Home > Biro PCZ > Biro Akademik > Laporan Malam Aspirasi Mumtaz

Laporan Malam Aspirasi Mumtaz

Zagazig, 5 Mei 2011- Malam Aspirasi Mumtaz merupakan salah satu aktiviti Exam Fever Campaign (EFC) dengan kerjasama Unit Pembangunan Insan  PERUBATAN Cawangan Zagazig (PCZ) 2011 telah berlangsung sebelum tawakkufnya program menjelang peperiksaan. Program ini menggabungkan elemen peripentingnya mumtaz duniawi mahupun ukhrawi dalam hidup mahasiswa perubatan dan sebagai khalifah di muka bumi serta memberi kesedaran bahawa konsep tawakkal  yang merupakan salah satu nikmat umat Islam dapat dihayati malah dipraktikkan dalam seharian setelah datangnya usaha dan doa. Program ini juga dilakukan dalam usaha bagi mengukuhkan ukuwah dalam kalangan ahli dan pimpinan PERUBATAN.

Bermula pada jam 5.45 petang, adhoc pelaksana menyambut ketibaan peserta ikhwah  di Dewan Darul Salam manakala akhawat di Dewan Darul Wehdah. Untuk memberkati lagi majlis, para hadirin membaca Al-ma’thurat beramai-ramai sebelum berbuka puasa. Sejurus selesai bacaan Al-ma’thurat,  para hadirin menunaikan solat maghrib berjemaah dan seterusnya menjamah makanan yang telah disediakan. Nilai ukhuwah  dapat diterapkan apabila hadirin berkongsi rasa makanan di dalam talam. Selepas selesai menjamu selera pada jam 7.30 malam, para hadirin membaca Yaasin dan seterusnya menunaikan solat hajat berjemaah. Sesudah itu, para hadirin peringkat ikhwah turut berkumpul di Dewan Darul Wehdah bagi meneruskan lagi majlis tersebut.

Pada jam 8.00 malam, slot seterusnya ialah forum ‘Mutiara Rahsia Mumtaz’ yang dipengerusikan oleh saudara Syaufiq Effendy bin Ngaliman dan barisan panel-panel jemputan yang  berwibawa dan tidak asing lagi dalam kalangan ahli PERUBATAN  dijemput khas dari Kaherah dan Tanta. Panel-panel jemputan tersebut ialah saudara Ahmad Ibrahim bin Yahya, Tahun 4 kuliah perubatan selaku Timbalan Presiden 1 PERUBATAN , saudara Mohd Faqih bin Mohd Puzi, Tahun 6 kuliah perubatan yang juga merupakan mantan pengerusi Cawangan Tanta dan saudari Natrah binti Ahmad Kamil Tahun 5 perubatan iaitu mantan Timbalan Presiden II PERUBATAN sesi 10/11.  Dengan Keberjayaan forum tersebut, dilihat dapat meniupkan semangat hadirin mengubah persepsi dan niat, bagi menggapai hadaf dan ghayah sebagai Doktor Muslim.

Tirai majlis ditutup dengan penyampaian hadiah kepada pelajar Zagazig yang menyertai pertandingan Medicophilic  kategori artikel bahasa Inggeris dan bahasa Melayu dan kedua-duanya telah mendapat tempat pertama. Majlis ditangguhkan pada jam 10.30 malam. Majlis pastinya tidak dapat berjalan lancar tanpa keizinan Allah sebaik-baik perancang. Majlis yang mendapat sambutan yang sangat menggalakkan ini diharapkan dapat diadakan lagi bagi mendapat manfaat kepada semua.

Disediakan oleh;

SANIYAH BINTI ALMUHSIN,

Timbalan Setiausaha,

Malam Aspirasi Mumtaz.

Gambar-gambar sepanjang Malam Aspirasi Mumtaz

Tinggalkan komen anda