Home > Menu > Karya > Artikel > Mahasiswa Islam Bijak Menilai

Mahasiswa Islam Bijak Menilai

Menilai suasana mahasiswa hari ini, seharusnya mahasiswa itu kritis, bijak berfikir dan berani membuat penilaian di dalam apa jua situasi dan keadaan yang menimpa negara Malaysia pada hari ini. Mahasiswa itu aset negara, seharusnya corak pemikiran mereka yang diasah dan dibentuk di dalam musim mahasiswa yang dilihat sebagai cermin kepada bakal kepimpinan negara itu tidak dijatuhkan maruahnya ke tahap yang terendah dengan hanya dihanyutkan picisan-picisan hedonisme, sekatan berfikir dan kongkongan membawa pandangan yang tiada penghujung dan akhirnya tiada penyelesaian kepada krisis kemunduran yang melanda mahasiswa negara Malaysia pada hari ini.

Situasi di negara Malaysia seharusnya dijadikan bukti penelitian dan kajian suasana untuk mahasiswa menilai yang mana satu baik dan yang mana satu buruk. Dunia globalisasi memungkinkan mahasiswa untuk mengakses segala jenis maklumat hanya di hujung jari pada setiap saat dan masa, menjadikan apa sahaja yang berlaku di sekitar pembangunan, politik, kemajuan dan perkembangan terkini yang terjadi di negara Malaysia seharusnya diketahui, dikaji, dianalisis dan akhirnya dibuat penilaian yang bijak.

Mahasiswa tidak semata-mata harus dikongkong dalam apa jua segala bentuk pemikiran, idea, pandangan dengan hanya menjadi seperti katak di bawah tempurung dan pak turut semata-mata, sedangkan perkara itu seharusnya tidak berlaku dan terang-terangan membawa kerugian sama ada kepada agama Islam atau rakyat Malaysia seluruhnya.

Di sini saya menyeru, untuk mahasiswa banyak membaca, banyak mengakses maklumat yang tepat dan benar, mengkaji apa jua bentuk tindakan dan respon yang harus dilakukan atas apa jua suasana yang berlaku di Malaysia pada hari ini dalam penilaian yang bijak. Negara Malaysia memerlukan mereka yang betul-betul ikhlas dan benar-benar inginkan suasana perubahan yang baik untuk rakyat Malaysia kelak dan tidak lain tidak bukan, mahasiswalah yang memegang kompas dan menjadi penentu arahnya. Garaplah segala jenis bentuk ilmu yang ada di bumi Mesir ini untuk dipersembahkan kepada rakyat yang akan menjadi penerima bakti dan jasa yang harus kita curahkan untuk rakyat Malaysia kelak.

Ingat, jikalau mahasiswa pincang, negara kelak turut akan pincang, kelak kita mudah diambil kesempatan dan dipancung musuh-musuh Islam yang sememangnya mahukan pemuda ummah itu lesu dan tidak mampu melawan.

Ingat, mahasiswa Islam harus bangkit, mahasiswa Islam harus bijak menilai.

Syafiq bin Hamdani
Presiden PERUBATAN 2011/2012

Info Penulis

Syafiq Hamdani merupakan mahasiswa Universiti Kaherah. Beliau telah memegang jawatan Ketua Biro Penerbitan dan Penerangan sejak sesi 2008/2009/2010 kemudian diteruskan dalam sesi 2010/2011. Sekarang beliau adalah Presiden PERUBATAN sesi 2011/2012.

Tinggalkan komen anda