Home > Menu > Berita > Ramah Mesra Bersama BKAN [Ahlan ’11]

Ramah Mesra Bersama BKAN [Ahlan ’11]

Zagazig, 3 Oktober – Ukhuwah disemai, bakti dituai. Begitulah moto yang tepat bagi program Hari Bersama Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) anjuran Perubatan Cawangan Zagazig (PCZ). Program yang menampilkan kehadiran 13 buah BKAN ini masing-masing bertujuan untuk memberi pencerahan informasi berkenaan fungsi BKAN dan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh BKAN masing-masing.

Seorang ataupun dua orang wakil Ahli Jawatankuasa Tadbir daripada setiap BKAN telah datang untuk sesi penerangan dan ramah mesra bersama mahasiswa baru yang bakal mendaftar untuk BKAN masing-masing.

Menurut pengarah AHLAN ’11, saudara Naim bin Sarfaraz Ahmad, walaupun mahasiswa baru berada jauh di perantauan, tetapi mereka masih berada dalam komuniti negeri masing-masing yang akan menjaga kebajikan mahasiswa di bumi Mesir ini.

Dalam ucapan pengerusi PCZ iaitu saudara Mohd Bukhari Muslim Bin Mohd Nadzim, beliau menekankan pentingnya BKAN sebagai jabatan yang menguruskan hal ehwal kebajikan pelajar mengikut negeri masing-masing. Contohnya dalam urusan zakat dan sebagainya.

Antara perkara pokok yang menjadi perbincangan ialah bagaimana untuk mendaftar keahlian, syarat-syarat keahlian BKAN, cara untuk memohon bantuan dermasiswa atau zakat negeri, yayasan negeri, program-program tahunan, perbincangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan sebagainya. Mahasiswa-mahasiswi baru juga dapat berkenalan dengan mandub dan mandubah yang dapat hadir pada hari ini serta peranan mandub dan mandubah dalam menjadi penghubung dan penyampai maklumat antara BKAN di Kaherah dengan anak-anak BKAN di muhafazah masing-masing.

Program ini telah bermula sejak pukul 4.30 petang dan berakhir tepat pada pukul 6.05 petang. Walaupun agak kesuntukan masa, tetapi mahasiswa-mahasiswi baru berpuas hati kerana berhasil mendapat informasi berkenaan BKAN masing-masing. Diharap agar program seumpama ini akan berjaya mengeratkan ukhuwah dalam kalangan penuntut-penuntut ilmu di bumi Mesir kelak.

Disediakan oleh,

Nurul Syifak bin Mohd Sakir,

Timbalan Setiausaha,

AHLAN ’11,

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011.

 

Galeri : Ramah Mesra Bersama BKAN

Tinggalkan komen anda