Home > Menu > Karya > Artikel > Isra’ dan Mikraj dalam Kehidupan Kita

Isra’ dan Mikraj dalam Kehidupan Kita

Israk Mikraj Bukti Kecintaan Allah kepada Kekasih-Nya

Sirah agung membuktikan junjungan besar baginda Nabi Muhammad s.a.w. tidak dibiarkan bersendirian dalam perjuangan menegakkan Islam di tengah-tengah kegelapan kejahilan bangsa Arab. Kewafatan Saidatina Khadijah r.a. isteri tercinta Rasulullah s.a.w. ditambah pula dengan pemergian Abu Talib bapa saudara Baginda yang amat disayangi dan banyak membantu perjuangan Islam cukup-cukup menjadikan perjuangan Rasulullah s.a.w. ketika itu berada dalam posisi sedikit tenat dan lumpuh dalam meneruskan perjuangan dakwah Islam.

Allah memujuk kekasih hati-Nya dengan membawa baginda s.a.w. bersiar-siar menonton hakikat manusia di alam akhirat sehingga menuju ke Masjid Al-Aqsa lalu diangkat naik ke langit bertemu Rasul-rasul terdahulu, dan akhirnya bertemu Allah; bersemuka dengan Tuhan yang tercinta.

Apabila mengetahui kisah ini, maka Abu Jahal begitu gembira kerana sekali lagi ia menjadi peluang terbaik untuk menghentam Rasulullah s.a.w. dan menjauhkan masyarakat daripada dakwah baginda. Bahkan ada dalam kalangan pengikut Rasulullah s.a.w. yang tergoncang aqidah mereka kerana tidak percayakan cerita Rasulullah s.a.w. yang telah diisrak mikrajkan ke destinasi – yang mengikut hitungan akal manusia yang waras – adalah mustahil untuk berlaku dalam masa satu malam.

Maka begitulah rencam dan mehnah dalam membawa perkara dakwah, yang sentiasa ditolak mentah sebahagian besar masyarakat Arab jahiliah pada ketika itu. Isi Islam itu adalah perkara yang baik, namun dari sudut luaran iaitu jenama dan produk Islam itu sentiasa diburuk-burukkan oleh mereka yang menentangnya. Hakikatnya, watak penafian terhadap dakwah Islam itu menjadi adat resam yang berulang dari dahulu sehingga sekarang, cuma watak yang ditonjolkan itu berbeza hanya pada rupa, zaman dan tempat ia dilahirkan.

Israk Mikraj dalam Membina Kekuatan Mahasiswa Muslim

Israk dan Mikraj menggambarkan beberapa tauladan yang seharusnya menjadi pengajaran kepada mahasiswa Muslim masa kini. Ibrah peristiwa ini tidak seharusnya diambil semata-mata dengan sambutan tahunan yang diadakan secara mewah tanpa menghayati nilai yang wujud di sebalik kisah ini.

Antara yang penting adalah dari sudut kebergantungan kita kepada Allah dalam kehidupan kita sehari-hari. Rasulullah s.a.w. berjuang menegakkan Islam dalam keadaan penuh jerih dan kepayahan namun jauh dari hati Rasulullah s.a.w. untuk mengeluh dan meninggalkan perjuangan dakwah Islam. Namun yang disandarkan pohonan untuk membantu Rasulullah s.a.w. hanyalah dipanjatkan kepada kekasih-Nya yang tercinta iaitu Allah. Allah mendengar rayuan baginda lalu menenangkan hati kekasih-Nya dengan diisrak dan dimikrajkan.

Mahasiswa hari ini tidak seharusnya lupa, yang kita ini berada dalam nikmat Iman dan Islam secara percuma dan tiada berbayar. Rasulullah s.a.w. membayar harga membina tapak aqidah keimanan dan membanteras kejahilan dengan 1001 kepayahan, sedangkan kita beruntung kerana mewarisi keimanan dari ibu dan ayah secara percuma semenjak kita dilahirkan.

Justeru, selaku mahasiswa Islam, seharusnya kita celikkan mata kita dan sedar, hakikat “biasiswa” yang kita ada. Kita seharusnya memahami “biasiswa” itu bukan hanya daripada penaja pengajian, ibu dan ayah kita semata-mata. Sedangkan kita ada Allah yang telah memberi kita banyak “biasiswa” sejak kita lahir hingga sekarang. Namun, berapa banyak tanggungjawab “biasiswa” kepada Allah telah kita tunaikan?

Justeru, saya menyeru kepada mahasiswa Muslim untuk bersama koreksi diri melihat sejauh mana kita membawa Islam dalam kehidupan. Mendokong dan memperjuang Islam dalam kehidupan, dan akhirnya sejauh mana kita bergantung harap kepada Allah setelah berusaha dan bertawakal. Tawakal setelah berusaha itu penting, tambahan pula dalam musim peperiksaan akhir sebegini lebih-lebih memerlukan kebergantungan kita kepada Allah. Jadikan bukti kecemerlangan kita dalam pelajaran bukan semata-mata berbangga dengan Mumtaz yang ada, jangan pula ada dalama kalangan kita yang sedikitpun tidak menghubungkan kejayaan kita ada pada hari ini dengan kejayaan kita selaku mahasiswa Islam yang akan menaikkan kembali jenama baik Islam yang selama ini telah diburuk-burukkan sekembalinya kita ke Malaysia kelak.

Kita mempunyai komuntiti yang kita bina selama ini. Komuniti yang kita kenali sebagai PERUBATAN, untuk kita taburkan budi dan berkhidmat kepada seluruh mahasiswa-mahasiswi sains kesihatan di perlembahan Nil ini. Objektif PERUBATAN tidak lari dari memberi khidmat kebajikan kepada ahli yang seharusnya difahami bukan semata-mata dari sudut bantuan kewangan dan program semata-mata, justeru yang ingin dibawa oleh PERUBATAN juga berusaha untuk menjaga kebajikan ahli di akhirat kelak.

Justeru, saya sekali lagi mengajak seluruh ahli untuk berkhidmat untuk Islam bersama PERUBATAN, Selamat Berjuang Menempuh Peperiksaan dan Selamat Menghayati Israk dan Mikraj kepada seluruh mahasiswa mahasiswi sains kesihatan di Mesir ini.

Sekian.

Syafiq bin Hamdani

Presiden PERUBATAN 2011/2012


Tinggalkan komen anda