usaha untuk mencapai Mumtaz dalam pelajaran.

Selain daripada itu, terdapat slot-slot penerangan bagi setiap subjek perubatan selama 40 minit bagi setiap subjek iaitu Anatomy, Histology, Physiology dan Biochemistry. Manakala slot pembentangan bagi subjek-subjek dalam jurusan farmasi diadakan penerangan ringkas selama 15 minit bagi setiap slot. Antara subjek-subjek yang telah diberi penerangan oleh pelajar-pelajar cemerlang ialah subjek Botany, Organic Chemistry, Inorganic Chemistry, Mathematics and Statistics, Cell Bio, Biophysics dan English.

Antara aktiviti lain yang menarik ialah pelancaran study group yang dilancarkan dalam slot terakhir bagi kedua-dua sesi. Dalam slot ini, para peserta diberi taklimat tentang fungsi study group dan keberkesanan belajar secara berkumpulan. Mereka juga diberi kebebasan untuk memiih rakan study masing-masing untuk tempoh setahun sebelum bermulanya peperiksaan akhir tahun akan datang.

Program bagi kedua-dua hari tamat dengan jayanya pada pukul 10.20 malam. Program diakhiri dengan sedikit nasihat daripada saudari Zahidah. Beliau menyeru pada semua mahasiswa agar sama-sama menggapai Mumtaz dalam redha Allah dan seterusnya mengajak sahabat-sahabat lain agar sama-sama mumtaz supaya kejayaan yang sebenar dapat dicapai. Semoga dengan pelancaran program ini dapat memberi input-input positif pada mahasiswa baru yang bakal memulakan sesi pengajian dalam beberapa hari lagi. Begins with the end in mind.

Disediakan oleh,

Nurul Syifak binti Mohd Sakir,

Timbalan Setiausaha,

AHLAN ’11,

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011.

Galeri Stargate

Tinggalkan komen anda