Home > Menu > Karya > Artikel > Pemakanan sihat, Adakah anda pasti?

Pemakanan sihat, Adakah anda pasti?

Musim peperiksaan kunjung tiba lagi. Pada waktu sebeginilah tabiat seseorang mungkin boleh berubah secara ekstrem daripada perubahan personaliti, pola tidur dan juga diet seharian. Ada antara kita yang mengambil mudah saja  soal pemakanan. Apa yang anda perlu tahu, apa yang kita makan mempengaruhi aktiviti otak.

“Aku minum 5 cawan kopi sehari “

“Tak makan nasi pun tak apa! Maggi kan ada? “

“Saya tak suka sayur,pahit betul! “

Ini mungkin antara situasi yang berlaku antara kita. Dimana silapnya?

Adakah faktor kesibukan menelaah pelajaran semata-mata membuatkan kita lupa betapa pentingnya menjaga kesihatan? Sebagai seorang pelajar umumnya dan pelajar perubatan khususnya, secara logik akal kitalah yang harus mengamalkan penjagaan kesihatan secara menyeluruh supaya dapat memberi contoh dan impak terbaik kepada pesakit kita nanti.

Mari kita lihat 5 perkara mudah yang kita boleh ubah untuk menjadi sihat.


1) Bergoreng  atau  sup?

Siapa yang tidak sukakan kentang goreng dicicah bersama sos dan mayonis bukan? Atau pun ayam goreng Rock Chicken yang sangat rangup dan enak? Hingga tak sedar sampai kulitnya yang rangup kita ratah, atau burger daging bersama Mozarella? Sedapnya! Namun awas, makanan bergoreng mengandungi kalori yang sangat tinggi. Pengambilan secara berlebihan sudah tentu membuat perut anda tidak selesa dan mengurangkan konsentrasi otak. Jika dibandingkan dengan makanan yang bersup. Ianya mudah dihadam, kurang kalori maka mengurangkan potensi kegemukan dan semestinya lebih sihat.

2) Putih atau perang?

Sudah semestinya anda arif bukan tentang kebaikan kompleks karbohidarat? Ia mengandungi lebih banyak serat, vitamin dan mineral. Sebab itulah dipanggil karbohidrat yang kompleks. Contoh karbohidrat kompleks ialah roti perang, nasi perang dan oat. Ia lebih sihat malah anda akan rasa lambat lapar.


3) Air berperisa atau air putih?

Kita sukakan air oren, air bergas, air kopi dan sebagainya. Tidak salah, namun jangan lupa untuk membanyakkan minum air putih sekurang-kurangnya 8 gelas. Mengapa? Kerana metabolism badan kita dipengaruhi oleh air. Tahukah anda otak kita mengandungi lebih kurang 80 peratus air? Bayangkan kalau kita tidak minum air yang cukup? Satu fakta menarik juga ialah, jika anda lapar pada waktu malam tapi anda sudah makan. Itu sebenarnya adalah cara otak memberi arahan badan kurang air tapi otak mentafsirkanya anda lapar. Jadi cuba elak untuk makan tapi minumlah air putih. Untuk tips menarik, minumlah juga susu dalam diet anda.

4) Makanan ringan atau buah-buahan?

Adakala selepas belajar, kita menjadi stress dan ingin mengunyah sesuatu bukan? Maka pilihlah snek sihat secara bijak. Kurangkan makanan ringan yang tinggi kandungan garam, bahan perisa, bahan pengawet dan pewarna. Cubalah makan buah-buahan seperti oren, strawberi, tembikai dan epal. Untuk tips mudah, sediakan ia dalam potongan-potongan kecil dan simpan dalam peti ais. Jika rasa nak makan, terus ambil saja. Mudah bukan?


5) Makanan segera atau masak sendiri?

Ini satu lagi tabiat pelajar. Bukanlah menjadi satu kesalahan untuk makan diluar. Namun, kebaikan masak sendiri itu lebih nyata. Mengapa? Kerana kita tahu apa bahan-bahan yang kita masukkan dalam masakan. Kita juga boleh sesuaikan masakan mengikut selera sendiri. Bahan-bahan yang dimasak sendiri juga lebih segar dan bersih. Ramai beranggapan masak sendiri leceh. Sebenarnya itu alasan orang malas. Kerana terlalu banyak resipi mudah di internet yang kita boleh cuba. Taip saja di Google. Malah, masak sendiri lebih bersih dan jimat. Percayalah !

Sebenarnya, pemakanan sihat sangat mudah. Ingatlah, walaupun kecil perubahan yang anda lakukan sekarang, ia bakal memberi impak besar dalam jangka masa panjang. Pilihan untuk menjadi lebih sihat atau tidak terletak ditangan anda. Kerana anda adalah apa yang anda makan. Dan ingat, apa-apa pun makanan yang anda pilih, jika berlebihan juga tidak sihat. Maka pilihlah makanan yang bersih, segar  elakkan makanan syubhah dan makanlah secara bersederhana! Makanan sihat, badan cergas, otak bersedia untuk berkerja  dengan lebih efisyen!

Disediakan Oleh,

Nur Husna bt Samat

Unit Artikel, Jabatan Web

Tinggalkan komen anda