Home > Menu > Karya > Artikel > 5 Minit Bersama Angkasawan Negara dan Dr. Jamnul Azhar

5 Minit Bersama Angkasawan Negara dan Dr. Jamnul Azhar

 

Baru sehari sekembalinya pasukan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) daripada misi kemanusiaan di Gaza namun tidak sedikit pun kelihatan sebarang tanda keletihan di raut wajah para delegasi, malah tetap mampu memberikan air muka yang ceria dan mesra. Selepas memberikan ceramah motivasi di Rumah Negeri Perak A dan sesi fotografi bersama pelajar pada 21 Ogos baru-baru ini, kedua-dua ikon negara; Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Jamnul Azhar Mulkan tetap sudi meluangkan masa untuk ditemuramah wartawan mediaPERUBATAN di sana.

Bersama Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar

Soalan: Dr. Sheikh adalah seorang doktor, angkasawan, penceramah motivasi, model dan juga usahawan. Apakah pekerjaan utama Dr. Sheikh sekarang?

Jawapan: Saya telah belajar perubatan dan telah mengamalkan perubatan sehingga ke hari ini. Selepas apa jua pekerjaan lain, saya tetap akan kembali berkhidmat sebagai seorang doktor.

S: Sekarang berlaku pelbagai kemelut peperangan di timur tengah seperti Libya, Syria, Yemen, Sudan dan Somalia. Mengapakah Gaza? Tiada rancangan lagi untuk ke tempat-tempat yang lain?
J: Buat waktu ini, seluruh dunia sedang bertumpu kepada saudara-saudara seIslam kita di Gaza. Tambahan kehadiran kami ke Gaza bukan sekadar untuk memberi bantuan perubatan dan makanan, malah sokongan moral.

S: Apakah rangcangan Dr. Sheikh dalam masa terdekat ini khususnya di Timur Tengah?
J: InsyaAllah saya akan ke Algeria kemudian ke Qatar atas jemputan kedua-dua negara tersebut.

S: Apakah perkara yang warga Timur Tengah ingin dengarkan daripada Dr. Sheikh?
J: Mereka lebih berminat untuk mendengar hubungan antara tamadun Islam dengan astronomi, khususnya apakah yang Islam boleh sumbangkan dalam bidang astronomi.

Bersama Dr. Jamnul Azhar

S: Bagaimanakah MAPIM mengumpul dana untuk membina hospital Malaysia di Gaza? Berapakah jumlah terkumpul dan sasaran kutipan?

J: Dana yang terkumpul adalah melalui promosi dalam ceramah-ceramah agama, temuramah bersama rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) dan juga sumbangan ikhlas individu-individu tertentu. Setakat ini, kami telah berjaya mengumpul 100 ribu USD sedangkan sasaran kami adalah sebanyak 400 ribu USD untuk membina hospital.

S: Bagaimanakah dana itu akan diuruskan?
J: Duit yang telah dikumpulkan itu telah disumbangkan kepada pihak bertanggungjawab Palestin untuk memulakan kerja-kerja asas pembinaan hospital itu. Duit berkenaan menunjukkan komitmen dan janji rakyat Malaysia untuk membina hospital bagi membantu mereka.

S: Apakah masalah perubatan paling kerap (most common cases) yang Dr. Jamnul perlu uruskan ketika merawat pesakit di Gaza?
J: Kebanyakannya saya perlu melakukan pembedahan amputasi ke atas mereka akibat serangan bom Israel.

S: Apakah memori yang paling sukar dilupakan ketika berada di Gaza?
J: Ada suatu ketika kedengaran bunyi letupan bom satu kilometer daripada hotel kami. Ia merupaka serangan Israel ke atas Gaza berikutan insiden yang berlaku di Sinai baru-baru ini. Kami pun dinasihatkan untuk beredar secepat mungkin oleh warga Palestin daripada Gaza untuk menjaga keselamatan kami.

mediaPERUBATAN: Jutaan terima kasih kepada Dato’ Dr. Sheikh Muszaphar Shukor, Dr. Jamnul Azhar, seluruh pasukan MAPIM, BKAN Perak dan PMRAM kerana sudi memberi peluang untuk bertemuramah dengan kedua-dua orang terkenal ini. Tahniah juga diucapkan kepada Dato’ Dr. Sheikh atas kelahiran anak pertama Sophea Isabella yang baru berumur 3 minggu. Semoga rumahtangga beliau bahagia ke akhir hayat.

Tinggalkan komen anda