Home > Menu > Karya > Artikel > Jangan Pisahkan!

Jangan Pisahkan!

Oksigen sangat bermanfaat buat tubuh, kerana dengannya kelangsungan proses metabolisma di dalam tubuh dapat diteruskan. Pun begitu udara normal cuma mengandungi 21% oksigen, cukup untuk memastikan manusia dapat bernafas dalam udara yang percuma itu.

Seandainya aras oksigen ini meningkat atau menurun tanpa keperluan, nescaya manusia pasti akan binasa kerananya.

Begitu juga keadaannya dengan air hujan yang turun dari langit. Allah sahajalah yang menentukan kadarnya, agar tidak melimpah ruah menjadikan penghuni bumi binasa. Atau kering kontang menyeksa isi penduduknya.


“Sucikanlah nama Tuhanmu yang Maha Tinggi (daripada segala sifat-sifat kekurangan).

Yang telah menciptakan (sekalian maklukNya) serta menyempurnakan kejadiannya.

Dan yang telah menentukan kadar (mengatur) serta memberikan petunjuk.”

(Al-A’la:3)

Hakikat bahawa segala sesuatu punya kadar tertentu dan di bawah kawalan juga penciptaan yang rapi dapat diperhalusi pada hebatnya penciptaan manusia. Segalanya harus berada pada aras yang tertentu, agar tubuh dapat menjalankan fungsi secara normal. Sedikit sahaja peningkatan pada kandungan Glucose atau Insulin dalam darah, ataupun berkurangnya Thyroid Hormone tanpa keperluan, pasti meninggalkan kesan ke atas tubuh.

Oleh itu generasi Doktor Muslim sekalian, bukankah kita ini sepatutnya menjadi agen yang mempromosi kebesaran Tuhan melalui ilmu yang diperolehi di medan perubatan ini?

Menjadi seorang doktor merupakan impian ramai orang. Malang apabila kita tidak berterima kasih dengan peluang yang diberikan Allah apalagi andainya kita membalas anugerah itu dengan rungutan yang tiada berkesudahan.

Sememangnya banyak kelebihan yang bakal diraih seandainya kita bekerja keras untuk menekuni ilmu perubatan di samping menyelitkan unsur agama di dalamnya. Ingatlah bahawa masyarakat di luar sana bukan saja menderitai penyakit fizikal bahkan juga penyakit rohani yang menimbulkan pelbagai kekacauan dalam masyarakat. Masalah ini tidak mungkin mampu diubati melainkan dengan kembali mengamalkan seruan agama dan meninggalkan kejahilan.

Antara penghayatan agama dan kehebatan ilmu perubatan ini hanya ada satu cara penyatuan yang pasti; JANGAN PISAHKAN!

Di musim peperiksaan yang hangat ini, pastilah kita berusaha keras bagi memastikan hasil yang diperolehi memuaskan. Dalam perlumbaan sengit itu pastikan tidak ada penipuan yang berlaku, agar hasil yang diperolehi benar-benar setara dengan usaha diri. Ingatlah Allah memberi pahala yang amat besar buat hamba yang berusaha melakukan kebaikan di jalanNya.

“Dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya.”

(Al-Maidah:32)

Kerana itu pekerjaan sebagai seorang doktor selalu dilabel sebagai pekerjaan yang mulia (noble job), dan sudah tentu diganjari dengan pahala andai bertepatan niatnya. Janganlah pula kerana kecuaian dan kemalasan kita yang bermatlamatkan peperiksaan semata-mata, kita ‘terbunuh’ pesakit; rohani dan jasmaninya!

“Bahawa sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh orang lain) atau bukan (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya.”

(Al-Maidah:32)

Jangan dipisahkan ilmu dunia dan agama, kerana tempang satu cacat semuanya!

Disediakan Oleh,

Nafsah bt Dulajis

Unit Artikel Jabatan Web

Unit Penerbitan dan Penerangan PCZ 2011

Tinggalkan komen anda