Home > Menu > Karya > Artikel > Full Time Muslims: Kita Memimpin Perubahan

Full Time Muslims: Kita Memimpin Perubahan

Musim peperiksaan tiba lagi. Pelbagai sindrom sudah mula kelihatan menghiasi warna-warni perjuangan ini. Hanya kerana tekanan semakin meninggi, jangan pula ukhuwwah yang dibina selama ini ranap semua sekali, apabila masing-masing mementingkan diri.

“ Antara berjuta-juta  sperms yang berenang dalam pelumbaan itu, kita adalah yang terpilih!”

Teringat kata-kata penceramah ketika satu sesi ceramah motivasi yang pernah dihadiri. Benar, kita sudah memenangi perlumbaan ini puluhan tahun yang lalu. Tidak ada sebab untuk kita gagal pada hari ini. Hakikatnya kemenangan yang lalu itu gunanya untuk membakar obor menyemarakkan semangat diri. Dengan kata lain itulah dia motivasi!

Keresahan cukup memburu apabila memikirkan bahawa perjuangan ini bakal ditagih oleh mereka yang menampung perbelanjaan diri. Tidak ibu bapa, keluarga, pihak penaja, dan rakyat jelata pastinya. Satu soalan yang mesti ditimbulkan dalam diri ialah tentang kecuaian yang disengajakan tika menuntut ilmu ini, apakah ia tidak akan dipersoalkan Allah?

Hanya kerana kecuaian kita seorang menjadikan keluaran Mesir yang lain semuanya dilabel tidak kompeten. Lupakah kita dahulu kita menipu dengan cara meniru ketika peperiksaan?

Ketika orang lain sibuk membincangkan satu isu, kita tersadai hanya mendengar dan tidak punya sebarang idea. Mulalah kita menyesali zaman mahasiswa yang kita habiskan dengan membuang masa pada aktiviti yang tidak berfaedah.

Ketika ada nyawa yang terkorban dan kita menjadi punca, rupanya asal-usulnya kerana kita sengaja ponteng kuliah tanpa keperluan di zaman mahasiswa.

Benarlah kejahilan itu lebih bahaya daripada kefaqiran.

Sekejap! Sekejap! Berhenti di situ.

Semua itu cuma kebarangkalian di masa hadapan, andai kelalaian yang dimiliki masih mahu diteruskan. Begin with the end in mind. Kita masih berada di alam kampus! Ya, masih sempat untuk mengubahnya.

Realitinya persaingan di luar sana bukan kepalang. Andai mumtaz itu sahajalah yang ingin dipertaruhkan, nyata ramai lagi insan cemerlang dari pelbagai ceruk rantau dunia ini yang bakal menyaingi kita kelak di tanah air nanti. Namun di kala menuntut ilmu itu menjadi satu kewajipan, jangan lupa kecemerlangan (mumtaz) juga satu keperluan!

“Dan berbekallah dengan secukupnya, kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa. Dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal”

(Al-Baqarah:197)

Apabila taqwa mengiringi peperiksaan setiap kali, maka akhiratlah yang menjadi destinasi. Benar, kerana keyakinan akan pertemuan dengan Tuhan itu menjadikan kita takut untuk gagal. Apalagi andainya kelalaian dan kemalasan kita bakal dipersoal. Pun begitu Allah tetap berpesan agar kita sentiasa menyediakan bekalan, bukannya terjun ke medan perang sehelai sepinggang kononnya berbekal yakin dan tawakkal. Dalam banyak-banyak bekal itu taqwa juga yang menjadi pilihan. Tidak kelihatan, amat berharga tetapi agak payah untuk dibawa. Ia perlu kepada satu kekuatan bernama istiqamah!

Belum cukupkah Al-Quran sebagai sumber motivasi?

Masa itu sendiri adalah makhluk Allah, luangkanlah masa demi agama Allah, agar Dia menundukkan masa itu untuk kita. Kelihatan sibuk namun tetap terasa lapang, apabila keberkahan mengisi setiap waktu. Niatkanlah kecemerlangan demi Islam, agar tujuan tidak jauh tersasar.

Ingatlah tanggungjawab kita untuk menjadi Muslim yang Doktor, kerana kita Muslim sepenuh masa. Full Time Muslim, sedang doktor itu pekerjaan part time kita. Seandainya meniru menjadi pilihan di kala peperiksaan, maka dalam menduduki peperiksaan itu kita menodai title Muslim yang dimiliki.

Bakal calon mumtaz sekalian; selamat melangkah ke fatrah peperiksaan, berteman sejuta usaha dan tawakkal!

Disediakan oleh,

Nafsah Dulajis

Unit Artikel, Jabatan Web

Tinggalkan komen anda