Home > Menu > Kenyataan Rasmi > PERUBATAN Bersama Suara Palestin

PERUBATAN Bersama Suara Palestin

Assalamualaikum dan salam ramadhan buat semua ahli PERUBATAN. Puja dan puji dipanjatkan ke hadrat Ilahi atas kurniaan yang tidak terhitung banyaknya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW yang membawa rahmat untuk seluruh alam.

Sukacita dimaklumkan bahawa PERUBATAN sekali lagi akan menganjurkan satu program yang diberi nama Kembara Ukhuwah dan Tsaqafah (KUNTUM) kali ke-3 yang bertempat di Dewan Malaysia Abbsiyah Kaherah (DMAK). Program yang bakal berlangsung pada 21-23 Ogos ini membawakan tema “Aina Anta fi Shouti Falastina” yang bermaksud Dimana Kamu dalam Suara Palestin. Tema ini dipilih bertujuan membangkitkan sensitiviti kita selaku mahasiswa Islam dalam menangani isu Palestin.

Umum mengetahui bahawa isu Palestin bukanlah isu berkala, bahkan ianya disebut-sebut sebagai isu umat. Cuma kita yang kadangkala terlupa akan keperitan dan kepayahan saudara seaqidah kita dalam menghadapi tekanan dari Rejim Zionis laknatullah. Kita bukan sahaja dikhabarkan dengan berita-berita yang kurang enak didengar, bahkan dihidangkan pula dengan gambar-gambar yang sungguh menyayat hati.

Justeru, PERUBATAN telah mengambil langkah dalam membantu saudara seaqidah kita di Palestin dengan cuba untuk menanam dan melahirkan perasaan ‘ambil tahu dan bertindak’ dalam kalangan ahli PERUABATAN. Mungkin kita masih belum mampu mengangkat senjata bagi memerangi penjajah Palestin, namun kita tetap mempunyai ruang dan peluang untuk membantu melumpuhkan tindakan Rejim Zionis laknatullah.

UJIAN DAN RINTANGAN

Dalam merancang dan melaksanakan program yang seperti  ini, tidak dapat tidak barisan ahli jawatankuasa pelaksana pasti akan menghadapi seribu satu cabaran dan rintangan. Namun yang pasti, setiap pengorbanan yang dilakukan bukanlah sia-sia jika diniatkan benar-benar kerana Allah SWT tuhan sekalian alam. Jutaan tahniah dan terima kasih diucapkan atas jasa kalian dan pasti Allah akan membalasnya dengan sebaik-baik balasan. Cuma satu yang perlu kita sedar, sebesar mana pengorbanan kita besar lagi jasa mereka yang berusaha bermati-matian mempertahankan salah satu kota suci umat islam.

HARAPAN PERUBATAN

Semoga program yang bakal dijalankan pada kali ini mampu memberi kesan dan impak yang mendalam kepada para peserta seterusnya melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja bijaksana bahkan mampu bertindak. Doa dan harapan dipanjatkan kepada Allah agar program yang dirancang ini mempu dilaksanakan dengan jayanya.

Salam Ramadhan al Mubarak.

‘Aina Anta fi Shouti Falastina’

Yang menjalankan amanah,

Abdul Rahim Samad
Exco Biro Pembangunan Insan,
Persatuan Pelajar-Pelajar Perubatan Malaysia Mesir 2011/2012 (PERUBATAN).

merangkap,

Ex-officio, 
Kembara Ukhuwah dan Tsaqafah 2011 (KUNTUM).

rahimsamad

Tinggalkan komen anda