Home > Biro PCZ > Biro Pembangunan Insan > Laporan Who’s The Next Al-Fateh

Laporan Who’s The Next Al-Fateh

Zagazig, 1 Mei 2011 – Jabatan Nuqaba’ telah menganjurkan program Who’s The Next Al-Fateh yang bertemakan “ Ummah Protagonist “. Sasaran peserta program ini adalah pelajar-pelajar Sains Kesihatan tahun 1 Universiti Zagazig. Pendaftaran peserta dibuka seawal jam 4.00 petang. Program yang disertai 25 orang pelajar lelaki dan 35 orang pelajar perempuan ini berlangsung dari jam 4.30 petang sehingga jam 10.00 malam di Dewan Darul Wehdah.

 

Program bermula jam 4.50 petang dengan kendalian Saudara Ahmad Faizuddin Shah bin Ahmad Nazri selaku pengerusi umum. Agenda pertama dimulakan dengan kata alu-aluan pengarah program iaitu Saudara Abdul Hadi bin Mohd Zuki. Beliau mengalu-alukan kehadiran peserta ke program ini dan menyatakan bahawa program ini bertujuan memberi kefahaman Islam di samping memberi motivasi kepada ahli untuk menghadapi peperiksaan yang bakal tiba.

 

Seterusnya, program diteruskan dengan tayangan nasyid Sultan Muhammad Al-Fateh dan diikuti sesi latihan dalam kumpulan yang dikendalikan oleh para fasilitator yang dilantik oleh pihak penganjur. Peserta lelaki dibahagikan kepada 5 kumpulan dan mereka melaksanakan aktiviti dalam kumpulan di rumah-rumah pelajar lelaki yang berhampiran Dewan Darul Wehdah. Pelajar perempuan pula dibahagikan kepada 8 kumpulan dan pelaksanaan gerak kerja berkumpulan berlangsung di dalam Dewan Darul Wehdah selama satu jam lima belas minit.

 

Setelah berakhirnya sesi latihan dalam kumpulan, para peserta diberi masa untuk solat Maghrib dan makan malam. Program diteruskan pada jam 7.30 malam dengan tayangan cerita Sultan Muhammad Al-Fateh. Sebelum tayangan bermula, para peserta diberi tugasan untuk mendapatkan sebanyak mungkin ciri-ciri peribadi Sultan Muhammad Al-Fateh yang boleh diambil daripada cerita tersebut. Setelah tamatnya tayangan, pengerusi umum menjemput Saudara Syamsul Bakri bin Osman untuk menyampaikan ceramah serta berkongsi cerita dan perwatakan Sultan Muhammad Al-Fateh serta kaitannya dengan kemenangan menawan Kota Konstantinopal.

 

Kemudian, para peserta diminta untuk kembali berada di dalam kumpulan bagi meneruskan aktiviti dalam kumpulan. Pada jam 9.30 malam, pengerusi umum meneruskan program dengan menjemput Ustaz Rosdi bin Latif untuk membuat kesimpulan keseluruhan dan memberi kalam taujihad kepada semua peserta. Akhirnya, program ini berakhir pada jam 10.00 malam dengan bacaan Kafaratul Majlis dan Surah Al-Asr. Semoga program ini dapat memberi kefahaman Islam yang sohih kepada semua peserta seterusnya melahirkan syabab yang mampu mencontohi perwatakan Sultan Muhammad Al-Fateh.

 

Disediakan oleh:

Syafiah Binti Mohamad,

Timbalan Pengarah,

Who’s The Next Al-Fateh.

Tinggalkan komen anda