Home > Biro PCZ > Biro Pembangunan Insan > Laporan Open SC (Akhawat)

Laporan Open SC (Akhawat)

Zagazig, 26 Jun 2011- Unit Pembangunan Insan Perubatan Cawangan Zagazig 2011(UPI PCZ 2011) dengan kerjasama Jabatan Nuqaba’ Zagazig telah menganjurkan OPEN SC peringkat akhawat. Setelah hampir 2 bulan sunyi daripada majlis-majlis ilmu, buat ke sekian kalinya, Dewan Darul Wehdah dipenuhi hampir 80 orang akhawat, para pemilik hati yang merindui ‘taman syurga’ semenjak tawaqufnya program pada awal Mei lalu. Program ini disusun bagi mengisi rohani-rohani yang merindui peringatan yang membawa mereka untuk lebih dekat kepada Sang Pencipta di samping mengurangkan tekanan yang dihadapi sepanjang tempoh peperiksaan akhir tahun seterusnya mengambil peluang keemasan untuk menghayati salah satu peristiwa agung dalam sirah Baginda Nabi Muhammad saw pada bulan Rejab iaitu Israk dan Mikraj.

Open SC telah berlangsung selama hampir 3 jam bermula 3.45 hingga 6.45 petang dengan susunan agenda yang santai dan berinput. Program ini bermula dengan solat Asar berjemaah dan bacaan ma’athurat yang dikendalikan oleh Saudari Siti Muslihah binti Mohd Nor. Seterusnya, Nurul Izzati Mohd Salleh selaku  pengerusi umum mengambil alih mengendalikan majlis ilmu ini. Setelah majlis dibuka dengan bacaan Ummul Kitab, pengerusi majlis menjemput Saudari Syafiah binti Mohamad selaku Timbalan UPI PCZ 2011 untuk menyampaikan ucapan alu-aluan.

Agenda SC diteruskan dengan menjemput Saudari Duratul’ain binti Mohd Nazri untuk membentangkan isu semasa yang berlaku di Malaysia dan kaitan isu-isu tersebut dengan anak muda atau mahasiswi serta huraian Hadis, ayat Al-Quran dan kalam-kalam hikmat yang berkait rapat dengan setiap isu. Antara isu yang dibentangkan adalah; Alcohol consumption, isu murtad, Kartunis Utusan: Rogol dan Zina, Kelab Taat Suami, dan isu kenaikan harga minyak.

Pada jam 5.20 petang, pengerusi majlis mempersilakan Saudara Abd Hakim bin Mohd Suhimin untuk membentangkan dan berkongsi cerita dan pengajaran daripada peristiwa agung dalam Islam, Israk Mikraj Rasulullah saw. Hasil daripada itu, pembentang telah berjaya menghuraikan dengan jelas perkaitan antara pengajaran daripada sirah Baginda Nabi Muhammad saw dengan kehidupan kita pada hari ini, tentang isu aqidah umat Islam terhadap kekuasaan Allah swt dalam peristiwa agung ini dan tidak ketinggalan isu hak umat Islam terhadap tanah Palestin.

Setelah berakhirnya perkongsian daripada Saudara Abd Hakim, dua orang peserta dijemput untuk membuat kesimpulan keseluruhan daripada apa yang diperoleh sepanjang Smart Circle pada petang tersebut. Akhirnya, majlis ditangguh dengan bacaan Kafaratul Majlis dan Surah Al-‘Asr dan semua hadirat dijemput untuk menikmati hidangan petang yang disediakan oleh para naqibat.

Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan OPEN SC pada kali ini. Maaf dipohon atas segala kekurangan. Diharapkan semua peserta dapat mengambil sebnyak mungkin ibrah dan input daripada pengisian yang telah dikongsi oleh para pembentang. Semoga kita semua sentiasa dalam Redha dan RahmatNYA. Siiru’ala barakatiLLAH.

Disediakan oleh;

SYAFIAH BINTI MOHAMAD

Timbalan Ketua Unit,

Unit Pembangunan Insan,

Perubatan Cawangan Zagazig 2011.

 

Klik : Galeri Program Open SC Akhawat

 

Tinggalkan komen anda