Home > Menu > Karya > Artikel > MENIRU: Trend Popular Musim Peperiksaan

MENIRU: Trend Popular Musim Peperiksaan

Mahasiswa Islam di Mesir khususnya di Zagazig kini semuanya sedang ‘berjihad’ menghadapi peperiksaan akhir tahun masing-masing.  Pada saat ini, aspek kerohanian sangat diambil berat, supaya diri sentiasa bersemangat sepanjang fatrah peperiksaan ini. Rosak dan cacat amalan rohani, lemah dan pincanglah semangat diri untuk menghadapi peperiksaan getir ini.

Sama seperti kebiasaan tahun-tahun yang lalu, dapat diperhatikan majoriti mahasiswa kembali menjadi ‘wali’; sejadah yang terlipat kembali dibuka, quran yang berhabuk mula diselak, percakapan masing-masing terjaga, solat hajat semakin kerap ditunaikan, masjid-masjid dipenuhi setiap waktu, dan saling meminta didoakan sesama rakan taulan. Ini bermakna mahasiswa/wi sedar akan pentingnya kekuatan rohani untuk menghadapi sesuatu cabaran dan paling penting, keyakinan kita kepada Allah SWT masih tertanam supaya kita kembali kepada Allah khususnya semasa dalam kesusahan.

Ironinya, apabila semakin galak masjid-masjid diimarahkan, semakin bertambah helaian al-quran yang dibaca, dan semakin berkurang solat yang tertinggal sepanjang fatrah peperiksaan ini, maka semakin menjadi-jadi pula trend meniru semasa peperiksaan.

Paling kritikal, golongan yang langsung tiada perubahan. Diri tidak kembali mendekati Allah SWT, bahkan meniru pula di dalam peperiksaan. Golongan ini perlu menelaah kembali tujuan dihidupkan di dunia, dan tujuan pengembaraan diri dari tanah air ke sini.

dosa itu itu ialah suatu perkara yang tergetar dalam dirimu dan teragak-agak di hati…

(Hadis Hasan riwayat al-lmam Ahmad dan al-Daarimie dengan isnad yang baik).

Mengapa tidak boleh meniru? Adakah meniru ini dikira menipu, dan salahkah meniru cuma sedikit untuk kejayaan yang besar dalam peperiksaan? Persoalan sebegini tidak perlu dijawab dengan bersusah-payah membelek untuk mencari 1001 hukum-hukam daripada al-Quran dan hadis. Tepuk dada, tanyalah hati. Cukuplah dengan hadir keresahan hati untuk menandakan perbuatan kita itu suatu dosa, iaitu menipu.

Situasi yang biasa berlaku:

Selepas selesai solat fardhu, ditambah dengan solat sunat hajat dan berdoa kepada Allah agar diberi kejayaan. Kemudian hubungi keluarga minta doakan kejayaan, keberkatan dan keredhaan.

Di dewan peperiksaan, rupa-rupanya terselit beberapa ekor toyol dalam poket bajunya.

  • Ibadah khusus(solat, doa) dilaksanakan dengan beretika dan tertib, tetapi ibadat umum(peperiksaan, menuntut ilmu) bercampur dengan kemungkaran. Dan beranggapan ini TIDAK APA. Inilah bahana pemikiran sekularisme dalam ibadah.
  • Menganggap ibadah hanyalah seperti solat dan membaca quran, yang tidak meliputi amalan kehidupan seharian.

Kata-kata selepas peperiksaan, “Aku mahu lulus sahaja, aku dah cuba yang termampu. Tawakal sahajalah…”

Padahal semasa peperiksaan, beberapa kali pergi ke tandas melihat kembali nota yang dibawa.

  • Jadi, kepada siapakah tawakal itu, kepada nota a.k.a. toyol atau kepada Allah SWT?
  • Tawakal ialah berserah dan pergantungan kepada Allah SWT setelah berusaha sehabis baik mengikut syariat(doa, jujur, dll)  dan sunnatullah(ulang kaji, menghafal, dll).

Perbualan biasa bersama rakan-rakan sebelum atau selepas peperiksaan, “Tolong doakan aku”, “Doakan aku berjaya” tetapi tetap meniru semasa peperiksaan.
  • Logikkah meminta kejayaan dengan cara yang diberkati(berdoa) walhal, amalan yang dilakukan dan minta didoakan itu suatu dosa dan kemungkaran(menipu atau meniru).
  • Samalah juga seperti pencuri yang sedang mencuri, memecah masuk rumah orang dengan membaca, “Bismillah…”. Memang tidak logik! Niat yang ikhlas tidak menghalalkan cara yang salah.

Masa masih ada. Bertaubat dan berusahalah sehabis baik untuk tidak lagi menipu diri sendiri. Mahasiswa Muslim ialah mahasiswa yang berkompeten dan berintegriti.Sentiasalah beringat dengan peringatan Allah dalam Surah Al-Alaq (ayat 14) yang bermaksud,

“Tidakkah dia mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melihat (segala perbuatannya).

Apa gunanya berjaya dalam peperiksaan hari ini, kemudian membina hidup daripada hasil yang tiada keberkatan. Ingatlah, kejayaan yang paling bernilai ialah yang dinilai oleh Allah SWT. Pastinya, bukan dengan meniru!

Disediakan oleh:

Unit Pembangunan Insan dan Unit Kebajikan PCZ 2011/12.

Tinggalkan komen anda