Home > Menu > Karya > Artikel > Cerpen: Dia Hero

Cerpen: Dia Hero

Suasana sunyi malam itu dipecahkan dengan dua suara itu. Salju merintik- rintik tidak mampu meredakan wap kemarahan Saleha. Bingit suara Saleha menembak tajam sosok abang kandungnya. Syahir hanya tunduk bisu. Memilih untuk menolak balah dengan adiknya. Tuan Kedai Roberth hanya  menoleh dari jauh, tatkala terkesima memandang si gadis itu bermerah muka, namun si pria hanya berdiri tegak di hadapannya, tanpa sebarang mainan muka. Hendak dirungkaikan, dia sendiri tidak memahami apa yang dibahaskan mereka, penduduk Asia di negerinya.

“Abang bukan marah adik, tapi jagalah diri tu. Abang risau terjadi apa-apa kat adik dan kawan-kawan adik tu je. Lagipun…”

“Lagipun apa? Memang abang suka la hidup adik terkongkong macam ni kan? Dah la mak dan ayah pun dari dulu asyik larang adik keluar malam. Kat sini abang pulak ambil alih tugas diorang kan? Abang ni memang… Arghh!!!” Merah wajah kacukan Saleha tak dapat dibendung lagi. Mimik marahnya kekadang berselang-seli dengan emosi sedih menyayukan. Air mata Saleha jatuh ke bumi asing itu.

Syahir diam. Di Universiti Vanderbilt itu, Syahir dikatakan pelajar Malaysia yang paling gentle. Ditambah pula dengan sosok tampan dan tinggi, menambah pasang mata dan hati yang ingin memikat. Apatah lagi dia seorang genius yang selalu mengalahkan pesaing-pesaing selama dua tahun berturut turut dalam bidang pilihannya, Chemical and Biomolecular Engineering. Masakan tidak momen begitu Syahir tidak tersentuh dengan bait adiknya. Dia tidak mampu berkata apa-apa. Hanya menanti tika bibir adiknya sirna dari kata.

Tidak jauh dari itu, terdampar kelipan mata kumpulan gadis dari tingkap kaca sebuah rumah sewa. Rumah sewa itu diduduki Saleha dan tiga lagi kawannya. Syahirah, Hanum, dan Nabila Tan. Sambil memerhati, suara juga menghurai spekulasi. Mereka bersama-sama Saleha  keluar  tanpa teman lelaki seusai Maghrib tadi. Beberapa juta saat kemudiannya, mereka diiring pulang oleh bakal jurutera, Syahir, abang Saleha.

“Ini bukan kali pertama tau abang. Dah berpuluh-puluh kali abang tak serik-serik nak kacau hidup adik. Dan tiap-tiap kali lepas kena tangkap tu,  ada je suara-suara yang nak torture  kitorang. Jahat sangat ke kitorang ni!”

“Saleha!” Syahir menyapa tangkas. Seolah-olah tidak bersetuju dengan tanggapan adiknya itu. Syahir seperti ingin menyambung. Namun dia seolah teragak-agak. Dia bisu.

Saleha juga terdiam. Hanya menunggu suara abangnya.

Syahir menghela lebih nafas. Syahir menyambung, dengan satu per satu kalimah dikeluarkan. Tenang.

“Abang sebenarnya sayang adik.”

Saleha terkelu. Entah kenapa respon Syahir itu tidak dapat dia patahkan. Seperti ada ruang nada yang menjulang hatinya. Bait itu seolah meraih maruah gadisnya.

“Abang buat macam ni sebab tiap saat abang fikirkan adik. Abang nak adik selamat. Belajar kat sini dengan tenang. Bukannya adik tak boleh keluar, boleh. Tapi, ada abang. Kalau abang sibuk, abang akan cari kawan yang boleh tolong jaga adik dengan kawan-kawan adik tu.”

Pekarangan bertambah sepi apabila masyarakat Nashville, Amerika Syarikat itu  semakin sirna dari pandangan. Tuan kedai Roberth juga memunggah barang-barang runcitnya ke ruang dalam kedai. Kereta dan bunyinya semakin surut. Malam semakin larut. Hanya kedai Seven E sahaja yang cerah. Dua watak masih lagi bercerita.

“Tapi…” Saleha cuba mematah. Menyelindung reaksi hati. Namun suara Syahir dulu menangkap suasana.

“Abang tak nafikan, fitrah gadis macam adik nak kebebasan. Abang pun macam tu, ingin bebas. Tapi bebas yang mengundang rasa ceria sebagai bukti. Bukan tangis dan sendu meratap kisah silam hitam. Saleha faham maksud abang kan?”

“Emm…” Saleha masih kekeringan idea.

“Dah la. Saleha pergilah masuk berehat. Esok ada kelas kan? Lupakan apa yang berlaku. Tenangkan fikiran.”

“Abang..”

Saleha yang seperti ingin menambah percakapan memilih untuk akur dengan arahan Syahir. Dia tidak tahu kenapa dia berubah pada saat begitu.

Dia pulang lemah. Tanpa menoleh ke arah rakannya sekali pun, dia menyusuri ruang tamu lalu menyusun rentak ke biliknya, lalu dikunci.

Perasaannya berbagai kini. Marah. Sedih. Kekadang tenang. Rumit untuk mengemas perasaan ketika itu.

Dia menyambar tetikus laptop, lantas mengklik pada folder cerita Korea. Itulah penyelesaiannya. Terutama pada drama lakonan Kim Hyun Joong dalam Boys Over Flowers. Saleha terpesona dengan pelakon itu. Lebih-lebih lagi dalam keadaan tertekan seperti itu, begitulah cara dia melampias tekanannya.

Jalan cerita drama itu sudah lali dihafalnya. Namun dia masih enak memangku tangan menonton. Rakan-rakan serumah sudah fasih berbahasa Korea disebabkan dia. Si protagonis selalu dijadikan impian Saleha sebagai pendamping diri. Baginya, sungguh ajaib jika masih wujud perwatakan sebegitu di wajah dunia kini. Seorang lelaki menyelamatkan heroin setiap kali kesusahan, namun tak pernah terlintas menganiaya. Si heroin pula selalu menyalah tafsir tindakan lelaki itu, meskipun menerima bertubi bantuan.

“Dia ialah hero aku.” Ungkap Saleha. Bosan rakan mendengarnya, namun tidak pernah jemu walau sezarah pun, bagi Saleha.

Beberapa saat lamanya, Saleha diam. Sesuatu terlintas di fikirannya.

Abang Syahir.

Selaju kilat bait-bait Abang Syahir yang membuatkan dia terkelu menyambar telinganya kembali.

Senyum terukir secara tidak sedar. Dia sudah tahu jawapannya. Jawapan yang dari awal dia sudah menjangkanya.

Abang Syahir itu sebenarnya hero aku. Dari dulu, dia adalah hero aku.

Dia mencapai handset Samsung kepunyaannya lalu mengirim mesej.

~Budakskema~

Unit Mushrif dan Keselamatan

Unit Kebajikan PCZ

Tinggalkan komen anda