Home > Menu > Karya > Artikel > Mahasiswa Hari Ini Pemimpin Hari Esok

Mahasiswa Hari Ini Pemimpin Hari Esok

Golongan mahasiswa dikenali sebagai nadi kepada masyarakat lantaran penguasaan ilmu mereka yang terkehadapan berbanding lapisan masyarakat yang lainnya. Hakikat bahawa kepimpinan mahasiswa hari ini bakal mencorak kepimpinan negara dan ummah pada masa hadapan sememangnya tidak mampu dinafikan lagi. Pelik apabila kita cuba memisahkan kepentingan akademik atau ilmu pengetahuan daripada aspek kepimpinan sedangkan dalam masa yang sama kita amat memerlukan barisan kepimpinan yang bersandarkan kepada ilmu pengetahuan dan bukannya ketaksuban. Salahkah untuk memiliki kedua-dua pakej secara serentak tanpa perlu melucutkan salah satu daripadanya?

Realiti bahawa golongan belia merupakan kelompok majoriti dalam populasi masyarakat Malaysia harus didepani dengan satu tekad iaitu untuk memperkasakan kepimpinan di alam kampus demi menyediakan kelompok ini untuk menjadi pemimpin pada masa akan datang. Universiti sebagai platform terbaik dalam  mengasah bakat kepimpinan para mahasiswa wujud atas kehendak para mahasiswa untuk menuntut ilmu. Sebaliknya persatuan yang bertindak sebagai pemelihara kepada para penuntut mampu menjadi pemacu kepada kecemerlangan akademik secara kolektif dan bersepadu. Secara tuntasnya simbiosis di antara akademik dan persatuan memastikan keutuhan satu sama lain sekaligus menolak sebab untuk meninggalkan satu daripada dua aspek tersebut.

Pemimpin yang cemerlang tidak dilahirkan dalam dewan kuliah semata-mata sebaliknya bergelumang dengan hempas-pulas mendepani kemelut yang melanda ummah. Hakikatnya para pemimpin hari ini melaburkan sejumlah masanya ketika di alam mahasiswa untuk memastikan kecemerlangan akademik dan pada masa yang sama mereka turut menjuarai isu ummah. Ternyata mahasiswa yang tidak peka mengamati dan menganalisis cabaran semasa tidak akan mampu menguruskan perubahan sedangkan persatuan melatih para mahasiswa dengan kemahiran berfikir secara kritis demi menyelesaikan masalah. Sikap tidak peka pada persekitaran melahirkan mahasiswa yang hanya menurut status quo yang sekian lama dipertahankan meskipun ia ternyata cacat tanpa mampu menilai secara serius. Maka dengan itu tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa mahasiswa harus berkecimpung dengan seni kepimpinan sebelum layak menjadi jurubicara ummah.

Kepimpinan yang bertunjangkan tradisi ilmu sememangnya berhajat kepada latar belakang akademik yang kukuh. Oleh kerana ilmu sahaja yang memiliki momentum untuk menguruskan perubahan, seharusnya mahasiswa menguasai bidang ilmu sebagai jaminan untuk menjadi pemimpin yang baik. Bagaimana mungkin individu yang buta sejarah juga isu semasa mampu menjadi pemimpin yang berkaliber melainkan apabila beliau dipilih atas dasar ketaksuban dan bukannya ilmu? Bukankah seorang pemimpin yang baik wajar memiliki kekuatan intelektual yang bukan kepalang bagi memudahkannya membuat keputusan? Secara deduksinya akademik tidak mungkin dapat dinafikan kepentingannya dalam melahirkan seorang pemimpin yang mampu memimpin perubahan.

Golongan mahasiswa sememangnya punyai pelbagai potensi diri yang perlu digilap agar mereka mampu menjadi ejen pengubah masyarakat. Menyedari hakikat ini, kepimpinan mahasiswa di alam kampus seharusnya diperkasakan bagi memastikan golongan intelektual ini tidak tersisih dari perhatian masyarakat atau terperuk di dewan kuliah semata. Semoga dengan kecemerlangan akademik yang sememangnya menjadi prasyarat sebelum bergelar seorang graduan ini kelompok mahasiswa dapat menjadi penerus kepada arus kepimpinan negara demi menjadi sumbu yang menyalakan obor kegemilangan ummah.

Nafsah Dulajis

Tahun Lima Perubatan

Universiti Zaqaziq

(Pemenang Pertandingan Menulis Artikel Bahasa Melayu Medicophilic Month 2011 )

Tinggalkan komen anda