Home > Menu > Karya > Artikel > Gerhana Bukti Kehebatan Allah SWT

Gerhana Bukti Kehebatan Allah SWT

Bulan tersipu-sipu,

Diarak awan nipis nan kelabu,

Bertandang penuh syahdu,

Pergi membawa rindu,

Dalam rukuk, sujud dan doaku,

Malam satu dalam seribu.

Gerhana bulan. Penduduk negeri Kuda Putih masing-masing mendongak kepala ke langit untuk melihat fenomena gerhana bulan di dada langit, malam tadi. Tidak kurang ramai juga yang berlari naik ke sutuh bersama-sama kamera untuk mendapatkan sudut gambar terbaik. Peluang yang jarang-jarang diperoleh ini, ditambah dengan keberadaan di bumi anbiya ini menambahkan kemanisan menyaksikan bukti kekuasaan Allah SWT.

Fenomena menakjubkan yang berlaku apabila bumi berada sesatah dengan garisan bulan dan matahari ketika fasa purnama ini, mengikut hitungan, dijangka akan berlaku  di langit Mesir bermula jam 6.22 petang waktu tempatan lagi. Namun gerhana bulan penuh dapat disaksikan dengan jelas di dada langit Zagazig bermula jam 8.10 malam, berlangsung selama kira-kira 1 jam 40 minit dan beransur hilang pada jam 10.00 malam semalam.

Berpengalaman menyaksikan gerhana bulan buat kali pertama di sini juga memberi ilmu dan pengalaman baru yang tidak diketahui berkenaannya sebelum perkelanaan di bumi Mesir ini. Melalui sahabat-sahabat pengajian Islam di Universiti Al-Azhar di sini, diceritakan beberapa info dan sejarah kenabian berkaitan gerhana.


Seperti cara untuk menyikapi gerhana ini, telah diajarkan oleh junjungan mulia Rasullah saw. Pada zaman Rasullah saw juga pernah terjadi gerhana matahari di saat kematian putera Baginda, Ibrahim. Sebahagian sahabat menyangka kejadian gerhana matahari itu adalah sebagai respon alam atas kematian putera baginda. Rasullah saw kemudian menepis persepsi sahabat-sahabat baginda tersebut dengan bersabda:

“Sesungguhnya matahari dan bulan tidaklah menjadi gerhana disebabkan kematian seseorang atau kerana dihidupkan seseorang tetapi kedua-duanya adalah termasuk ayat-ayat (tanda-tanda) dari Allah. Oleh itu apabila kamu semua melihatnya maka dirikanlah sembahyang”. (Riwayat Imam Muslim)


Segala puji bagi Allah juga, apabila golongan mahasiswa Malaysia di sini berpeluang untuk turut serta melaksanakan amalan yang dituntut semasa kejadian gerhana. Di masjid-masjid, mahasiswa Malaysia berdiri dalam saf di celah-celah penduduk tempatan bahu ke bahu untuk mendirikan solat sunat gerhana secara berjemaah, yang sedikit berbeza kaifiatnya; 2 rakaat berserta 2 qiam(berdiri) setiap rakaat, 2 kali membaca al-Fatihah dan surah, 2 kali rukuk dan 2 kali iktidal. Kemudian mendengar khutbah gerhana yang disampaikan imam. Disunatkan juga untuk mandi sunat gerhana sebagaimana mandi sunat hari Jumaat, sebelum mendirikan solat sunat gerhana.


Keluar melangkah anak tangga masjid, rata-rata jemaah masjid mendongak ke langit, masih tidak jemu menyaksikan gerhana, dan kali ini dengan lebih penghayatan. Terngiang-ngiang kembali petikan ayat suci al-Quran yang dibacakan imam semasa khutbah:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi dan pada pertukaran malam dan siang terdapat tanda-tanda(kekuasaan dan kebijaksanaanNya) bagi orang -orang yang berakal” (Ali Imran : 190)

Sungguh kata imam, kejadian gerhana bulan merupakan salah satu bukti kekuasaan dan keagungan Allah s.w.t. bagi yang mahu memikirkan. Betapa taatnya makhluk bersaiz gergasi ini mematuhi ketetapan Allah (sunnatullah) hingga tidak mungkir walau satu saat pun.


Berjalan pulang sambil merenung bulan, bibir bertahmid dan bertasbih. Hati pun turut bermuhasabah atas segala silap dan salah.

Disediakan oleh,

Wan Zaimu Nazmeer bin Wan Abu Bakar,

Unit Berita Jabatan Web UPP PCZ 2011.

Tinggalkan komen anda