Home > Menu > Berita > Jejak Ibnu Sina [Ahlan ’11]

Jejak Ibnu Sina [Ahlan ’11]

6 Oktober 2011 – Program Jejak Ibnu Sina atau lebih dikenali sebagai JIS telah diadakan dengan jayanya selama dua hari berturut-turut bermula dari 8.15 pagi pada 5 Oktober 2011 dan berakhir pada 4 petang 6 Oktober. Program AHLAN ’11 yang bertemakan ‘We Are Family’ ini berobjektif untuk mengeratkan ikatan mahabbah antara mahasiswa baru dengan mahasiswa lama agar mereka dapat menyesuaikan diri mereka yang jauh dari keluarga masing-masing.

Program dimulakan dengan ramah mesra bersama koordinator mahasiswa Malaysia iaitu Dr Maged Abu Halim, koordinator mahasiswa perubatan iaitu Dr Amira Waley dan Dr Osama Kmhawy serta koordinator mahasiswa farmasi iaitu Dr Maged Abu Hashim.

Dalam ucapan mereka, mereka menjelaskan bahawa kedatangan mahasiswa baru disambut dengan baik oleh pensyarah-pensyarah universiti. Manakala bagi pelajar farmasi, mereka akan diberi labcoat secara percuma. Para koordinator juga akan melancarkan facebook group agar mahasiswa dari Malaysia dapat berkomunikasi dan bertukar-tukar pendapat dalam Bahasa Inggeris.

Program diteruskan dengan ucapan pengarah program, Pengerusi PERUBATAN Cawangan Zagazig dan wakil Presiden PERUBATAN Pusat iaitu saudara Wan Azizul Bin Azizun sebagai perasmi program. Beliau menasihati mahasiswa baru supaya memperbetulkan niat untuk belajar semata-mata kerana Allah, untuk memperjuangkan agama dan untuk membalas jasa ibu bapa.

Selain itu beliau juga berkata, “Ambillah peluang berada di sini untuk mengasah bakat seperti bakat kepimpinan dan sebagainya.”

Kemudian program JIS disambung dengan taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Encik Samsul Kahar Bin Kamarudin selaku Setiausaha Pertama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK). Dalam slot pembentangannya, beliau banyak menekankan isu keselamatan di Mesir.

Selepas itu, program diisi pula dengan ucapan dan sesi soal jawab oleh pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Encik Muhd Hazam Hajanan dengan dibantu oleh Encik Muhd Latif Bin Abu Samad. Antara perkara pokok yang dibincangkan ialah pendedahan tentang Non Obligation Certificate (NOC).

“NOC ini penting untuk pelajar sebelum terbang ke Mesir sebagai bukti bahawa pelajar layak dan diyakini kemampuannya untuk belajar di fakulti Perubatan,” ucap beliau. Namun, setelah diajukan soalan oleh salah seorang pelajar, beliau menyatakan bahawa sekiranya pelajar tersebut mendapat bawah daripada 4B untuk subjek sains semasa Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) terdahulu, pelajar tersebut perlu buktikan bahawa dia mampu dengan mendapatkan keputusan lulus dalam peperiksaan akhir tahun satu. Menurut beliau, NOC telah dicadangkan agar dijadikan antara dokumen ataupun sijil yang penting sebelum memohon sebagai pegawai perubatan (Housemanship Officer) kelak. Pelajar graduan Mesir juga digesa agar menjaga nama baik graduan dari Mesir apabila pulang berkhidmat di Malaysia kelak.

Program pada hari pertama berakhir dengan slot bersama wakil dari Kedutaan Besar Malaysia Kaherah dan Latihan Dalam Kumpulan oleh fasilitator-fasilitator.

Pada hari kedua, mahasiswa sains kesihatan diberi beberapa penerangan oleh pegawai MARA iaitu Tuan Haji Ishak Bin Othman dan taklimat oleh pegawai Education Malaysia (EM). Pegawai MARA hanya membuka sesi soal jawab bersama mahasiswa baru mengenai proses pinjaman MARA yang terbahagi kepada dua iaitu program Skim Pelajar Cemerlang (SPC) dan Skit Pembiayaan Terbuka (SPT). Beliau menasihati pelajar agar belajar bersungguh-sungguh dan cuba dapatkan gred yang terbaik. Kemudian, barulah mudah untuk mendapatkan biasiswa atau pinjaman daripada pelbagai sumber.

Antara pengisian yang menarik pada hari tersebut ialah Forum Mahasiswa Alam Universiti yang bertajuk “Ubah Persepsi”. Forum disampaikan oleh tiga panel yang hebat iaitu Dr Abdul Rahim Suhaini sebagai penasihat Perubatan Cawangan Iskandariah, Dr Nurul Adilah Binti Shuhardi selaku wakil Unit Pembangunan Insan Perubatan Cawangan Mansurah dan Ustaz Muhammad Mujahid Bin IR Mohammad Fadzil. Dalam forum mereka, persamaan yang ketara dalam penyampaian forum ialah mengubah mindset mahasiswa bahawa mahasiswa sekarang bukanlah pelajar lagi, justeru semuanya perlu berdiri di atas kaki sendiri.

Program JIS pada hari kedua diakhiri dengan perasmian penutup oleh Dr Abdul Hadi Bin Mohamad Zuki selaku penasihat Perubatan Cawangan Zagazig. Katanya, “Pengajian itu satu kewajipan, kecemerlangan itu satu keperluan.”

Program bersurai pada pukul 4 petang selepas sesi fotografi sebagai kenang-kenangan.

Disediakan oleh,

Nurul Syifak binti Mohd Sakir,

Timbalan Setiausaha,

Ahlan ’11,

PERUBATAN Cawangan Zagazig 2011.

 

Galeri : Jejak Ibnu Sina

Tinggalkan komen anda