Home > Menu > Kenyataan Rasmi > Medic’s Got Talent: Kenyataan Rasmi PERUBATAN

Medic’s Got Talent: Kenyataan Rasmi PERUBATAN

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam,yang Maha Bijaksana mengatur urusan manusia dan sentiasa merahmati hamba-Nya dalam setiap masa dan ketika. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, juga kepada ahli kerabat Baginda, para sahabat Baginda dan kepada mereka yang menyahut petunjuk yang dibawa Baginda serta mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga hari akhirat.

Sahabat-sahabat PERUBATAN yang dikasihi sekalian,

Hiburan merupakan istilah yang menerangkan suasana yang menyeronokkan kerana ia menimbulkan suasana yang tenang dan santai. Namun, oleh kerana ia membangkitkan perasaan gembira, maka hiburan menjadi rekreasi kegemaran yang akan dilakukan oleh kebanyakan daripada kita.

Hiburan yang berupa acara sampingan, kini sudah menjadi acara utama kerana hiburan menjenguk dan mencelah di mana-mana,pada setiap ruang dan ketika. Berhibur itu perlu, tetapi batasan tetap wujud dan tidak seharusnya berhibur itu mengisi ruang masa sepanjang hidup kita tanpa ada ruang kepada perkara lain yang lebih utama.

Secara umumnya, Islam tidaklah mengharamkan hiburan secara keseluruhannya, namun hiburan tersebut mestilah mengikut nilai-nilai murni yang diajarkan oleh agama Islam dan tidak melalaikan. Ini kerana hiburan juga merupakan suatu perkara yang fitrah untuk seluruh umat manusia.

Sahabat-sahabat PERUBATAN yang dihormati sekalian,

Berkenaan dengan Program Medic Got’s Talent yang diadakan di Universiti Mansura pada 5 Mei 2011 akan datang, saya mewakili kepimpinan PERUBATAN berperindirian menyokong tindakan profesional yang dilakukan oleh pimpinan PERUBATAN Cawangan Mansura dalam menangani isu yang berlegar di sekitar mahasiswa-mahasiswi di Mansurah ini.

PERUBATAN berperindirian tidak bersetuju di atas program hiburan yang dianjurkan itu seandainya wujud perkara yang melanggar batas syarak seperti:

  • Tidak menyediakan senggang waktu solat untuk pelajar menunaikan solat fardhu yang menjadi kewajipan kepada setiap muslim.
  • Hiburan yang tidak menjaga hubungan bukan mahram di antara lelaki dan wanita; sekiranya tiada pemisahan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.
  • Hiburan yang menimbulkan perasaan nafsu dan syahwat yang tiada kawalan seperti membuka aurat dan lain-lain.

Sehubungan dengan itu, PERUBATAN menasihati agar ahli PERUBATAN supaya tegas dalam setiap perkara kebenaran dan saling menasihati antara satu sama lain di dalam perkara kebaikan.

Saya menyeru untuk kita kembali kepada firman Allah S.W.T di dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud:

“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung.”

Saya juga menyeru kepada seluruh ahli PERUBATAN untuk lebih fokus kepada peperiksaan yang bakal menjelang. Persiapkan diri anda dengan segala bekalan ilmu yang diperlukan, agar agenda Doktor Muslim Profesional yang mahu kita jayakan tidak sesekali terkbur.

Buat akhirnya, PERUBATAN sesekali tidak berniat untuk menghalang ahli-ahlinya berhibur tetapi dengan syarat supaya ahli PERUBATAN tidak melanggar etika, tatasusila serta segala perkara yang telah ditetapkan di dalam Islam. Moga-moga kita semua beroleh rahmat dan keampunan Allah dan jauh sekali dari kemurkaan-Nya.

Semoga ahli PERUBATAN terus gigih dan berusaha untuk cemerlang di dalam peperiksaan yang bakal menjelang.

Sekian,

Assalamualaikum W.B.T

At-Taqwa, As-Syifa’, Ar-Rahmah

Ilmuan Berbakti, Teguh Sehati

Syafiq bin Hamdani

Presiden PERUBATAN 2011/2012


 

 

Tinggalkan komen anda