Home > Menu > Karya > Artikel > Kelangsungan Mahasiswa ke Mesir Satu Keperluan

Kelangsungan Mahasiswa ke Mesir Satu Keperluan

Assalamualaikum W.B.T

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam yang telah mentadbir seluruh makhluk ciptaan dengan sebaik-baik pemerintahan dan keadilan, yang penuh dengan sifat kesempurnaan dan terhindar dari segala kekurangan. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W yang menabur budi dan  jasa yang besar dalam menyebarkan Islam dan memakmurkan bumi ini dengan qudwah hasanah yang terbaik yang pernah dicerminkan.

Peperiksaan akhir tahun semakin menjelma. Di dalam kehangatan PERUBATAN di setiap cawangan mengadakan program PERUBATAN yang berbaki dari sudut akademik, harapan yang besar selepas penangguhan program PERUBATAN ini supaya dapat memberikan ruang kepada ahli PERUBATAN agar dapat menumpukan seluruh anggota dan minda bagi menghadapi peperiksaan yang menjelang. Ucapan Selamat Menempuh Peperiksaan disampaikan kepada seluruh ahli, moga-moga dengan usaha keras kalian selepas ini akan membuahkan hasil yang memberansangkan, dan target untuk memastikan ahli PERUBATAN ‘Sifar Rasib’ atau tiada mahasiswa sains kesihatan Mesir yang gagal dapat dicapai.

Penghantaran Pelajar Ke Mesir Satu Keperluan

Ura-ura kebelakangan ini bertiup kencang menyatakan bahawa kemungkinan bakal ada kekurangan atau ketiadaan mahasiswa pengajian sains kesihatan dan agama di bawah tajaan kerajaan Malaysia dan negeri untuk sesi pengajian akan datang. Walau apa pun tujuan di sebalik perkara ini, seandainya ia berlaku, saya selaku Presiden PERUBATAN melihat ia dari sudut yang merugikan kepada pembangunan negara Malaysia kerana pengajian di Mesir ini mempunyai niche’ atau kelebihannya yang tersendiri.

Isu lambakan doktor di Malaysia, isu doktor keluaran luar negara tidak kompeten dan beberapa isu lain lagi tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kelangsungan mahasiswa ke Mesir. Kelebihan yang ada di dalam sistem pengajian di Mesir ini jelas membuktikan ia mampu, setanding dan setaraf dengan sistem-sistem di pusat pengajian di negara kita, bahkan ada yang jauh lebih baik.

Pengajian sains kesihatan di Mesir bukan semata-mata bagi menggarap ilmu yang ditetapkan untuk dicapai oleh pemegang biasiswa dan tajaan kerajaan, bahkan di sini mahasiswa mampu menggarap pelbagai kelebihan antaranya kekuatan bahasa Arab dan kelebihan pengajian Islam yang subur di Mesir ini melalui institusi Al-Azhar dan bermacam –macam lagi kelebihan. Maka mahasiswa keluaran Mesir adalah mahasiswa yang mempunyai kelebihan tersendiri, iaitu dari sudut kekuatannya untuk mencapai agenda Doktor Muslim Profesional yang tampak mempunyai visi dan target yang cukup jelas.

Pengajian di Mesir menekankan aspek teoritikal jauh lebih mendalam berbanding aspek klinikal. Justeru, kekurangan ini tidak wajar dijadikan penghalang. PERUBATAN melalui aktiviti yang disusun di setiap cawangan PERUBATAN, terutamanya Medical Team sentiasa serius dan berusaha keras menampung kekurangan ini, bagi memastikan setiap mahasiswa keluaran Mesir adalah betul-betul berkualiti, berdaya saing dan mampu membawa perubahan besar dalam sektor sains kesihatan di Malaysia kelak.

Harapan Kelangsungan Mahasiswa

Harapan dari saya selaku Presiden PERUBATAN yang mewakili ahli-ahli adalah supaya agensi-agensi bertanggungjawab di bawah Kerajaan Malaysia seperti JPA dan MARA dan juga Kerajaan Negeri meneruskan kelangsungan penghantaran pelajar-pelajar cemerlang ke bumi Mesir ini. Mereka adalah golongan paling layak untuk hadir ke Ardul Kinanah ini bagi menggarap seluruh ilmu pengetahuan. Kekurangan dan ketiadaan penghantaran di sesi akan datang sekali lagi dilihat seagai satu kerugian yang besar kepada aspek pembangunan Malaysia dan sesekali perkara ini adalah tidak wajar.

Oleh itu, harapan yang cukup besar agar perkara ini terus mendapat perhatian serius dari pihak yang bertanggungjawab dan sesekali tidak boleh diabaikan. Semoga kekuatan dan pandangan tinggi yang dibina pada diri kami selama ini selaku mahasiswa Islam Mesir yang berintegriti dan berwibawa dapat diteruskan kesinambungannya oleh generasi seterusnya yang kelak akan menjadi pemangkin pembangunan negara Malaysia mara menuju ke hadapan insyaAllah.

AT-TAQWA’, AS-SYIFA’, AR-RAHMAH

Ilmuan Berbakti Teguh Sehati

Syafiq bin Hamdani
Presiden PERUBATAN 2011/2012

Tinggalkan komen anda