Home > Menu > Karya > Artikel > Bagaimana Kita Memandang Ramadhan?

Bagaimana Kita Memandang Ramadhan?


Semua tanda kelahiran sudah nampak. Si ibu berkerut meneran nafas demi nafas, si bapa pula cemas menahan gelisah, doktor dan pembantu berusaha sehingga berpeluh basah. Semua sedang berusaha dan bersedia untuk menyambut kelahiran seorang anak.

Tinggal beberapa detik sahaja lagi. Anak itu akan lahir bila-bila masa sahaja. Kelahiran yang ditunggu-tunggu.

Genting!

Itulah situasi apabila ingin menyambut kelahiran seorang anak. Dan…

Malam ini.

Akan lahirlah suatu anak yang agung. Lahirnya menandakan datangnya rahmat, keampunan dan pelepasan daripada azab neraka iaitu, anak bulan Ramadhan.

Malam ini bermula kitaran fasa bulan yang baru, dengan terbitnya anak bulan 1 Ramadhan. Bulan yang paling ditunggu-tunggu, lebih indah berbanding fenomena gerhana bulan baru-baru ini.

Malam ini juga sudah mula solat sunat terawih. Keesokannya pula kita sudah mula berpuasa. Perbincangan di laman sosial pun sudah galak berkenaan Ramadhan. Ada yang mahu khatam Quran, tadarus beramai-ramai, ada yang mahu qiamullail, serta mengejar bonus terbesar; Lailatul qadr, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Tidak lupa agenda terpenting Ramadhan- Bazar Ramadhan. 

Namun dalam persediaan untuk menyambut Ramadhan pada malam ini, adakah betul cara kita memandang Ramadhan?

Ibadat VS Adat.

Kita mengikuti perbincangan rakan-rakan berkenaan tibanya Ramadhan, kemudian melalui sebulan berpuasa dan akhirnya merasai nikmat berhari raya. Menerima kitaran bulan demi bulan ini seadanya. Seolah-olah Allah membawakan Ramadhan kepada kita secara sia-sia. Inilah Ramadhan yang disambut sebagai adat, diulang-ulang saban tahun.

Tetapi hakikatnya tidak begitu.

Ramadhan ini Allah datangkan dengan matlamat. Matlamatnya bukan sekadar pahala tetapi mendapat taqwa, tanda peningkatan diri sebagai hamba.

Untuk mencapai matlamat taqwa, ibadah dalam Ramadhan itu adalah prosesnya, sebagai latihannya.

Contohnya, apabila korek hidung puasa batal. Logikkah? Tadarus al-Quran 2 hingga 3 juzuk sehari. Terawih pula, bacaan imam panjang dan lama. Meletihkan.

Mengapa perlu letih-letih sebegini?

Inilah latihan. Kekuatan hanya dapat ditingkatkan dengan latihan.

 

Penting untuk mendapat taqwa hasil daripada proses ibadah itu. Sebagai langkah awal, kita perlu betulkan kembali niat semasa beribadah sepanjang Ramadhan ini.

Jika kesusahan yang bakal dirasa sebulan ini, dilalui seperti adat tahun-tahun yang lalu, ibadah kita hanyalah membawa penat. Ya, hanyalah penat semata-mata.

Ramadhan ibadat.

Ayuh mulakan sambutan Ramadhan dengan membetulkan niat.

Kemudian, bersungguh-sungguh menjalani ibadah sepanjang bulan.

Semoga kita semua berjaya menjadi hamba yang bertaqwa.

 

Disediakan Oleh,

Wan Za’imu Nazmeer bin Wan Abu Bakar

Unit Wartawan, Jabatan Web dan Risalah

 

Tinggalkan komen anda