Home > Menu > Berita > PERUBATAN dan PAPISMA Merangka Kerjasama

PERUBATAN dan PAPISMA Merangka Kerjasama

Kaherah, 21 Mei- Kesempatan masa yang ada digunakan sebaik-baiknya oleh pihak pimpinan PERUBATAN untuk bertemu dan beramah mesra bersama Timbalan Presiden sebuah NGO perubatan di Malaysia iaitu Persatuan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Dr Suhaini bin Kadiman ketika kunjungan ziarah beliau ke bumi Mesir baru-baru ini.

Kehadiran beliau bersama isteri pada asalnya adalah semata-mata untuk menziarahi anaknya di Tanta namun dengan izin Allah, pertemuan antara pimpinan PERUBATAN dengan tetamu dari Malaysia ini telah berjaya disusun walaupun dalam jangka masa yang singkat. Peluang keemasan ini telah dimanfaatkan dengan sesi taaruf dan bertukar-tukar pendapat serta perkongsian pengalaman.

Selaku Timbalan Presiden di dalam PAPISMA, Dr Suhaini bin Kadiman yang kini bertugas sebagai pakar perunding di Institut Jantung Negara (IJN) berpesan kepada ahli PERUBATAN agar sentiasa belajar bersungguh-sungguh dan berusaha sebaik mungkin bersempena dengan fatrah peperiksaaan yang berlangsung sekarang ini.

“Mahasiswa di Mesir sebolehnya hendaklah bergerak aktif dalam persatuan pelajar seperti PERUBATAN demi untuk meningkatkan potensi diri dalam usaha untuk memastikan kesediaan doktor-doktor Mesir untuk berkhidmat di Malaysia kelak”, tambah beliau lagi.

Presiden PERUBATAN, Saudara Syafiq bin Hamdani ketika ditemui menyatakan rasa berbesar hati dengan kunjungan tetamu dari Malaysia dan mengalu-alukan kedatangan beliau bersama isteri ke bumi Mesir ini.

“Diharapkan dengan pertemuan ini dapat menambahkan lagi ruang kerjasama antara PAPISMA dan PERUBATAN di masa hadapan”, ujar saudara Presiden lagi.

Tinggalkan komen anda